Setelah kelopak mataku terbuka, aku dapat tengok siling putih yang memenuh dekat atas. Lama aku diam dan mengelamun sambil mata mengerdip sesekali. Fikiranku kosong, sementara badanku pula terasa lemau habis. Entah berapa lama aku terbaring kat atas katil sampai boleh rasa lemah dan lesu begini.
"Air," pintaku yang tiba-tiba rasa dahaga.
"Nak airrr..~!" Kali ini, suaraku agak merengek sikit kerana tak tahan dengan rasa kehausan.
"Su nak air?"
Tiba-tiba, datang seorang lelaki yang sejak kebelakangan ini selalu saja memenuhi fikiranku. Siapa lagi, kalau bukan abang Rizal si lesung pipit. Tapi kali ini, tak ada pula lesung pipitnya itu. Yang aku nampak hanyalah riak kerisauan yang jelas terpacar di wajah abang Rizal.
Aku angguk sedikit. "Dahaga..."
Tanpa bercakap banyak, abang Rizal terus pergi ke tepi katil, tuang air ke dalam gelas dan hulurkan padaku. Kemudian, dia angkat pula kepala katilku supaya aku dapat minum dengan selesa. Aku tarik nafas lega bila air mula membasahi tekakku yang kering ini.
"Alhamdulillah..." ucapku setelah selesai.
Kemudian, abang Rizal ambil semula gelasku tadi dan letak kat atas meja di tepi katil. Ketika itu, barulah aku perasan sesuatu yang tak kena di sekililing. Mataku terkebil-kebil, meneliti persekitaran yang terasa cukup asing sekali.
Rupanya aku sekarang bukan berada di bilik tidur, tapi kat tempat lain. Tempat ni terasa seperti di hospital, lalu cepat saja mataku jatuh pada kain selimut yang menutupi sebahagian tubuhku. Memang ada logo hospital dekat situ.
"Kenapa Su boleh ada kat hospital?" soalku laju.
Kemudian, aku tengok pula abang Rizal yang masih berdiri di sebelah katil sambil memandangku.
"Abang dah lama ke kat sini?"
Abang Rizal angguk. Sekali lagi mataku terkebil-kebil, cuba proses apa sebenarnya yang dah berlaku. Kalau abang Rizal cakap yang dia dah lama ada kat sini, maknanya dia pun tengoklah masa aku tidur tadi?
Tanpa disuruh, mukaku terus berubah warna. Malu, oii! Sebabnya aku kalau tidur memang macam orang tak ingat dunia, tak sempat nak control ayu bagai. Kalau tak ada orang tengok, kira okaylah lagi. Tapi masalahnya, sekarang ada abang Rizal!
"Su takde buat benda pelik-pelik kan?"
"Hah?" Abang Rizal macam terkejut dengan soalanku.
"Okay, takpe. Lupakan saja..." Aku dah tak nak cakap pasal tu, tapi rasa maluku ini masih belum berkurang. Jadinya, aku larikan mata ke mana-mana. Asalkan aku tak perlu tengok muka abang Rizal buat sementara waktu.
"Su tak ingat ke?" soal abang Rizal sambil tarik kerusi dan duduk di depanku.
Aku pandang dia semula. "Ingat apa?"
"Pasal apa yang dah berlaku semalam.." Matanya nampak redup sangat ketika dia menatap wajahku.
"Semalam...?" Aku cuba mengingat apa yang berlaku, sehinggalah bayangan wajah abang Pian muncul dalam fikiran.
"Abang Pian!!" Terus saja tanganku menggigil bila aku dapat ingat dengan jelas tentang apa yang dah berlaku. Bermula dari abang Pian yang heret aku sampai ke kereta, sehinggalah aku terpaksa bergelut untuk selamatkan diri. Dan ketika aku berjaya meloloskan diri dari cengkaman abang Pian, aku terus lari ke arah jalan. Masih jelas terngiang jeritan abang Pian memberi amaran bahawa kereta sedang meluncur laju ke arahku. Tapi setelah itu, aku langsung dah tak ingat apa-apa.
"Dia nak culik Su...!" Aku menjerit ketakutan.
"Dengar cakap abang, Su sekarang dah selamat."
"Tapi, Su takut! Semalam dia memang ugut nak bawa Su ke Siam! Su tak nakk!" Memang tak terbayang dalam fikiran kalau rancangan abang Pian tu berjaya. Nanti dia akan paksa aku kahwin dengannya kat sana!
Abang Rizal yang nampak risau, terus dekatkan lagi jarak kami berdua. "Su..." panggilnya lembut.
"InsyaAllah selagi abang ada, dia tak akan boleh buat apa-apa dekat Su. Abang akan jaga Su, jadi Su jangan risau."
Aku terkedu dengan ayat abang Rizal sebentar tadi. Ditambah pula dengan tatapan mata yang diberi, aku dapat rasa hatiku yang gelisah tadi terus berubah menjadi tenang. Memang betul aku masih belum kenal abang Rizal dengan cukup baik. Tapi kenapa untuk kali ini, aku rasa seperti mahu percayakan kata-katanya. Juga percaya yang kehadiran abang Rizal bakal membawa makna lain dalam hidupku.
Setelah itu, kami sama-sama diam. Aku hanya tundukkan kepala ke bawah, sambil fikiranku hanyut melayan perasaan. Abang Rizal pula, walaupun diam, tapi matanya masih tak lepas dari memandangku. Mungkin dia nak bagi aku masa untuk tenangkan diri dan jujur aku katakan, aku sangat hargai keprihatinan yang ditunjukkan oleh abang Rizal itu.
"Abang.." Aku panggilnya setelah beberapa ketika.
"Hmm," sahutnya perlahan.
"Su kena langgar dengan kereta ke?"
Abang Rizal diam.
Bila tengok reaksi abang Rizal itu, aku mula rasa tak sedap hati. Janganlah ada perkara buruk yang terjadi padaku. Oleh kerana abang Rizal masih lagi diam tanpa sebarang kata, jadi terpaksalah aku sendiri yang cari jawapannya.
Dengan tangan terketar-ketar, aku beranikan diri untuk selak selimut hospital yang menutupi hampir separuh badanku. Sedikit perasaan lega bertamu bila aku nampak kedua-dua kakiku masih ada dan juga berada dalam keadaan elok sempurna, tanpa berbalut sedikitpun.
Tapi, dah tentu perasaan ingin tahuku tak berhenti di situ saja. Aku cuba gerakkan jari kaki kiri, kemudian kaki kanan. Sekali lagi aku berasa lega kerana semuanya masih boleh digerakkan seperti biasa. Lepas tu, aku silangkan pula kaki kanan atas kaki kiri. Mataku terbeliak luas.
Eh, laju saja gerak! Macam tak ada kesan seperti orang kena langgar dengan kereta pun. Aku mula garu kepala yang tak gatal. Tak ada sebarang luka atau calar pun dekat seluruh badanku, tapi kenapa pula aku boleh sampai terbaring kat atas katil hospital ni?
Abang Rizal tergelak juga akhirnya, setelah dia tengok aku termangu-mangu seorang diri.
"Kenapa abang gelak?" soalku dengan agak polosnya.
"Su ingat cerita Su ni macam dalam drama tu ke? Sikit-sikit heroin kena langgar dengan kereta. Lepastu, nak bagi penonton sedih, heroin tu pulak terus hilang ingatan...! Huh, itulah padahnya bila layan banyak sangat drama!"
Mulutku jadi ternganga luas gara-gara terkejut dengan kemunculan abang Hadi. Aik, bila pula abang aku ada kat kampung? Rasanya banyak benda yang dah berlaku sepanjang aku pengsan.
"Tapi, Su memang kena langgar kan?" soalku masih inginkan kepastian. Sebab memang jelas dalam ingatanku, kereta yang datang dengan begitu laju ke arahku semalam dan aku pula memang langsung tak sempat nak mengelak.
"Belum sempat nak langgar, tapi Su dah pengsan dulu atas jalan raya. Nasib baik juga kereta tu sempat tekan brek," jelas abang Hadi.
Aku dah terlopong. "Eh, biar betul?!"
"Betul lah, ingat abang melawak. Sekarang dah sedar pun, kan? Jadi tunggu apa lagi, pergilah bersiap cepat. Buat susah Rizal aje bayarkan bil hospital. Kalau abang, tak ada maknanya abang nak masukkan Su ke hospital hanya gara-gara pengsan," rungut abang Hadi tak puas hati sambil letak beg yang dia bawa kat atas katil.
Tunggu sekejap...!
Apa abangku cakap tadi? Abang Rizal yang bayarkan bil hospital? Kenapa pula boleh sampai abang Rizal yang buat macamtu? Aku kan masih ada keluarga lagi.
"Nanti Su ganti balik duit abang."
"Su tak payah risau pasal tu," katanya sambil senyum.
Macam mana aku tak risau? Aku masih belum ada jawapan untuk pinangannya, jadi aku tak naklah kebaikan yang dia buat dekat aku ni boleh mempengaruhi keputusanku nanti. Tapi, bukan ke kehadiran abang Rizal dan kata-katanya tadi dah berjaya buat hatiku merasakan sesuatu? Hmm.. aku terus geleng-geleng kepala sendiri.
Mataku kemudian meleret ke arah abang Rizal yang dah pun bangun dari kerusinya. Dia bagitahu abang Hadi yang dia nak pergi uruskan hal discharge aku ni.
Abang Hadi terus angguk. "Lepas dah setel nanti, kau tunggu je kat bawah. Kejap lagi aku turun dengan Su."
Sempat aku mengernyit hairan. Kenapa aku rasa mereka berdua macam dah lama kenal? Sebab aku langsung tak nampak sebarang kejanggalan sewaktu mereka berinteraksi dari tadi. Atau mungkin mereka dah pun berkenalan sepanjang aku pengsan di katil hospital ini. Hmm, mungkin. Aku pun malas nak fikir banyak.
"Eh, mengelamun pulak dia! Pergi siap cepat, tukar baju yang abang bawak ni."
Aku mencebik bila kena marah lagi. Kenapalah abang aku meroyan sangat harini? Aku rasa kucing jiran sebelah yang nak beranak pun tak adalah pemarah macam dia.
"Padanlah sampai sekarang abang tak ada girlfriend..."
"Su cakap apa?? Ingat abang tak dengar ke?!"
Aku telan liur. Sebelum abang Hadi marah atau membebel dengan lebih teruk lagi, lebih baik aku cepat-cepat lari dan selamatkan diri.
***
Kesimpulannya, Makcik Peah tak bagi keluargaku panjangkan cerita atau pun buat laporan polis berkenaan abang Pian. Sanggup dia datang ke rumah dan pujuk mak ayah untuk tidak ambil sebarang tindakan. Sebagai balasan, Makcik Peah berjanji akan hantar abang Pian untuk duduk dengan kakaknya di Sabah supaya dia takkan dapat kacau aku lagi. Aik, tahu pula Makcik Peah kalau anak lelakinya itulah yang selalu datang menggangguku.
"Kalau jantan tu berani tunjuk mukanya lagi, memang siaplah!" kata Abang Hadi meluahkan rasa geram. Memang sejak dari dulu lagi, abang Hadi dah tak berkenan dengan sikap abang Pian yang selalu bergurau tak bertempat denganku. Malah, aku rasa tiada siapapun dalam keluarga kami yang sukakan abang Pian. Cumanya kami tak pernah anggap abang Pian adalah seorang yang berbahaya, sehinggalah dia berani buat tindakan melampaui batas seperti semalam.
"Nak apa?!" sergah abang Hadi bila nampak aku yang sedang terkial-kial di sebelahnya.
Aku berdecit halus, sambil gosok dada sebab terkejut.
"Su nak ambil sudu ajelah."
Sempat lagi abang Hadi hadiahkan aku jelingan. Aku tahu yang dia nak marah dekat abang Pian je sebenarnya, tapi kenapa dengan aku sekali pun kena? Apa salahku?!
Tapi bila mak cerita macam mana risaunya abang Hadi bila tahu pasal kejadian yang menimpa aku ini, terus aku jadi terharu. Mana taknya, abang Hadi terus bergegas pulang dengan menaiki flight bila ayah bagitahunya tentang kejadian yang menimpaku.
Sementara kak Intan pula, dia minta maaf sebab tak dapat nak balik kerana tengah outstation. Jadi, dia hanya boleh tunggu khabar aku dari jauh saja. Aku okay, tak ada nak rasa terkilan apa pun sebab aku tahu masing-masing ada urusan.
"Betul ke kamu nak balik juga malam ni?" tanya ayah.
Abang Hadi angguk. "Ya, ayah. Saya cuma ambil EL sehari je, jadi tak boleh nak extend cuti lagi. Saya minta tolong Rizal hantarkan ke airport malam nanti."
Bila nama abang Rizal disebut, barulah aku teringat tentang kewujudannya. Hairan juga, dia datang sini memang semata-mata sebab aku ke? Kata mak, abang Rizal yang bersungguh minta aku dimasukkan ke hospital biarpun keadaan aku baik-baik saja. Dan dia sanggup drive dari KL sampai ke kampung sejurus dapat tahu pasal aku. Tiba-tiba aku rasa nak menangis. Kenapa ramai sangat yang risaukan aku ni?
"Abang Rizal pula bila nak balik KL?" Gatal saja mulutku bertanya. Bukan niat nak menghalau, cuma hati kecilku ni saja yang kepoh nak tahu.
"InsyaAllah, pagi esok abang bertolak."
"Oh." Aku angguk sekilas.
"Tapi kalau Su nak, abang boleh stay lagi sehari dua."
Hampir tersedak aku di meja makan. Kemudian, aku pandang abang Rizal dengan penuh tanda tanya. Apa maksudnya, kalau aku nak? Tapi, abang Rizal sekadar membalas dengan senyuman. Aku tak tahulah kalau abang Rizal sedar ke tak, tapi senyumannya berjaya buat hatiku cair entah untuk kali yang ke berapa.
"Benda baik buat apa nak lambat-lambatkan, betul tak Zal?" Kemudian, aku nampak abang Hadi dan abang Rizal saling bertukar isyarat melalui pandangan mata.
"Abang cakap apa?" Aku tanya sebab nak tahu.
"Eh, sibuk nak tahu jugak! Abang bukannya bercakap dengan Su, jadi tolong jangan nak menyibuk sangat!"
Ya Allah, meluat pula aku rasa dengan perangai abang Hadi ni. Boleh tak aku luku saja kepalanya? Tak kisahlah dia abang aku ke tak, janji aku dapat balas dendam kerana harini saja dah berpuluh-puluh kali aku terpaksa hadap perangai meroyannya. Huh..!
Share this novel