Makcik Peah nampak gembira betul sejak akhir-akhir ini. Aku tak perlu nak berteka-teki kenapa angin Makcik Peah berubah jadi baik, sampaikan bila jumpa aku pun dia boleh senyum-senyum. Jawapannya senang saja, sebab abang Pian dah selamat bertunang dengan calon menantu pilihan. Jadi, mungkin sekarang Makcik Peah rasa aku bukan lagi satu ancaman untuknya. Kalau masalah kami benar-benar dapat selesai di sini saja, sudah tentu aku pun bersyukur dan tumpang gembira dengan pertunangan abang Pian.
"Aku dengar ada orang masuk meminang kau, betul ke?" soal Makcik Peah yang dah datang berdiri di sebelah sewaktu aku tengah sibuk melihat ikan segar.
"Hmm. Nampaknya begitulah," jawabku ala kadar.
"Baguslah. Pian pun dah selamat bertunang, jadi aku harap lepas ni giliran kau pulak. Kan, Su?"
Aku sekadar pamer senyum, tidak mahu ulas panjang-panjang kerana aku sendiri pun tak pasti lagi ke mana hala tujuku lepasni. Sementelah nak bercakap pasal tu dengan Makcik Peah, musuhku no. 1 dekat kampung ni, memang tidaklah. Sebabnya takut lain yang aku cakap, lain pula yang dia faham.
Bila aku tak bagi respon seperti yang diharapkan, Makcik Peah pun merengus geram dan terus pergi tinggalkanku tanpa ucap sepatah kata. Aku tak rasa terkilan atau kecil hati pun bila Makcik Peah buat macamtu. Malah, aku rasa lega lagi adalah. Sekurang-kurangnya dah tak ada orang yang akan kacau aku membeli-belah lagi dah.
Malamnya, mak ayah buka lagi topik perbincangan pasal pinangan abang Rizal. Sebenarnya, hampir setiap masa juga mereka bercakap pasal isu ini, terutama sekali mak. Aku tahu mereka nak sangat aku terima, tapi masalahnya...
"Su tak rasa yang Su boleh terima abang Rizal," ujarku mahu meluahkan apa yang terbuku di hati.
Buntang terus biji mata mak dan dia dah pandang aku semacam. "Kenapa tak boleh terima? Mak tengok elok saja Rizal tu. Kacak dan segak orangnya. Malah, baik dan hormat orang tua lagi. Kerjanya dekat KL pun boleh tahan."
Aku kecilkan mata bila dengar berbakul-bakul pujian yang mak bagi untuk abang Rizal. Padahal, mak pun masih belum kenal sangat dengan abang Rizal, sama macam aku juga. Buatnya abang Rizal sebenar adalah seorang yang panas baran atau jenis kaki pukul, tak ke bahaya? Bukannya kita boleh tahu perangai orang, sampai kita dah kahwin dan tidur sebantal nanti barulah merasa. Betul tak?
Lagipun, memang masih banyak pasal abang Rizal yang aku belum tahu. Setakat ini, aku cuma tahu info yang asas saja seperti namanya iaitu Muhammad Rizal bin Adnan dan berusia 32 tahun. Beza sakan dengan aku, lebih kurang 11 tahun. Abang Rizal bekerja sebagai pengurus di sebuah syarikat. Orang tua dah tak ada, dan dia hanya ada seorang saja adik-beradik. Iaitu, abang Fahrin yang datang ke rumah tempoh hari. Selain dari semua yang aku senaraikan tadi tu, aku dah tak tahu apa-apa lagi pasalnya.
"Boleh ke kahwin dengan seseorang tanpa cinta?" Soalan itu jujur dan ikhlas lahir dari hati nuraniku. Aku memang tak pernah bercinta, tapi aku tahu yang perkahwinan bukan satu perkara yang main-main.
Lagipun, ayah juga selalu kata yang perkahwinan ini ibarat satu perjudian. Kalau jumpa pasangan yang baik, maka bahagialah sesebuah perkahwinan tersebut. Tapi kalau terjumpa orang yang salah.. hmm, nauzubillah.
"Perkahwinan dalam erti kata sebenar adalah realiti kehidupan. Jadi Su kena faham, ia tak semestinya harus berlandaskan kepada rasa cinta semata-mata. Perasaan cinta itu sendiri kadang-kadang boleh datang dengan nafsu dan godaan syaitan juga." Ayahku dah mula bersuara.
"Bagi ayah, apa yang paling penting sekali dalam sebuah perkahwinan, adalah sifat masing-masing yang bertanggungjawab dan saling bertolak-ansur untuk jaga rumahtangga. Suami kena tahu dan hormat hak isteri, begitu juga dengan isteri. Kedua-duanya perlu saling mainkan peranan. Kalau dah faham semua itu, jadi ayah rasa tak ada isu soal kahwin tanpa cinta. Malah, ayah yakin yang cinta dan perasaan sayang akan datang dengan sendirinya nanti."
Lama aku berteleku di meja, cuba untuk hadam kata-kata ayah tadi. Berat rasanya aku nak buat keputusan.
"Su dah buat ke belum solat istikharah?" soal mak pula.
Terus aku geleng kepala.
"Buatlah, minta dengan Allah supaya tunjukkan apa yang terbaik untuk Su. Andai kata Rizal memang ditakdirkan untuk jadi imam Su, berdoalah semoga semuanya dipermudahkan. Ingat, Allah adalah segala jalan penyelesaian."
Pesanan mak berbekas di hati. Aku lupa, satu-satunya jalan untuk selesaikan segala kekusutan ini adalah dengan mengadu dan meminta pertolongan dari Allah kerana Dialah Yang Maha Mengetahui segala apa yang terbaik untuk hambaNya.
***
"Su!" jerit abang Pian memanggil namaku. Aku buat tak dengar sampailah abang Pian berjaya menyaingi langkahku yang sedang menghala ke arah kereta.
"Tunggulah sekejap," arah abang Pian sambil pegang tanganku, paksa untuk aku berhenti.
"Ya Allah, abang Pian ni dah kenapa?!" Aku terus tepis tangannya dengan kasar sambil mata mencerlung tajam. Memang terkejut dengan tindakan berani lelaki itu.
"Abang nak cakap sekejap," katanya.
"Nak cakap apa? Su masih ada banyak lagi kerja penting nak kena buat," dalihku supaya aku tak perlu berlama-lama dengannya dekat situ.
"Sekejap saja, takkan tak boleh? Abang cuma nak tanya. betul ke dah ada orang yang masuk meminang Su?"
Terkejut aku. Jadi, dia beria-ia datang sekat aku kat tengah jalan, hanya semata-mata untuk tanya soalan ni? Aku berdecit halus, geram juga dengan perangai abang Pian.
"Su..."
"Ya...," balasku sepatah.
Rahang abang Pian nampak sedikit mengeras. "Siapa? Lelaki yang abang jumpa malam tu ke?"
"Tak perlu tahu, sebab itu bukannya urusan abang."
"Su terima ke pinangan tu?" Abang Pian masih tak berputus asa, dia tanya aku soalan lain pula.
Namun sekali lagi, aku pilih untuk diam saja.
"Jawab abang," gesa abang Pian.
"Sudahlah..."
"Kenapa yang susah sangat Su nak jawab soalan abang ni!" bentak abang Pian tiba-tiba dengan mata terbeliak luas. Jantungku mula bertukar rentak, rasa tak sedap hati dengan tingkah abang Pian yang nampak semakin menggerunkan.
"Jangan buat abang marah, Su!" gertak abang Pian lagi.
Aku yang diserang perasaan takut dan cemas itu pun mula tengok kiri kanan, cuba untuk minta bantuan dari orang yang lalu-lalang. Tapi masalahnya, hanya ada aku dan abang Pian saja yang berdiri dekat celah lorong di sebelah deretan kedai ini. Mana pergi semua orang di saat-saat genting seperti sekarang?
Kemudian, tangan abang Pian naik dan mencengkam bahuku dengan kuat sampai aku mula meringis kesakitan. "Kenapalah Su payah sangat nak terima abang? Abang sukakan Su, tahu tak! Abang suka Su sejak dari dulu lagi, tapi kenapa jantan yang baru muncul dalam hidup Su tu juga yang Su terima, hah?!"
Pucat terus mukaku dengan perubahan abang Pian yang begitu mendadak. Aku rasa nyawaku juga boleh terancam kalau abang Pian masih terus mengamuk tak tentu arah seperti ini.
"Abang kan dah bertunang."
Namun, wajah abang Pian jadi semakin bengis. Seolah-olah dia benci bila aku sebut pasal tu. "Ini semua punca dari Su juga! Kalau Su tak tolak abang, tak adanya abang kena paksa untuk bertunang dengan orang yang abang tak suka!!"
Aku ketap bibir, menahan rasa takut. Buat pertama kalinya, aku rasa takut untuk berdepan dengan abang Pian kerana tahu emosinya tengah tak stabil ketika itu.
"Su, ikut abang. Kita kahwin lari."
"Apa abang merepek ni??!" Aku tepis tangan abang Pian hingga terlerai pegangannya di bahuku.
"Abang tak merepek sebab memang betul abang nak kahwin dengan Su. Jadi, ikut abang! Kita kahwin dekat Siam," katanya sambil paksaku untuk ikut langkahnya.
"Su tak nak kahwin dengan abang! Tolong!!"
Aku hanya mampu menjerit dengan sekuat hati kerana kedua-dua tanganku sudah pun terkunci kemas. Aku nak cuba pergi melawan arus, tapi apalah sangat kudratku kalau nak banding dengan tenaga lelaki yang ada pada abang Pian. Akhirnya, dia berjaya juga heret aku sampai ke kereta.
"Kalau Su bagi kerjasama, abang takkan berkasar dengan Su!" ugutnya.
"Mengucap, bang. Jangan terlalu sangat ikut kata nafsu. Abang tak kesian ke kalau mak abang tahu pasal ni?" Aku cuba pula cara lain dengan memujuknya. Tapi, cara aku tak berhasil bila abang Pian ketawa sinis.
"Buat apa abang nak kesian dekat mak abang? Sedangkan dia sendiri pun tak pernah kesian dekat abang?"
Aku agak tersentak lepas dengar kata-katanya. Mesti abang Pian pun kecewa dan sedih dengan perangai maknya yang terlalu sangat memaksa, lebih-lebih lagi dalam soal hidupnya. Aku tahu abang Pian mahu memberontak, tapi janganlah libatkan aku pula.
"Tolong jangan buat Su macamni," rayuku lagi.
Mata abang Pian dah mencerlungku dengan tajam. "Siapa suruh Su degil sangat, tak nak terima abang. Jadi, terpaksalah abang guna cara ni untuk dapatkan Su."
Bila dia cuba untuk paksa aku masuk ke dalam kereta, makin kuat aku meronta untuk lepaskan diri. Aku memang dah terdesak sangat sampaikan habis seluruh tenaga aku kerah untuk melawan abang Pian.
"Woii!! Kau buat apa tu, hahhh?!!"
Allah. Akhirnya...
"Gila, bodoh!!" Aku dengar abang Pian menyumpah. Mesti dia pun panik bila rancangannya untuk bawa aku lari hampir menemui titik gagal. Ketika aku ingat yang abang Pian akan terus mengalah, tapi tangannya semakin kasar menolak tubuhku ke dalam.
" Su, masuk cepat!"
"Hey, epaskan perempuan tu!!"
"Kau jangan masuk campurlah!" Marah abang Pian pada orang yang mahu cuba selamatkanku. Dalam sikit kekalutan yang berlaku itu, aku nampak ada ruang untuk lepaskan diri. Maka, dengan tenaga yang masih berbaki, aku gigit kuat lengan abang Pian sampailah cengkamannya pada tubuhku terlepas dan kemudian, aku terus lari ke arah jalan.
"Su, jangan lari!" jerit abang Pian yang cuba untuk kejarku dari belakang. Lagilah cepat aku pecut untuk selematkan diri.
"Su, berhenti! Ada kereta tu!!" jerit abang Pian lagi, tapi aku rasa dah terlambat. Betul-betul terlambat...!
Share this novel