Bab 4

Romance Series 1792

"Shah, kau drive hati-hati. Jangan nak bawa kereta laju sangat, bahaya." Pesananku keluar entah untuk kali yang keberapa. Mesti tahi telinga Shah pun dah cair sebab terpaksa dengar benda yang sama berulang-kali. Bukan sebab aku tak percayakan Shah, cuma mulutku saja yang dah terbiasa buat semua ni.

"Ya, ya. Jangan risau, aku akan pastikan semua anak kau sampai dengan selamat pada tuannya."

Aku senyum.

Mujur demam Shah tak melarat sangat, jadi hari ini dapatlah dia bekerja seperti biasa. Aku tunggu kat luar hingga kereta Shah menghilang dari pandangan.

"Siapa tu?" Teguran abang Rizal buat aku terperanjat. Entah bila masa dia keluar dari rumah, langsung aku tak perasan. Tahu-tahu aje, dia dah pun berdiri di belakangku sambil tangannya terbiar santai kat dalam poket seluar.

"Runner yang tolong hantarkan kek Su pada customer," jelasku.

"Oh, diorang tak datang pick up sendiri ke?"

"Ada juga, tengok atas permintaan customer sama ada diorang nak datang ambil sendiri atau nak kita hantarkan."

Abang Rizal angguk sebelum kemudiannya, kami sama-sama menyepikan diri. Mungkin dia tak ada modal sangat nak berbual, dan aku pula serba salah. Sebenarnya lepas Shah pergi, aku ingat nak terus masuk ke dalam untuk bersihkan dapur. Tapi bila abang Rizal dah datang berdiri di sebelah, takkan aku nak buat tak tahu dan tinggalkan saja dia sorang-sorang di luar? Takut nanti dia kata aku sombong tak melayan tetamu pula.

Haih, kak Intan pun satu! Kenapalah dia tak angkut sekali bawa abang Rizal keluar? Padahal pagi tadi elok je mereka keluar berdua, tak tahulah untuk urusan apa. Bila tengahari, kak Intan balik hantar abang Rizal dan setelah itu, dia keluar lagi. Sibuk betul kakak aku tu, sampai teman lelaki pun dia tinggalkan kat rumah.

Tapi, baik betul abang Rizal sebab benarkan kak Intan bawa kereta mahalnya. Tak takut ke dia kalau jadi apa-apa? Nauzubillah. Aku ni bukannya apa, cuma bila setiap kali kenangkan cara kak Intan bawa kereta tu terus berdiri bulu romaku naik. Aku hanya akan bercakap dari pengalaman, dan apa yang aku boleh cakap, cara pemanduan kak Intan sangatlah tidak berhemah.

Dia hanya tahu tekan minyak semata, lepas tu suka sangat ikut rapat bontot kereta orang. Kalau jalan kat kampung pun dah boleh buat aku kecut perut bila naik kereta dengan kak Intan, inikan pula jalan kat KL yang sentiasa jem. Kak Intan sendiri yang cakap, dah beberapa kali dia nyaris nak tercium dengan kereta orang.

Jadi, sebab itulah aku tak pernah bagi kak Intan bawa keretaku bila dia ada kat kampung. Walaupun keretaku cuma kereta terpakai, tapi aku sayang sebab aku beli guna duit hasil titik peluhku sendiri. Biarlah kak Intan nak kata aku kedekut sekalipun, kerana bagiku tak salah kalau beringat sebelum ditimpa masalah. Aku pun bukan orang kaya yang boleh hantar kereta pergi ke workshop selalu.

Okay, kita berhenti cakap pasal kak Intan dan fokus pada abang Rizal pula. Boleh tak aku nak korek cerita dari empunya badan? Sebab kak Intan tengah tak ada kat rumah, jadi rugi kalau aku lepaskan saja peluang yang terhidang kat depan mata. Aku pun berdeham, sambil tengok lelaki kacak yang masih berdiri di depanku.

"Dah lama ke abang Rizal kenal dengan kak Intan?"

"Hmm.. adalah dalam setahun dua."

"Oh. Kira lamalah juga tu," balasku sambil congak-congak kat dalam kepala. Kalau ikutkan, hubungan kak Intan dengan teman lelakinya yang sebelum ini pun tak adalah bertahan sampai begini lama.

"Kalau abang Rizal nak tahu, sebenarnya kak Intan tak pernah lagi bawa mana-mana kawan lelaki datang ke rumah. Kiranya abanglah lelaki pertama yang kak Intan berani bawa dan kenalkan pada kami."

Mataku masih terus perhatikan abang Rizal sebab nak tengok reaksinya. Tapi, abang Rizal nampak biasa saja. Tak nampak yang dia terkejut, mahupun teruja pun bila aku cakap pasal fakta tersebut. Aku pula yang jadi kekok. Manalah tahu kalau sebenarnya abang Rizal tak selesa nak bercakap pasal hubungannya dengan kak Intan di depanku.

"Su pula macam mana?" Tiba-tiba dia tanya.

"Hah? Macam mana apa?"

"Su pernah ke bawa mana-mana kawan lelaki datang ke rumah?" soalnya.

Aku terus ketawa. Soalan macam apa tu? Tapi, aku geleng kepala jugalah sebagai jawapan. Aku memang tak ada ramai kawan lelaki. Kalau ada pun, setakat hai hai dan bye bye dekat sekolah. Tapi kalau kawan perempuan, ya ramai.

"Su dah berpunya ke atau masih menunggu?"

Sekali lagi soalan abang Rizal buatku terkedu. Rasanya aku yang nak soal siasat pasal dia dengan kak Intan, tapi kenapa sekarang jadi terbalik pula.

"Su nak tunggu siapa?"

"Tunggu seseorang mungkin."

Suara abang Rizal perlahan saja, tapi cukup jelas di pendengaran telingaku. Sementara itu, mata kami berdua yang saling bertembung itu pula terus buatku rasa tak keruan. Tak pernah lagi aku rasa macamni hanya kerana bertentang mata dengan seseorang.

"Su..."

Namun belum sempat aku nak jawab, bunyi enjin kereta terlebih dahulu mencuri perhatian. Maka, kami sama-sama toleh ke depan dan tengok kereta abang Rizal yang dah pun menyusur masuk ke perkarangan rumah.

"Korang buat apa kat luar?" soal kak Intan sejurus dia turun dari kereta.

"Saja ambil angin sekejap kat luar," balas abang Rizal.

Aku pula depakan tangan dan acah-acah bersenam untuk tenangkan hati sendiri.

"Err.. Su masuk dululah ya," ujarku sambil terus meluru masuk ke dalam rumah. Ketika sampai di dapur, aku pegang dada sendiri yang masih berdegup laju.

'Su, apasal pulak tiba-tiba kau nervous ni? Tu abang Rizal lah, kau jangan macam-macam!'

***

Ayah tak balik lagi dari masjid. Aku pula dah termangu-mangu menunggu kat depan pintu. Menunggu kelibat ayah sampai dengan motornya.

Tadi aku dapat panggilan telefon dari Baizura. Katanya, baju yang aku minta dia jahitkan minggu lepas dah pun siap. Jadi, aku bercadang nak tumpang ayah sekejap untuk pergi ke rumah Baizura. Tak jauh mana pun, hujung lorong tu je. Cuma kalau nak pergi sorang-sorang aku tak berani.

"Ambil esok sajalah, Su. Bukannya baju tu lari ke mana pun," kata kak Intan. Mungkin dia rimas bila terpaksa tengok aku yang asyik mundar-mandir di depannya. Sampai dia nak tengok tv pun tak tenang jadinya.

"Memanglah baju tu tak lari ke mana. Tapi, hati Su ni yang tak sabar nak mencuba."

"Adoi, apa susah! Start lah kereta sendiri pergi ambil. Tak payah tunggu ayah," kata kak Intan pula.

Laju kepalaku geleng sambil mencebik. Kak Intan cakap macam tak tahu aje apa masalahku yang sebenar. "Su ajak akak teman, tapi akak pula tak nak."

"Kan akak dah cakap yang akak tak larat. Seharian akak keluar, tau. Esok awal-awal pagi lagi akak dah kena gerak balik KL." Banyak pula alasan kak Intan. Bukannya aku minta dia buat kerja berat pun. Setakat duduk dalam kereta dan teman aku sekejap pun nak berkira.

Kebetulan, abang Rizal keluar dari biliknya. Mungkin dia dah dengar bunyi bising di ruang tamu dengan suara kami, jadi cepat saja dia bertanya. "Kenapa ni?"

"Su tu, hah! Nak pergi ambil barang kat rumah kawannya, tapi takut nak pergi sorang. Nak pergi dengan ayah pun, ayah masih tak balik dari masjid," jawab kak Intan persis mahu mengadu pada teman lelakinya.

"Oh, abang boleh temankan kalau Su nak."

Terlopong terus mulutku bila dengar offer dari abang Rizal. Aku pun pandang kak Intan yang berwajah kosong, macam tak ada perasaan langsung bila teman lelakinya dengan baik hati offer nak temankan aku. Kak Intan tak marah atau cemburu ke? Pelik aku. Tapi kalau dengan adik sendiri pun dia nak jealous, itu cemburu buta namanya.

"Tak susahkan abang Rizal ke?"

"Apa yang susah kalau setakat tolong temankan. Bukannya Su minta abang terjun ke dalam sungai pun," ujar abang Rizal mungkin mahu berlawak. Namun, nampaklah yang dia langsung tak keberatan untuk pergi denganku.

"Bukan bang Rizal dah nak bertolak balik ke KL ke pagi esok? Su bukannya apa, Su cuma takut abang penat aje sebab keluar malam ni."

Kak Intan putarkan bebola matanya ke atas bila sedar yang aku tengah perli dia. "Pergi sajalah, Su! Banyak cakap pulak dia."

Terus aku gelakkan kakak aku kuat-kuat. Sambil capai kunci kereta kat atas meja, aku terus ajak abang Rizal pergi. Kalau lambat sangat gerak, takut kak Intan tukar pula fikirannya nanti.

***

"Ni ke rumah kawan Su?" soal abang Rizal lepas aku berhentikan kereta di depan sebuah rumah banglo besar. Di sebelahnya pula ada sebuah lagi banglo mewah tiga tingkat. Kalau orang luar datang, mesti mereka akan tertanya-tanya siapakah pemilik kepada kedua-dua banglo ini.

"Ya. Zura ni kawan Su, sejak dari zaman sekolah sampailah sekarang."

"Oh, kiranya kawan baiklah ni?"

Aku sengih. "Lebih kurang. Abang tunggu kat dalam kereta, ya. Su nak pergi ambil sekejap. Kalau bosan, abang boleh buka radio."

"Hati-hati," pesan abang Rizal sepatah.

Aku pun terus tengoknya dengan mata bulat. Dia memang betul suruh aku hati-hati ke atau aku yang tersalah dengar? Tapi bila wajah abang Rizal nampak macam biasa-biasa saja, aku rasa memang aku dah tersalah dengar. Mungkin tadi dia ada cakap pasal benda lain. Aku pula malas nak suruh dia ulang banyak-banyak kali.

Bila pagar terbuka, aku pun terus turun dari kereta. Kemudian, Baizura datang dengan bawa barangku bersama. Sempat jugalah kami berbual sekejap, sebelum aku meminta diri untuk pulang.

"Cepatnya dah nak balik."

"Kau tahu kan, rumah kau ni adalah kawasan yang berbahaya. Antara tempat yang paling aku kena elak. Kalau tak kerana baju ni, memang tak naklah aku datang ke sini malam-malam buta macamni."

Terus Baizura ketawakan aku. "Haha jangan risau, dia tak balik lagi tu." Sambil tunjuk porch kereta di mana rumahnya dan rumah sebelah kongsi bersama.

"Lagilah aku kena berjaga-jaga. Takut tersempak pula masa dia balik nanti."

"Takut sangat kau dekat dia."

"Takut, dan tak nak cipta masalah."

Baizura angguk tanda faham.

"Kalau macamtu, aku pun masuk dululah. Kau tu, hati-hati bila bawa kereta balik nanti. Takut bukannya jumpa dia, tapi pergi jumpa benda lain pulak!"

Aku tarik senyuman sampai ke telinga. "Kuangsam betul punya kawan.."

Baizura sambung gelak. Tapi, sempatlah dia lambai-lambai aku sebelum masuk ke dalam rumah. Dan aku pula baru nak bergerak pergi ke kereta. Namun langkahku serta-merta terhenti bila tengok kereta yang berhenti di belakang keretaku. Kemudian, turun seorang lelaki bersama sengihan nakal terpamer di bibir.

"Patutlah abang rasa macam kenal aje ini kereta siapa. Rupanya memang betul kereta buah hati abang."

Aku berdecit halus bila dengar suara abang Pian. Inilah alasan kenapa aku takut sangat nak datang ke rumah Baizura seorang diri. Sebabnya mereka berdua ni sepupu sepapat. Rumah pun dalam satu pagar yang sama. Kalau nak jumpa Baizura dekat rumahnya, memang aku kena beringat betul sebab tak nak tersempak dengan abang Pian. Lagi parah, kalau Makcik Peah pun ada sekali.

"Su dah nak balik ke? Abang baru je sampai. Kita boraklah sekejap." Abang Pian terus berjalan menghampiri.

"Su dah nak balik."

"Janganlah balik lagi. Abang nak tanya ni, Su sihat ke? Lama dah abang tak nampak Su."

"Boleh tak jangan kacau Su?" soalku geram.

"Eh, siapa kata abang kacau? Abang cuma nak bertanya khabar saja, takkan itu pun tak boleh." Suara abang Pian yang sengaja dilunakkan itu terus buat bulu romaku meriding. Aku nak pergi dekat kereta pun tak boleh sebab abang Pian dah menghalang laluanku.

"Abang memang dah tak ada kerja sangat nak buat ke, yang selalu datang ganggu Su ni?"

"Abang takkan ganggu kalau Su bagi kerjasama."

"Bagi kerjasama apanya?!"

"Kerjasama dengan terima pinangan abang."

Aku terus ketawa sinis. "Tak akan!!"

"Kenapa? Kalau alasan Su tak nak terima sebab mak abang, Su jangan risau. Tahulah macam mana abang nak pujuk dia nanti. Sekarang ni yang penting adalah jawapan Su. Kalau Su setuju, esok juga kita boleh kahwin."

"Abang Pian jangan merepek boleh tak?! Su tak suka." Geram betul aku bila terpaksa bercakap dengan orang yang tak faham bahasa ni. Benda yang sama aku ulang pun, dia tak nak letak dalam kepala.

"Abang tak merepeklah, Su. Okay cuba cakap, kenapa Su tak nak sangat dekat abang? Kalau soal perasaan, Su boleh saja belajar cintakan abang lepas kita kahwin."

Makin lama aku di situ, makin merepek pula abang Pian jadinya. Aku terus palingkan muka ke bahu jalan, tak berminat nak dengar ucapan lelaki itu.

"Su, tolonglah jangan jual mahal sangat. Abang tahu Su pun masih belum ada sesiapa lagi, kan? Daripada Su jual mahal dan jadi andartu, baiklah Su terima saja abang."

Menyirap terus aku dengan kata-katanya. Kalau tadi, mungkin aku masih boleh bersabar. Tapi sekarang, tidak lagi. Sesuka hati saja dia nak kata aku jual mahal, lepas tu nak kaitkan aku dengan andartu. Kalau jadi andartu pun, apa salahnya. Lagi baik aku hidup menyendiri saja daripada bersama dengan lelaki macam abang Pian ni!

"Buat pengetahuan abang, Su sebenarnya dah pun ada teman lelaki." Eh, apa yang aku melalut ni??

Abang Pian pula terus diam.

Dia pandang aku lama, sebelum tawanya meletus dengan kuat. "Habistu? Su ingat abang percaya ke?"

"Abang nak percaya ke tak, terpulang! Tapi, Su memang betul dah ada teman lelaki. Kami juga sebenarnya dah lama bercinta, tapi Su saja malas nak heboh." Semakin pandai pula aku mengarang cerita di depan abang Pian. Gasaklah, yang penting aku dapat lepaskan diri darinya.

"Okay! Kalau betul Su dah ada teman lelaki, tunjukkan pada abang. Su nak abang percaya, kan? Jadi, tunjuklah siapa teman lelaki Su tu. Tapi kalau Su tak boleh buktikan, Su kena kahwin dengan abang!" Abang Pian pun masih tak nak mengalah nampaknya.

Aduh, beratlah macamni! Kat mana aku nak cari 'teman lelaki' segera untuk tunjukkan pada abang Pian? Berkawan dengan lelaki pun tak.

Okay, boleh tak aku jerit sekarang?

Mak... Su tak nak kahwin dengan abang Pian!!!!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience