Abang Pian tengok wajahku dan abang Rizal silih berganti. Aku tak salahkan abang Pian kalau dia pening, sebab aku pun pening juga. Apa taknya, abang Rizal tiba-tiba saja turun dari kereta dan mengaku yang dia adalah teman lelakiku. Rasanya tak sampai seminit pun lagi aku fikir nak cari 'teman lelaki' segera, tapi sekarang tup tup dia dah muncul kat depan mata. Tapi, kenapa mesti abang Rizal?? Dia tu kan dah off-limited.
Aku syak abang Rizal tak sengaja dengar perbualanku tadi dan bila tengok keadaan jadi semakin tak terkawal, maka dia pun turun untuk tolong. Aku tahu abang Rizal cuma berniat baik, tapi aku tak rasa ini adalah cara yang tepat. Kerana takut bukannya selesai masalah, tapi jadi benda lain pula lepas ni.
Berbalik kepada abang Pian, nampak ketara yang dia masih terkejut. Mungkin terkejut sebab dia tak sangka akan ada lelaki dalam keretaku. Atau mungkin sebab dia tak pernah terfikir pun yang aku akan ada teman lelaki. Mesti dia ingat aku ni memang tak laku... sob sob sob!
"Betul ke ni, Su?" tanya abang Pian.
Di saat genting seperti itu, aku pula yang jadi teragak-agak. Sepatutnya, aku teruskan sajalah penipuan yang aku dah mulakan tadi. Tapi kalau aku iyakan saja apa yang abang Rizal cakap, aku takut masalah lain pula yang timbul nanti. Tolonglah, aku tersepit. Aku dah tak nak rumitkan lagi keadaan yang dah sedia ada ni. Ya Allah...
"Aku dah ada kat depan mata kau kan sekarang! Jadi, nak suruh Su buktikan apa lagi baru kau nak percaya?"
Berdebar dadaku. Walaupun riak muka abang Rizal ketika itu kelihatan cukup bersahaja, namun tetap ada ketegasan dalam nada suaranya. Nampaknya abang Rizal benar-benar serius nak tolong aku keluar dari masalah ni.
Sinis sekali muka abang Pian bila dia tengok ke arahku. "Jantan mana pula yang Su angkut malam-malam buta ni? Kesian ayah Su, kalau dia tahu Su buat perkara tak elok kat belakang dia."
Terkejut aku bila dituduh begitu.
Perasaan panik yang aku rasakan tadi, terus hilang dan bertukar kepada nak marah. Aku geram, apasal dia nak main tuduh aku macamtu?? Sudahlah abang Pian yang mula buat onar dulu, kemudian sesuka hati dia saja nak palitkan semula kesalahan padaku.
"Tak payah tukar topiklah. Sekarang Su dah buktikan apa yang abang minta. Abang kata nak tengok siapa teman lelaki Su tadi, kan? Jadi, inilah dia teman lelaki Su. Kitorang dah lama bercinta dan buat pengetahuan abang juga, tak lama lagi kitorang akan berkahwin. Jadi kalau abang masih ada maruah sebagai seorang lelaki, berhentilah kacau Su! Faham tak?!!" Akhirnya, aku melenting jua.
Abang Pian diam, tapi matanya mencerlung abang Rizal tajam. Kalau tak fikirkan yang tubuh abang Rizal lagi tinggi dan tegap berbanding dengan dirinya, aku rasa mungkin dah lama abang Pian ajak bertumbuk.
Ppang!!
Tak semena-mena, abang Pian pukul bumbung keretaku bagi melempiaskan rasa tak puas hatinya. Tak tahulah kalau body keretaku yang kemek atau tangan abang Pian yang sakit, sebab kuat kut pukulan tadi. Abang Rizal pula, tak menyempat, terus tarik tubuhku untuk bersembunyi di belakangnya. Mungkin dia risau kalau abang Pian akan bertindak dengan lebih agresif dan bakal mencederakanku.
Rahang abang Pian makin mengeras.
"Kita tengok saja macam mana nanti, Su. Kita tengok saja..." katanya yang berbaur ugutan. Tipulah kalau kata aku tak terkesan dan tak cemas, tapi seboleh-bolehnya aku cuba berlagak tenang. Kalau aku tunjuk gelabah, takut nanti abang Pian fikir yang dia boleh gertak aku lagi lepas ni.
"Su okay?" tanya abang Rizal sebaik saja abang Pian lesap bersama keretanya. Aku tak tahu ke mana dia nak pergi, dan aku pun tak nak ambil tahu juga. Lantak dialah, janji dia boleh terima dan berhenti kacau hidupku lagi.
Masa abang Rizal tanya aku tu, barulah aku sedar yang kami masih berdiri seperti tadi. Iaitu dengan kedudukanku di belakang abang Rizal dan tangannya pula masih pegang tanganku. Abang Rizal pun mungkin baru tersedar juga, jadi laju saja dia lepaskan pegangan.
"Maaf.." katanya.
"Eh, kenapa pulak? Sepatutnya Su yang kena minta maaf. Su minta maaf sebab dah susahkan abang sekali lagi," kataku sambil tunduk ke bawah. Itulah, siapa suruh yang degil sangat nak ke rumah Baizura malam-malam. Habis susah segala orang! Eh, habis susah abang Rizal!
Abang Rizal tergelak kecil.
"Takpe, Su tak susahkan abang pun."
Bila dia cakap macamtu, maka kuranglah sikit rasa bersalahku padanya.
"Tapi, dia memang tak pernah berhenti kacau Su ke?"
Aku terkejut sebab cara abang Rizal tanya, macam dia dah tahu pasal kisah abang Pian. Ke kak Intan yang cerita? Tak mustahil, sebabnya mereka berdua kan tengah bercinta. Jadi, mestilah ada sedikit sebanyak kisah pasal keluarga kami yang kak Intan ceritakan pada abang Rizal. Orang kata, saling mengenali keluarga masing-masing.
"Hmm...," gumamku perlahan.
"Sejak dari zaman sekolah menengah lagi. Dulu Su malas nak ambil kisah sangat, sebab ingatkan bila lama-lama dan Su pun tak layan, dia akan jadi bosan dan berhenti dengan sendiri. Tapi, Su silap. Makin lama dibiarkan, makin menjadi-jadi pula perangainya. Yang terbaru, dia siap nak hantar rombongan untuk pinang Su lagi."
"Habistu, Su terima ke?" Laju dia menyoal.
Aku terus ketawa.
"Kalau Su terima, jadi tak adalah Su terpaksa bohong macam tadi. Sampai terheret dengan abang Rizal sekali."
Namun tawaku terus mati bila fikirkan tentang reaksi kak Intan kalau dia dapat tahu pasal ni. Semoga saja yang dia takkan tahu. Segala apa yang berlaku malam ni, biarlah berhenti di sini saja.
Tapi kalau ditakdirkan cerita ini untuk sampai juga ke pengetahuan kak Intan, aku harap janganlah dia tarik rambut aku nanti. Kerana aku tak bersalah, aku juga hanyalah insan yang teraniaya. Dan aku memang tak ada niat pun nak guna abang Rizal untuk kepentingan sendiri.
"Jadi, macam mana lepas ni?"
"Macam mana apa?" Aku angkat kening.
"Macam mana Su nak selesaikan masalah dengan dia, kalau abang dah balik KL nanti?"
Aku faham apa maksud abang Rizal, tapi aku tak ada jawapan yang jelas. Kemudian, wajahku dibawa menekur ke lantai sambil jariku bermain sesama sendiri. Bila lenguh, aku tukar posisi paper bag ke lengan sebelah sebelum sambung bermain dengan jariku seperti tadi. Lama aku fikir.
"Setelah apa yang berlaku malam ni, mesti abang Pian pun dah tak berani kacau Su lagi."
Mata abang Rizal menatapku lama, mungkin dia dapat kesan ada ketidakpastian dalam jawapan yang kuberi.
"Sekurang-kurangnya untuk sementara waktu," sambungku lagi sambil ukir senyuman di bibir. Sungguh, aku tak nak dia risau.
Abang Rizal masih juga diam. Hanya deru nafasnya yang turun naik saja kedengaran di telingaku. Aku tak tahu apa yang bermain di fikiran abang Rizal. Lepas beberapa ketika, barulah dia ajakku pulang. Tapi kali ini, dia minta nak bawa kereta. Jadi, aku pun turutkan sajalah permintaanya itu.
***
Lepas sarapan, abang Rizal dan kak Intan pun terus bersiap-siap untuk berangkat. Kiranya, hanya dua hari sajalah mereka sempat balik dan bermalam di kampung.
"Nanti kalau ada rezeki, datanglah lagi." Ayahku cakap dekat abang Rizal yang tengah panaskan enjin keretanya.
"InsyaAllah," balas abang Rizal pula. Kemudian, matanya terus bergerak seperti mencari seseorang. Aku baru nak cakap yang kak Intan masih ada di dalam, bila matanya tiba-tiba berhenti tepat ke arahku. "Memang saya akan datang lagi." Kemudian, senyumannya meleret di bibir.
"Bagus, bagus. Kalau nak datang lain kali, pastikan datang masa musim buah di kebun belakang tengah ranum. Nanti dapatlah merasa sikit sebanyak hasilnya."
Abang Rizal pun kalihkan semula pandangannya pada ayah. "InsyaAllah, pakcik." Kemudian, dia terus sambung berborak lagi dengan ayah.
Aku yang berdiri tak jauh dari situ, masih lagi terkedu.
Abang Rizal memang betul pandang aku ke tadi atau aku yang perasan sendiri? Aku terus geleng-geleng kepala. Rasanya sejak abang Rizal muncul, aku rasa kepalaku pun dah banyak jadi tak betul.
"Kalau ada cuti nanti lagi, Intan balik pula."
"Jangan terlampau sibuk sangat bekerja, sampai solat jadi terabai. Dan kalau boleh, solat awal untuk setiap waktu," pesan ayah.
"InsyaAllah," sahut kak Intan.
Mak pula, matanya asyik fokus dekat abang Rizal aje dari tadi. Sepertinya dia tengah tunggu masa yang sesuai untuk buka mulut. "Rizal, nanti tolonglah tengok-tengokkan anak dara makcik ni, ya."
Aku sembunyi senyum.
Di saat-saat terakhir pun, mak masih nak pasang perangkap. Disebabkan kak Intan masih kunci rapat mulutnya dan sering berdalih bila kami tanya tentang abang Rizal, maka terpaksalah mak aku guna cara lain pula. Siapa tahu, umpannya kali ini mengena.
"InsyaAllah," balas abang Rizal sependek-pendeknya.
Muka mak berubah sekejap. Mungkin dia ingat, abang Rizal akan balas.. 'baik makcik, saya akan cuba jaga anak makcik sebaik mungkin. Atau, dah tentu saya akan jaga anak makcik seperti saya jaga nyawa sendiri.'
Terpancar jugalah riak kecewa di wajah mak.
Aku dekat belakang cuba untuk tidak ketawa. Tapi, pelik juga aku. Sebenarnya, mak nak bukti apa lagi. Memang dah terang lagi bersuluh yang abang Rizal itu adalah kekasih kak Intan. Kalau tak, takkanlah abang Rizal sanggup nak drive sampai beratus-ratus kilometer hanya untuk teman kak Intan balik ke kampungnya.
Aduhai, mak.
***
Aku jadi tak tenang menunggu bila mata abang Pian asyik mengekor pergerakanku dari tadi. Silap aku juga sebenarnya. Siapa suruh yang aku memandai-mandai sangat nak pergi sendiri ambil barang kemas mak, sedangkan aku tahu yang kedai emas ni abang Pian yang jaga.
"Dah siap ke?" Aku tanya pekerja yang bertugas.
"Sekejap ya dik, akak nak check sekali lagi."
Aku angguk. Jadi, terpaksalah aku tunggu lagi sampai barang kemas yang mak tempah tempoh hari betul-betul boleh dibawa balik. Bila aku nampak abang Pian tengah atur langkah untuk datang mendekat, terus saja aku pura-pura sibukkan diri dengan belek telefon. Kemudian, abang Pian rehatkan sikunya pada meja kaca sambil matanya merenungku dalam.
Sungguh, dia betul-betul buat aku rasa tak selesa.
"Sorang je? Teman lelaki Su tak datang sekali ke?" tanya abang Pian seakan mahu memerli.
"Kenapa teman lelaki Su tak datang? Kalau tak, bolehlah abang ajak berbual."
Telingaku jadi makin berdesing.
"Pasal malam tu..."
"Maaf, tapi abang Pian nak apa?? Teman lelaki Su sibuk. Dia bukannya jenis lelaki yang tak ada hala tuju dalam hidup, macam abang!"
Abang Pian ketawa. "Su ingat abang tak sibuk? Abang pun sibuk juga dengan kerja abang. Tapi bila abang nampak Su datang tadi, terus abang berhenti buat kerja. Sebab memang abang tak boleh nak fokus bila tengok cinta abang ada kat depan mata."
Aku tarik nafas dalam-dalam.
Mulutku pula terkunci rapat kerana malas nak layan.
Abang Pian sudah berpindah tempat. Dari dia berdiri, terus dia ambil kerusi dan duduk di sebelahku. "Putus sajalah dengan dia. Tak guna juga Su bercinta dengan orang yang takkan selalu ada untuk Su."
Tak habis lagi rupanya!
"Abang siapa yang nak arah-arah Su? Cukuplah, bang. Disebabkan abang, hidup Su jadi tak tenang. Daripada tak ada musuh, terus Su jadi ada musuh. Sampai bila Su nak kena hadap semua ni?!"
"Siapa musuh Su?" soalnya panik.
Geram pula aku. Aku cakap pasal masalah utama, tapi benda lain pula yang dia nak kecohkan.
"Siapa lagi, mak abang itulah!"
Terus meledak tawa abang Pian. "Oh, pasal mak abang tu Su tak payah risau sangat. Abang masih berusaha untuk pujuk mak abang supaya dia dapat terima Su."
"Terima kasih sajalah. Kalaupun Makcik Peah nak terima Su, belum tentu juga Su nak kahwin dengan abang."
"Kenapa?"
"Sebab Su tak ada perasaan dekat abang."
"Kenapa susah sangat Su nak bagi abang peluang? Abang sukakan Su, abang ikhlas sayangkan Su. Abang juga yakin yang abang dapat bahagiakan Su lebih dari apa yang jantan tu boleh buat."
"Ahmad Sufian!!"
Alamak, Makcik Peah dah datang!
Abang Pian pula, bila dengar saja suara maknya, terus kelam-kabut berdiri. Eh, panik juga rupanya! Itulah, masa cakap macam-macam tadi tak ada pula dia fikir pasal maknya.
"Apa yang kau buat ni??!" tengking Makcik Peah.
"Aku suruh kau jaga kedai, bukannya suruh kau menggatal dengan anak dara orang." Marah betul Makcik Peah sampai dia tak teragak-agak nak sembur anak kesayangannya di depan orang ramai.
"Mak, sabar. Kita bincang kat dalam," ujar abang Pian yang sepertinya tidak mahu keadaan menjadi semakin kecoh. Tapi sayang, semua dah terlambat.
"Bincang apa kat dalam?? Eh, kau ni Pian! Berapa kali kau nak aku cakap, baru kau nak faham hah?! Aku malu, tau tak! Aku malu sebab anak aku ni dah macam jantan tak ada maruah kerana tergila-gilakan dekat seorang perempuan!!"
"Mak, tolonglah jangan kecoh kat sini. Kesian dekat Su bila semua orang tengok."
"Oh, pasal Su kau tau kesian! Habistu, aku yang mengandung kau 9 bulan tak masuk lagi dengan sakit nak beranakkan kau, tak ada pulak kau nak rasa kesian!!" Tempelak Makcik Peah kuat.
"Mak, janganlah marah tak tentu pasal. Saya dengan Su bukannya buat perkara yang tak elok pun. Kami cuma duduk berbual aje tadi."
Makcik Peah pun tak menunggu lama, laju saja tangannya naik memukul abang Pian. Mungkin dia nak marah betul lepas dengar alasan abang Pian. Abang Pian pun satu, dah tahu maknya tengah marah, lagi-lagi dia buka mulut untuk menjawab. Manalah marah maknya nak reda.
Kemudian, Makcik Peah toleh ke arahku.
"Kau buat apa kat sini? Kau ni memang saja je kan, gatal nak datang cari anak aku kat sini?!"
Kali ini, aku pula yang jadi sasaran Makcik Peah.
Kebetulan, pekerja kedai emas Makcik Peah pula datang menghampiri. "Err, dik. Maaf lambat, ni barang kemas yang adik mintak tadi."
"Okay, terima kasih ya kak." Takut-takut aku nak ambil barang kemas tu sebab tahu mata Makcik Peah masih lagi perhatikanku macam singa lapar.
"Su hanya datang nak ambil barang mak dia," jelas abang Pian pula.
Terdiam terus Makcik Peah. Mungkin dia menyesal sebab dah sembur aku secara melulu seperti tadi dan untuk tutup malunya, dia terus berlalu masuk ke ruang belakang. Tapi bukan kata nak minta maaf, malah sempat lagi Makcik Peah bagiku jelingan maut sebelum dia berlalu pergi.
Abang Pian terus pandang aku dengan muka bersalah. "Maaf, Su. Abang tak sangka pun yang mak abang nak datang kedai harini. Kalau abang tahu..."
"Cukup!!" potongku laju. Cukup, aku dah tak nak dengar lagi. Mataku kemudian memandangnya dingin, sebelum mulutku bersuara, "Tahniah. Sekarang, abang betul-betul dah buat Su benci abang."
Share this novel