Bab 1

Romance Series 1792

Suasana di rumah Mak Long cukup meriah kerana begitu ramai sekali sanak saudara dan jiran tetangga yang datang untuk tolong menjayakan majlis kahwin anak perempuannya. Semalam dah pun dibuat majlis akad nikah, jadi harini akan berlangsung pula majlis persandingan antara kak Mira dan juga suami.

Aku banyak duduk kat bahagian dapur sebab nak tolong mak aku siapkan apa yang patut. Mak aku ketua rewang, jadi banyaklah tugasnya. Malah, sejak kelmarin lagi dia dah datang berkampung dekat rumah Mak Long. Aku pula baru harini terkedek-kedek datang nak tunjuk muka.

Mujur Mak Long faham macam mana sibuknya jadual aku sekarang. Pagi sekolah, petang ada kelas tambahan dan malam pula, kena buat tugasan dan ulangkaji. Kadang-kadang, nak makan dan solat pun sampai terpaksa berkejaran.

"Su tak pergi tengok kak Mira berdandan ke?" Mak Long tiba-tiba datang dan cuit bahuku dari belakang. Aku terus urut dada sebab terkejut, nasib baik tak terjatuh pisau dari tangan. Aku memang mudah terkejut orangnya. Kucing yang tiba-tiba melintas kat depan pun boleh buat aku menjerit, apalagi kalau ada orang datang menegur secara mengejut macamni.

"Tak, mak long," jawabku sambil geleng-geleng kepala. Sebenarnya aku nak juga pergi tengok, tapi niatku terbantut sebab kak Mira dah pun dikerumuni dengan ramai orang termasuk kawan-kawannya. Jadi, seganlah kalau aku pun nak pergi menyelit sama.

"Kenapa?" tanya Mak Long sambil elus rambut ikal mayangku. Aku hanya biarkan saja perlakuan Mak Long itu kerana dah tahu dengan perangainya yang suka melayan anak saudara seperti anaknya sendiri. Masa kecil-kecil dulu pun, aku kerap kayuh basikal pergi ke rumah Mak Long untuk bermain dengan anak-anaknya. Lepas tu, Mak Long akan hidangkan makanan, atau kadang-kadang dia akan bagi kami makan aiskrim. Memang seronoklah, lepas main aje terus dapat makan aiskrim ramai-ramai.

"Su segan dengan kawan-kawan kak Mira."

"Buat apa nak segan, mereka semuanya baik belaka. Su pergilah. Bila lagi nak tengok kak Mira berdandan sebagai pengantin, kan?" Mak Long masih bersungguh mahu aku pergi jengah ke bilik kak Mira.

Aku pun tengok mak yang sedang buat kerja sambil berbual-bual dengan kawan rewangnya. Serba salah aku nak buka mulut dan bagitahu dekat mak. Kalau aku hilang macamtu saja, takut tiba-tiba mak cari aku tapi tak jumpa pula nanti.

"Takpe, nanti Mak Long bagitahu," ujar Mak Long seperti tahu-tahu apa yang bermain dalam fikiranku. Kemudian, dia ambil pisau dari tangan dan suruh aku bangun, bergerak dari meja.

Aku senyum. "Okay, Mak Long."

Tanpa berlengah lagi, aku terus keluar dari dapur dan menapak pergi ke bilik kak Mira. Namun bila tengok keadaan masih sama seperti tadi, aku kembali teragak-agak untuk melangkah masuk. Aku jadi segan kerana tak biasa dengan mereka semua.

'Tak apalah, nanti boleh tengok juga kak Mira lepas ni,' getus hati kecilku setelah itu. Tapi kalau nak berpatah balik semula ke dapur, aku takut Mak Long akan menyoal pula. Lepas lama berfikir, akhirnya aku putuskan untuk pergi ke luar saja. Habiskan masa sekejap dekat sana, sebelum kembali semula ke dapur.

***

Tempat pertama yang dituju sudah tentulah ke bawah khemah. Memandangkan cuaca dekat luar agak panas terik, jadi cepat saja aku cari tempat untuk berteduh. Kemudian, mataku tekun memerhati keadaan sekeliling. Nampaknya semua kerja di luar sudah pun selesai, hanya lagi nak tunggu makanan siap dimasak dan dihidangkan di atas meja sebelum majlis bermula.

Bau air sirap pandan benar-benar buat aku tergoda, lalu aku pun menghampiri balang air yang disediakan untuk para tetamu. Niat hendak merasalah segelas, tapi aku tak jumpa pula cawan untuk minum. Mungkin mereka terlupa kut nak letak cawan kat tepi balang air ni, fikirku sendiri.

Maka, aku bergegas ke belakang rumah dan kembali semula dengan dua plastik cawan kertas, dan aku terus susun di atas meja. Lepas semua selesai, barulah aku dapat teruskan balik niatku yang sempat tergendala sebentar tadi.

"Bismillah..."

Tapi, betul lah apa orang cakap. Kalau namanya bukan rezeki kita, nasi yang dah ada dalam tangan, dan hanya tunggu nak disuap ke dalam mulut pun boleh lagi tumpah. Begitu jugalah dengan rezeki air sirap pandanku ni. Kerana belum sempat pun lagi nak aku merasa, tiba-tiba aku perasan ada seorang pakcik yang sedang berdiri di belakang dengan cawan di tangan. Rasanya dia pun nak ambil air juga, tapi tubuhku tak sengaja menghalang laluan.

"Eh, maaf! Saya tak perasan pulak ada orang. Pakcik nak ambil air, eh?" Dengan kalutnya aku bertanya.

Ekspresi muka pakcik itu nampak terkejut untuk sesaat, sebelum akhirnya dia mengangguk kecil. Alahai, kesian pula! Tanpa berfikir panjang, aku pun terus unjukkan cawanku padanya.

"Kalau macamtu, pakcik ambil yang saya punya."

"Hah?" Terkejut dia.

"Jangan risau, saya tak sempat minum pun lagi air ni." Aku cuba yakinkan dia yang air itu masih dalam keadaan selamat, jadi dia takkan terkena sebarang keracunan kalau minum dari cawan yang aku bagi.

Pakcik itu kelihatan serba salah, jadi aku pun tak teragak-agak untuk pegang tangannya dan bagi isyarat supaya dia ambil cawanku. Nasib baik dia menurut. Kemudian, cawan kosongnya pula aku ambil. Kiranya, kami saling bertukar cawan antara satu sama lain.

"Setel." Aku senyum dan berpaling semula ke arah balang untuk ambil minuman. Semoga saja kali ini ia menjadi rezekiku, doaku dalam hati. Namun ketika aku hendak pusing dan bergerak mencari kerusi, aku perasan yang pakcik tadi masih berdiri dekat situ dengan airnya yang masih tak terusik.

"Pakcik minumlah. Kalau ais cair nanti, dah tak sedap rasanya."

"Okay, terima kasih." Pakcik itu terangguk-angguk sebelum lemparkan senyumannya padaku. Aku pun turut tersenyum, membalas.

***

Majlis kahwin kak Mira berjalan dengan lancar. Rata-rata tetamu yang hadir cukup berpuas hati dengan layanan yang diberikan dan makanan pun sedap. Tersenyum lebarlah Pak Long dan Mak Long bila dengar pujian dari para tetamu. Sudah tentu mereka rasa berterima kasih pada semua yang dah bertungkus-lumus membantu demi menjayakan majlis perkahwinan anak perempuan mereka.

Lepas Maghrib, barulah semua kerja selesai dan masing-masing boleh tarik nafas lega. Kebanyakan tetamu dan warga rewang juga dah pun balik ke rumah masing-masing. Hanya yang masih ada lagi cuma saudara mara dan jiran tetangga yang tinggal berdekatan. Bila dah lama tak berkumpul untuk majlis kenduri seperti ini, maka agak ralitlah sikit semuanya duduk berborak.

Aku keluar rumah dan nampak kelibat abang Hadi, iaitu abangku yang tengah duduk di bawah khemah bersama saudara maraku yang lain. Sebetulnya, aku masih lagi tak sangka yang abang Hadi akan munculkan diri di hari perkahwinan kak Mira. Bila kenangkan yang mereka berdua pernah ada kisah silam bersama.

Kalau nak tahu, abang Hadi dan kak Mira sempat bercinta waktu zaman sekolah dan mereka hanya putus ketika kedua-duanya sedang melanjutkan pelajaran di universiti. Aku tak tahu kenapa mereka putus, tapi yang pasti, agak lama jugalah abang Hadi dan kak Mira tak bertegur sapa. Bila jumpa masa raya pun, seorang akan ke hulu dan seorang lagi akan ke hilir. Masing-masing sepertinya ada ego dan tak nak mengalah.

Jadi, kedatangan abang Hadi hari ini adalah sesuatu yang berada di luar jangkaan kami semua. Kak Mira pun nampak tenang saja dan tak terkejut bila nampak kelibat abang Hadi di majlisnya. Aku rasalah kan, mereka berdua dah pun sepakat untuk lupakan kisah lama. Kalau betul, baguslah. Macam orang kata, buang yang keruh dan ambil yang jernih. Kak Mira pun dah kahwin, jadi harapnya lepas ni giliran abang Hadilah pula.

"Eh, Su ada rupanya!"

Baru saja aku nak labuhkan punggung, tapi namaku dah pun diseru oleh seseorang. Maka, habis semua yang ada dekat situ terus berpaling ke arahku. Aku berdecit halus. Kalaulah aku tahu yang dia pun ada tadi, memang taklah aku datang. Lebih baik aku bersembunyi di dapur, daripada aku terpaksa tadahkan telinga dan dengar perkara yang bukan-bukan.

"Abang ingatkan Su takde, puas abang cari Su tau!"

Mataku mencerun tengok si gerangan yang selalu sangat mengusikku bila setiap kali dia ada peluang. Pantang saja nampak aku, terus dia nak keluarkan ayat-ayat mengoratnya yang selalu sangat buat aku rasa menyampah.

"Mestilah Su ada. Ini kan majlis kahwin kakak sepupu Su," balasku bersahaja.

"Tapi, kenapa abang langsung tak nampak Su tadi? Sedangkan Su cinta hati abang, jadi tak mungkinlah abang boleh terlepas pandang. Sebab mata abang ni, kalau boleh asyik nak ikut saja ke mana Su pergi."

Mereka yang lain pun apa lagi, terus tergelak riuh dan ada juga yang bersiul nakal. Agaknya mereka rasa kelakar, tapi bagi aku, tak. Kalau sekali dua abang Pian nak mengusik macamni, mungkin aku boleh terima lagi. Tapi kalau dah banyak-banyak kali, aku pun boleh jadi bosan. Apatah lagi, gurauannya selalu sangat tak bertempat.

"Adik aku tu," celah abang Hadi. Mukanya nampak datar saja, tapi tahulah yang dia tak senang dengan gurauan yang dilemparkan oleh abang Pian.

"Sebab aku tahu Su adik kaulah aku berani cakap macamni depan-depan. Aku nak kau tahu yang aku serius dan tak main-main."

"Banyaklah kau serius dan tak main-main. Adik aku, SPM pun tak habis lagi. Jadi, kau jangan nak berlebih-lebih pula." Abang Hadi beri amaran.

Abang Pian masih pamer wajah selamba. Tak tergugat langsung dia dengan amaran abangku. Kemudian, dia pandang aku balik sambil lemparkan senyuman.

"Su kan tak lama lagi dah nak SPM. Lepas habis exam nanti, tak payah sambung belajar. Su kahwin aje dengan abang. Kalau Su kahwin dengan abang kan, Su tak payah kerja. Hanya abang saja yang keluar cari nafkah untuk keluarga kita."

Aku hela nafas berat. Setiap perkataan yang keluar dari mulut abang Pian, hanya akan masuk telinga kanan dan keluar telinga kiri saja. Tak pernah aku nak ambil serius.

"Setuju tak, bakal abang ipar?" Abang Pian dah tersengih-sengih meminta pendapat abang Hadi.

Aku tengok abang Hadi hanya geleng kepala, mungkin malas nak berdebat dengan abang Pian. Takut makin dilayan, makin melalut pula dia perginya nanti.

"Mak mana?" tanya abang Hadi padaku.

"Tengah kemas barang sikit lagi dekat dapur."

"Abang nak beransur gerak dah ni. Esok awal-awal pagi lagi abang dah kena bertolak balik KL."

Macam apa yang aku cakap, kedatangan abang Hadi hari ini betul-betul mengejut. Dia tak maklum sepatah pun dekat mak ayah, tahu-tahu aje pagi tadi dah pun muncul kat laman rumah Mak Long.

"Abang tak tidur kat rumah ke?"

"Tak. Abang tidur kat hotel, sebab kawan abang pun ada sekali."

"Okaylah, abang tunggu kejap. Biar Su pergi panggilkan mak. Nak Su panggil ayah jugak?"

"Takpe. Nanti abang pergi sendiri jumpa ayah," kata abang Hadi. Aku pun terus berlalu pergi untuk panggil mak di dapur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience