Bila dengar kak Intan nak bawa kawannya datang bermalam, terus saja mak aku sediakan satu bilik kosong untuk tetamu. Sementara kak Intan pula, dia akan menumpang tidur di bilikku. Mujur katil yang aku guna jenis queen, jadi tak adalah kami berdua terpaksa berhimpit masa tidur nanti.
"Mak, tinggallah. Biar Su pula yang basuh," ujarku sebaik saja masuk ke dapur. Kesian pula dekat mak kerana aku langsung tak dapat nak sama-sama menolongnya di dapur. Haritu aku memang sibuk betul. Biasanya lepas baking, aku dah boleh serahkan tugas pada Shah. Tapi Shah pula tiba-tiba tak sihat, jadi terpaksalah aku ambil alih tugasnya buat sementara waktu.
"Mak dah siap dah pun," kata mak sambil letak pinggan yang baru dibasuhnya ke dalam bekas pengering. "Tapi kalau nak tolong juga, Su tolong hidangkan makanan kat atas meja," sambungnya lagi.
Jadi tanpa berlengah, aku terus ambil lauk-pauk dalam mangkuk kaca dan pergi susun dekat meja makan di luar. Banyak betul menu special yang mak masak, sampai pecah liur aku jadinya. Sudahlah perut aku memang berkeroncong dari tadi.
"Mereka dah sampai!" jerit ayah dari luar tak lama kemudian. Mak pun terus melangkah ke depan dan aku pula sibuk mengekor sekali di belakang mak.
"Eh, kak Intan tukar kereta baru lagi ke mak?" Lajuku bertanya bila nampak kereta import berwarna hitam yang tersadai di halaman rumah. Rasanya baru saja tiga bulan lepas kak Intan beli kereta baru. Enjin pun rasanya tak lasak lagi guna, jadi takkanlah dia dah tukar ambil kereta lain? Kereta Audi pula tu, bukan biashe biashe taste kakakku.
"Tak adalah. Kan kak Intan balik dengan kawan, jadi mungkin kereta kawan dialah tu," balas mak.
"Oh, betul juga." Aku terus tepuk dahi sendiri. Kenapalah sel-sel otakku tak berhubung?
"Assalamua'laikum," sapa kak Intan sebaik saja turun dari kereta. Dia pergi salam ayah dulu dan barulah datang dekat kami berdua yang berdiri di beranda rumah.
"Intan sihat ke?" tanya mak.
"Alhamdulillah, Intan sihat."
"Akak makin kurus je Su tengok. Makan ubat kurus apa, kak? Kongsilah tips." Cemburu betul aku tengok badan kak Intan yang tinggi lampai dan maintain aje sejak dulu. Pandai kak Intan jaga badannya meskipun sibuk berkerja.
"Memandai aje kata akak makan ubat kurus. Akak bersenam dan jaga pemakananlah, Su. Mana ada consume ubat apa-apa. Bahaya untuk kesihatan, tau tak."
Begitulah jawapan skema yang selalu kak Intan bagi. Tapi, memang tak boleh dinafikan apa yang dia cakap itu betul. Sekarang memang banyak produk yang boleh memudaratkan kesihatan yang dijual di luar sana. Seperti ubat kurus dan juga ubat untuk cerahkan kulit. Kalau buka social media pun, ada saja iklan yang menjual produk-produk sebegitu.
Masalahnya, kita tak pasti bahan apa yang digunakan sampai boleh bagi kesan yang begitu berbahaya kepada pengguna untuk jangka masa panjang. Aku selalu juga baca perkongsian yang dibuat oleh doktor pakar. Memang ramai yang terpedaya, dan akibatnya buah pinggang dan hati jadi rosak setelah ambil ubat-ubatan yang tak dapat kelulusan dari KKM itu. Ada juga side effect lain yang memudaratkan. Takut pula bila dengar. Betul lah orang kata, tak ada jalan mudah untuk nak sihat.
"Su tak pantang makan ke? Kenapa pipi tu tembam semacam dah akak tengok?"
Aku terus sentuh pipi sendiri bila ditegur begitu.
"Mana tak tembam, kalau hari-hari duk makan kek yang dia buat tu." Mak menyampuk.
"Su bukannya telan kek sebiji, Su cuma habiskan yang sisa-sisa aje."
"Sisa aje pun, tapi kalau dah hari-hari tambah kalori, tak ke naik juga lemak kat badan."
Aku muncungkan mulut, tak suka bila mak aku dah mula ceramah. Kak Intan pula sekadar ketawa dan langsung tak balas apa-apa. Pelik sebab selalunya kalau mak membebel pasalku, ada saja modal yang dia nak tambah supaya mak aku dapat membebel dengan lebih banyak lagi. Mungkin kak Intan masih penat kut, tunggu sajalah bila dia dah recharge tenaga. Habis dibahamnya aku nanti.
"Mak... kenalkan, ini kawan Intan," ujar kak Intan sebaik saja kawan lelakinya itu datang menghampiri.
"Assalamua'laikum..."
Mak aku jawab salam. "Siapa nama?"
"Rizal, makcik."
Mataku tak lepas dari tengok kawan kak Intan. Kemungkinan besar kenapa mataku asyik nak terus melekat adalah kerana lesung pipitnya yang jelas kelihatan tatkala dia tersenyum menjawab soalan-soalan mak. Manis sungguh. Selama aku hidup, rasanya baru kali ini aku dapat tengok seseorang yang punya lesung pipit di kedua-dua belah pipinya dan bila dia senyum, makin dalam pula lesung pipitnya itu terbentuk.
"Ini pulak adik I, namanya Suraya."
Bila kak Intan perkenalkan diriku, aku pun apa lagi, terus tersenyum lebar. Dia pun senyum juga, tapi hanya sekejap sebelum dia alihkan perhatiannya ke tempat lain. Tak ada nak beramah beramah mesra seperti apa yang dia lakukan dengan mak sebentar tadi. Aku fikir, mungkin ada dua sebab.
Pertama, sebab dia masih malu-malu nak berdepan dengan bakal adik ipar. Atau kedua, dia terkejut bila tengok begini rupanya adik perempuan kak Intan. Alahai, jauh beza dengan si kakak. Tapi, aku tak hairanlah kalau dia terkejut sebab boleh dikatakan yang penampilanku pada petang itu agak sememeh.
Cuba bayangkan, aku hanya keluar untuk sambut tetamu dengan hanya sehelai kaftan kelawar dan juga cardigan. Di dalam pula, aku pakai seluar tidur dengan corak polka dot. Memang macamni aje pakaianku di rumah, tak ada nak melawa bagai.
Cuma kalau Makcik Peah tengok, mesti dia akan bertambah meluat. Silap haribulan, dia akan pangkah terus namaku dari senarai calon menantunya. Tapi, memang aku tak pernah tersenarai dah pun. Hahaha...
***
Sempatlah kami semua duduk berbual sekejap di ruang tamu. Bila azan Maghrib berkumandang, mak ayah pun terus bangun untuk bersiap-siap pergi solat. Tapi sebelum berlalu, mereka persilakan kak Intan dan kawannya untuk menjamu selera terlebih dahulu. Lagipun, mereka berdua memang boleh buat jamak qasar. Aku pula yang tengah cuti solat, terus pergi ke dapur untuk siapkan apa yang patut.
"Kita makan dululah, lepas ni you dah boleh terus mandi dan rehat. Kesian you, mesti penat sebab drive jauh-jauh," kata kak Intan. Kawannya nampak bersetuju.
"Akak masuk toilet kejap. Su hidangkan dulu nasi untuk abang Rizal," pesan kak Intan sebelum dia berlalu pergi ke tandas di belakang dapur. Usai kakak aku cakap tu, abang Rizal pun datang dan duduk di meja makan.
"Err.. abang Rizal nak nasi banyak ke sikit?" Aku tanya sebelum sendukkan nasi ke dalam pinggan. Bukan apa, takut kalau dia pun jenis berdiet macam kak Intan juga. Jenis yang mula-mula minta nasi seciput, tapi kalau sedap minta nak tambah lagi. Itu namanya diet acah-acah, ramai yang macamni. Aku pun sama sebenarnya, huhu.
"Nak air," ujar abang Rizal tiba-tiba sambil hulurkan gelasnya padaku.
"Itu air." Aku tunjuk jug air sirap cincau yang ada kat atas meja. Hairan juga aku bila dia tak nampak jug besar gedabak yang ada kat depan mata.
"Tolong tuangkan," pinta abang Rizal lagi.
Berkerut dahiku. Tak sangka pula kawan kak Intan jenis macamni. Jenis yang nampak sado dan macho dekat luar, tapi mengada je lebih. Air pun nak suruh orang tolong tuangkan. Tapi disebabkan dia tetamu, jadi aku layankan sajalah permintaannya itu tadi.
"Terima kasih," ucap abang Rizal.
Aku sekadar mengangguk dan sambung kembali tugasku yang tergendala. Tapi, mataku sempat juga melirik ke arah abang Rizal yang nampak tersenyum manis lepas dia dapat minum air sirap tu. Mesti dahaga betul sampai minum air pun boleh buat dia rasa bahagia.
"Siapa yang masak semua ni?" Dia tanya aku. "Nampak macam sedap," sambungnya lagi.
"Mestilah sedap. Kalau abang Rizal makan nanti, mesti lagi sedap."
Abang Rizal nampak teruja. "Su ke yang masak?"
Aku agak sedikit terpempan bila abang Rizal panggilku dengan nama pendek saja. Tak salah pun sebenarnya, sebab semua orang memang panggil aku macamtu. Tapi bila abang Rizal panggil, tiba-tiba aku rasa janggal. Mungkin sebab kami baru lagi kenal, kut.
"Kalau lauk special macamni, Su mana pandai." Kak Intan tiba-tiba datang mencelah.
"Su pandailah masak."
"Ya, goreng telur mata je."
"Hello, siapa cakap yang Su cuma pandai goreng telur mata! Su sekarang dah pandai masak macam-macam tau, masakan Su pun dah kira level masterchef. Bagitahu saja akak nak makan apa, Su boleh terus masak."
Kak Intan buat muka tak percaya. Memang logik kalau dia tak percaya, sebab dia kan dah lama tak balik kampung. Sepanjang tempoh kak Intan tak balik tu, pelbagai jenis resepi yang aku dah berguru dengan mak.
"You pun pandai goreng telur juga, kan?" tanya abang Rizal. Tak tahu dia tengah perli ke apa sebab mukanya memang innocent habis.
Kak Intan nampak tercengang jugalah dengan soalan abang Rizal tu. Dengan aku sekali pun ikut terkejut. Beraninya abang Rizal, tak takut ke kak Intan merajuk? Kakak aku kalau dah mula merajuk, memang jenuhlah nak memujuknya. Tapi mesti abang Rizal pun dah tahu macam mana perangai kak Intan, jadi pandai-pandai dialah. Aku tak nak ikut campur urusan orang bercinta.
"Eh, kenapa tak makan lagi?" Ayah dan mak yang dah muncul di dapur, hairan bila tengok semuanya masih belum menjamu selera.
"Intan.. cedoklah lauk tu untuk Rizal," arah mak pula.
Jadi sepanjang makan malam, hanya ayah saja yang banyak berbual dengan abang Rizal. Kak Intan akan mencelah sekali-sekala bila perlu. Mak pula banyak diam sambil perhatikan interaksi antara kak Intan dan juga abang Rizal. Aku tahu, mesti mak ternanti-nanti bilalah kak Intan nak jelaskan tentang status hubungan mereka.
Kak Intan masih cakap yang abang Rizal adalah kawan. Tapi kalau mereka betul setakat kawan, aku tak rasa macamtu layanannya. Siapa-siapa pun boleh tengok cara kak Intan layan abang Rizal di meja makan. Dah macam pasangan suami isteri pula.
Aku saja cuit bahu mak, sambil kenyit mata nakal.
"Betul kan apa yang Su cakap haritu. Kak Intan bawa balik teman lelaki dia," bisikku perlahan di telinga mak. Saja nak mengusik. Mak pun apalagi, terus tepuk pahaku, minta aku duduk diam.
"Su sekarang buat apa?" Tak ada angin dan tak ada ribut, tiba-tiba abang Rizal tuju soalan padaku. Terus tak jadi aku nak suap makanan ke dalam mulut.
"Err.. Su meniaga," balasku ringkas. Kalau boleh, tak naklah aku bercerita panjang sebab takut nanti abang Rizal bosan pula dengar. Lagipun, memang tak ada apa yang menarik yang boleh aku berkongsi pasal pekerjaanku ini.
"Su meniaga, ambil tempahan buat kek dari pelanggan." Akhirnya, ayahku pula yang tolong jelaskan.
Abang Rizal sekadar mengangguk. Aku tak kecewa pun bila tengok respon sendu dari abang Rizal sebab dah terbiasa. Sebenarnya bila dia tak ada komen apa-apa pun, aku dah bersyukur. Sebab pernah ada yang perlekeh dan siap bandingkan lagi pencapaianku dengan adik-beradik yang lain. Jujur aku cakap, bila setiap kali ia berlaku, mesti aku akan rasa rendah diri yang teramat sangat.
"Ada bisnes sendiri senang, dekat mana-mana pun boleh buat," ujar abang Rizal tak lama kemudian. Eh, aku ingat dia diam sebab tak berminat nak cakap pasal ni?
"Kerja dengan orang sebenarnya agak terikat, kadang-kadang nak minta cuti pun susah. Dan bila Su nak kahwin nanti pun senang. Lepas dah kahwin, terus boleh ikut suami. Tak perlu fikir nak mohon tukar tempat kerja atau pun cari kerja lain. Bila dah ada pengalaman, Su boleh terus sambung buat bisnes," sambung abang Rizal lagi.
Mataku terkebil-kebil, memandangnya.
Jauh betul abang Rizal pergi. Aku sebagai tuan badan sendiri pun tak pernah terfikir sejauh itu.
"Betul tak, Su?" Kali ni, abang Rizal tengok aku.
Bila pandangan mata kami saling bertaut, serta-merta aku dapat rasakan wajahku memerah dan jantungku pula sudah berdegup laju.
"Err.. entahlah."
"Su masih muda. Manalah dia fikir lagi pasal kahwin tu semua," ujar kak Intan.
"Kalau dah tiba masanya nanti, tetap kena fikir juga," kata ayah pula. Aku cuma mampu tersenyum tipis, tak tahu nak respon macam mana bila namaku tiba-tiba saja menjadi topik perbincangan di meja makan. Dan semuanya, gara-gara abang Rizal.
Share this novel