Sejurus saja tiba di laman rumah, aku nampak sebuah kereta yang kukira adalah milik keluarga abang Rizal. Hatiku kembali resah bila memikirkan nasib yang bakal menimpaku sebentar lagi. Aku tarik nafas dalam-dalam dan bila dah rasa bersedia sikit, barulah aku turun dari kereta.
Masa sampai di ambang pintu, aku dapat dengar suara mak ayah yang sedang rancak berbual dengan tetamu. Aku cuba untuk menyelinap masuk kerana tak nak bagi mereka perasan dulu. Tapi, rancanganku tak berjaya kerana awal-awal lagi mak dah nampak kehadiranku dekat situ.
"Balik dah pun Su."
Aku telan liur bila teguran mak dah pun berjaya curi perhatian semua orang. Terus aku jadi kaku dan berdiri keras macam anak patung, kerana tak tahu nak buat apa. Biasanya aku tak adalah jadi janggal begini bila tetamu datang ke rumah. Namun kali ini, lain pula. Mungkin sebab aku tahu mereka datang bukan untuk berkunjung semata-mata, tapi ada tujuan lain juga!
Ayah berdeham perlahan. Bila aku masih tak menunjukkan sebarang reaksi untuk menegur tetamu yang datang, jadi terpaksalah dia mulakan dulu.
"Inilah anak pakcik, Suraya."
Sepasang suami isteri muda yang aku rasa mungkin dalam lingkungan lewat 30-an, terus tersenyum ramah padaku. "Suraya ye, apa khabar?" soal si suami. Manakala isterinya pula, lekas berdiri dan hulurkan tangan untuk bersalam denganku.
"Alhamdulillah sihat," jawabku perlahan. Disebabkan aku masih belum pulih dari rasa terkejut, jadi bibirku langsung tak mampu nak ukir senyuman pada mereka.
"Saya Fahrin, abang Rizal dan ini isteri saya, Aleya."
Aku hanya angguk dan balas dengan senyuman kekok.
"Mereka sebenarnya datang ke mari membawa hajat."
Alamak! Aku terus tahan nafas bila ayah nak buka cerita. Memanglah mak dah bagitahu aku kat dalam telefon tadi, tapi sekarang aku nak kena dengar sendiri dari ayah. Okay, aci ke tak kalau aku lari je masuk dalam bilik? Sebabnya aku rasa aku tak bersedia lagi nak dengar.
"Suraya..." Kali ini, abang Fahrin panggilku.
"Pertama sekali kami nak minta maaf dekat Suraya dan juga keluarga kerana datang secara mengejut. Sebenarnya, kami sendiri pun tak sangka..."ujar abang Fahrin sebelum ketawa kecil. Aku tengok kak Leya pun dah tersenyum simpul di sebelah suaminya.
"Tujuan kami datang ke mari adalah untuk berkenal-kenalan dengan keluarga Suraya dan sekaligus, kami berniat nak meminang Suraya untuk adik kami iaitu Rizal," kata abang Fahrin berterus-terang, tak ada nak berkias-kias dulu.
Sudah tentulah aku terkejut! Walaupun aku memang dah tahu tujuan mereka ke mari, tapi rasa terkejutku ini tetap juga tak berkurang.
"Su okay ke?" tanya mak risau kerana dia dapat rasa yang tanganku dah pun bertukar sejuk seperti ais.
Soalan mak itu terpaksa aku biarkan saja tak berjawab kerana fikiranku sekarang dah pun bercelaru. Banyak soalan yang timbul, dan sudah tentulah soalan yang paling penting sekali adalah kenapa? Kenapa abang Rizal nak pinang aku, bukannya kak Intan?
"Suraya okay? Atau Suraya nak bercakap dengan Rizal dulu? Abang boleh call minta dia datang kalau Suraya nak." Mungkin abang Fahrin pun perasan ada yang tak kena dengan reaksiku ketika itu, jadi cepat saja dia bersuara.
"Dia ada kat sini juga ke?" tanyaku terkejut.
Abang Fahrin sengih. "Ada. Abang call dia dulu ya."
Dan tak sampai sepuluh minit, abang Rizal dah pun muncul di depan rumah. Maksudnya dia memang dah ada berlegar-legar dekat kawasan kampung ni, jadi bila abangnya telefon, cepat saja dia datang ke mari.
"Su..." tegur abang Rizal.
"Kita bincang dekat luar," kataku tanpa basa-basi dan ketika hendak meluru keluar dari rumah, sikit pun aku tak pandang dia. Tapi, aku tahu yang dia ikut dari belakang melalui derap langkah kakinya itu. Aku bawa dia ke meja batu di luar rumah supaya tak ada gangguan sewaktu kami bersoal jawab nanti.
"Abang kena jelaskan semua ni." Aku pusing dan menghadap abang Rizal yang berdiri tak jauh dari tempatku. Dan untuk seketika, aku jadi terpana lepas tengok penampilannya. Tadi masa dekat dalam, mungkin aku tak perasan lagi. Tapi sekarang bila dah tengok abang Rizal berdiri kat depan mata, tiba-tiba aku terus rasa macam nak pitam pula. Sebab kacak sungguh!
Mataku seakan-akan terpaku lepas tengok abang Rizal yang datang dengan berkemeja hitam sambil lengannya dilipat kemas hingga ke paras siku. Kalau dulu, abang Rizal hanya biarkan saja rambutnya jatuh menutup dahi. Tapi sekarang, dia sengaja rapikan rambutnya ke atas hingga menampakkan langsung dahinya. Cukup sajalah aku katakan, kalau penampilan abang Rizal kali ini berjaya buat dadaku menjadi sesak dan susah nak bernafas.
"Apa yang Su nak abang jelaskan?"
Aku tak jawab dulu, sebaliknya aku buka langkah ke belakang sikit sebab tak boleh nak fokus bila berdiri dekat sangat dengan abang Rizal. Lepas dah rasa selamat, barulah aku tengok wajahnya semula. "Boleh jelaskan kenapa abang suruh keluarga abang datang pinang Su?"
"Sebab abang nak kahwin dengan Su." Mudah saja jawapan yang abang Rizal bagi. Macam semudah ABC.
"Tapi, kenapa? Kenapa abang nak kahwin dengan Su? Sepatutnya abang kena kahwin dengan kak Intan," kataku sambil bercekak pinggang dan melihatnya tajam.
"Kenapa pula abang nak kena kahwin dengan Intan?"
Mataku terbeliak luas lepas dia tanya soalan tu. Perlu ke aku bawa keluar buku dan pensil, dan coret-coret jawapan atas kertas supaya abang Rizal faham? Aku rasa budak tadika pun tahu apa jawapannya.
"Abang kan teman lelaki kak Intan. Jadi, mestilah abang kena kahwin dengan dia."
Terdiam terus abang Rizal, tapi matanya masih setia menatapku. Kemudian, dia atur langkah ke depan sampai hanya tinggal selangkah saja dari tempatku berdiri. Aih, macam sia-sia pula aku buat penjarakkan tadi!
"Siapa cakap?" soal abang Rizal sambil tundukkan kepalanya sedikit ke bawah. Aku tahu dia buat macamtu supaya dia dapat tengok wajahku dengan lebih jelas. Maklumlah, aku kan agak pendek orangnya. Kalau nak dibandingkan dengan abang Rizal, memang jauh berbeza ketinggian kami berdua.
"Siapa cakap yang abang teman lelaki Intan?" Kali ini, suara abang Rizal terdengar cukup serius sekali. Sampai aku jadi teragak-agak untuk menjawab.
"Intan ke?" Dia tanya lagi.
Aku terus geleng kepala.
Kalau ikutkan, memang kak Intan tak pernah pun cakap yang abang Rizal itu adalah kekasihnya. Hanya aku saja yang memandai-mandai kata mereka berdua bercinta.
"Sebab kak Intan tak pernah bawa balik mana-mana kawan lelakinya ke rumah sebelum ni. Jadi, sebab itulah Su ingat abang Rizal adalah kekasih kak Intan," jelasku.
Aku dengar abang Rizal hela nafasnya perlahan. "Su dah salah faham ni. Abang dengan dia tak pernah ada apa-apa hubungan pun, kecuali kawan."
Aku tercengang. "Kawan?"
"Ya, kami hanya kawan saja," tegas abang Rizal.
Urghh..!!
Aku gigit bibir dan terus larikan muka ke tempat lain. Itulah, siapa suruh tak nak percaya sangat dengan cakap kak Intan tempoh hari. Kan, dah jadi termalu sendiri!
"M-maaf, Su tak tahu..."
Abang Rizal ketawa. Kemudian, dia duduk di kerusi batu, sebelum minta aku buat benda yang sama. Rupanya kami berbual dalam keadaan berdiri saja dari tadi. Patutlah aku rasa penat betul. Penat tenaga dan juga penat fikiran.
"Tak apa, abang faham. Cuma sekarang abang nak tahu, Su sudi ke tak terima pinangan abang?"
Soalan abang Rizal sempat buat aku berjeda seketika. Memanglah aku rasa lega bila dapat tahu yang abang Rizal dan kak Intan tak ada apa-apa hubungan, tapi itu masih belum cukup untuk puaskan hatiku. Aku masih perlukan penjelasan di sebalik tindakannya ini.
"Kenapa abang tiba-tiba nak kahwin dengan Su?"
Mata abang Rizal menatapku lama.
"Sebab abang suka Su," balasnya kemudian seperti baca skema jawapan peperiksaan. Langsung tak ada perasaan, jadi macam mana aku nak percaya dengan cakapnya itu.
"Abang, jangan bergurau."
"Siapa kata abang bergurau? Sebab abang suka Su lah, jadi abang nak ajak Su kahwin dengan abang."
Ddeg!
Aku berhenti seketika, sambil tenung mata abang Rizal. Hati kecilku memang terdetik untuk percayakannya, tapi fikiranku masih lagi mahu menolak. Mungkin sebab kahwin bukan perkara kecil, jadi aku tak nak buat keputusan secara melulu. Lagipun, masih ada satu benda yang buat aku rasa kurang senang.
"Kenapa mak ayah abang tak datang sekali? Kalau abang bersungguh nak kahwin dengan Su, tapi kenapa cuma abang Fahrin dan kak Leya aje yang datang? Ke abang memang saja sorokkan hal ini dari pengetahuan mereka?"
Abang Rizal senyum dan tegakkan semula badan. Manakala, matanya pula langsung tak lepas dari memandangku. "Kalau itu yang buat Su kesal dengan abang, abang minta maaf. Bukan abang tak nak mak ayah abang datang, tapi mereka saja yang tak berkesempatan."
"Kenapa pula tak berkesempatan?" tanyaku polos.
"Sebab mak ayah abang dah tak ada."
"Tak ada?"
Abang Rizal angguk. "Hmm. Mereka dah meninggal dunia, dua tahun yang lalu akibat nahas jalan raya."
Terus tersentak aku dibuatnya. Tiba-tiba, hatiku dipagut dengan rasa yang bersalah amat sangat. Dari tadi, aku asyik salah faham dan buat rumusan sesuka hati saja pasal abang Rizal.
"Maaf..."
"Takpe, abang faham. Tadi tu sebab Su tak tahu, kan?"
Walaupun rasa bersalah, tapi aku rasa nak tergelak juga bila abang Rizal macam dah tahu-tahu apakah yang akan keluar dari mulutku ini. "Su tak kenal abang, jadi sebab itulah banyak perkara pasal abang yang Su tak tahu. Su yakin, abang pun mesti rasa benda yang sama juga, kan?"
"Kita boleh saling kenal antara satu sama lain lepas dah kahwin nanti."
Aku hanya diam, tak bagi respon apa-apa.
"Abang bagi masa Su untuk berfikir dulu. Jangan buat keputusan lagi," katanya lepas tengok wajahku yang nampak jelas teragak-agak.
"Su tak rasa..."
"Fikir dulu," cantas abang Rizal tak bagi aku sudahkan ayat. "Kalau pun Su nak tolak pinangan abang, Su buat lepas dah fikir masak-masak. Okay?" pinta abang Rizal yang nampak sangat berharap. Jadi, terpaksalah aku turutkan juga permintaannya itu walaupun dengan berat hati.
***
"Su nak cakap apa?" tanya kak Intan tanpa basa-basi. Dia memang tahu yang aku takkan telefonnya kalau tak ada sebarang tujuan.
"Err.. Su nak cakap pasal abang Rizal."
Kak Intan menyepi seketika sebelum bertanya, "Kenapa dengan dia?"
"Ermm, akak dah tahu ke...?" Sejujurnya, aku berdebar juga nak tahu apakah penerimaan kak Intan mengenai soal itu. Memanglah aku tak perlu risau kerana abang Rizal dan kak Intan tak ada apa-apa hubungan. Tapi entah kenapa, aku tetap juga rasa tak selesa.
"Pasal dia masuk meminang Su tu ke?"
"Ya," jawabku perlahan.
"Akak dah tahu, mak dah bagitahu akak semalam."
"Akak tak terkejut?"
Kak Intan ketawa perlahan. "Mestilah terkejut sebab akak langsung tak sangka yang dia akan buat macamtu."
Jadi, seperti apa yang mak aku ceritalah. Kak Intan pun tak tahu menahu pasal kunjungan keluarga abang Rizal ke rumah untuk datang meminangku. Abang Rizal memang langsung tak bagitahu apa-apa dekat kak Intan, meskipun mereka berkawan.
"Su call akak ni, sebab nak tanya pasal abang Rizal ke?"
Mula-mula aku angguk kepala. Tapi bila sedar yang kak Intan takkan nampak, jadi cepat saja aku menggumam.
"Hmm.. akak tak ada benda nak cakap."
Dahiku berkerut sedikit. "Bukan akak dah kenal lama dengan abang Rizal?"
"Betul. Tapi, Su tak boleh nilai abang Rizal dari sudut pandangan akak saja."
"Su bukan apa, kak. Su cuma nak tahu kalau abang Rizal tu adalah seorang lelaki yang baik, atau tak. Kalau dia baik, mungkin Su boleh pertimbangkan dengan lebih mendalam lagi soal pinangannya itu."
"Akak faham. Tapi betul, memang tak ada apa sangat yang akak boleh cakap." Nampaknya, kak Intan masih juga berkeras tak nak buka mulut.
"Hal ini berkait rapat dengan hidup Su, jadi hanya Su saja yang boleh buat keputusan," sambungnya lagi.
"Akak tak kisah ke kalau abang Rizal tiba-tiba saja jadi adik ipar akak? Yalah, sebab kan korang berkawan."
Kak Intan terus gelak. "Kalau akak kisah pun, bukan boleh buat apa juga kan? Kalau dah tertulis macam tu jalan hidup kita bertiga, jadi terpaksalah akak terima. Dapat adik ipar yang lagi tua dari akak."
Aku pun gelak juga, hilang sikit rasa runsingku lepas dengar suara kak Intan yang sepertinya tidak terkesan sangat dengan hal pinangan abang Rizal ini. Mestilah. Mereka kan hanya kawan saja, jadi kenapa kak Intan nak bersedih pula?
Share this novel