"Su macam mana?" Abang Rizal tanya lepas saja balik dari hantar abang Hadi dekat airport. Kebetulan pula masa tu aku tengah duduk melepak di ruang tamu dengan segelas air milo panas yang baru saja mak buatkan. Seronok pula rasa bila dilayan bagai puteri raja, sebut saja nak apa dekat mak terus sampai ke tangan. Tapi, setakat hari ni sajalah mak bagi aku nak mengada-ngada pun. Esok lusa, sila layan diri.
"Su?" Bila abang Rizal panggil, barulah aku sedar yang aku dah mengelamun sekejap. Kesian abang Rizal, sudahlah dia baru saja balik dan sekarang kena pula tunggu jawapan. Kemudian, aku berdeham dan betulkan duduk di atas kerusi. Sebab nak cakap hal penting kan, jadi kenalah selesa.
"Sebenarnya Su masih belum habis fikir," akuiku jujur.
"Fikir pasal apa?" tanya abang Rizal.
"Pasal pinangan abang itulah..."
Tiba-tiba, abang Rizal tundukkan kepala sambil jari telunjuknya dibawa rapat ke bawah hidung. Pada mulanya, aku pelik jugalah kenapa abang Rizal macamtu. Tapi bila tengok dari cara bahunya dah terhinjut-hinjut, aku dapat rasa yang dia tengah cuba untuk tahan ketawa.
Dahiku terus berkerut. Apa yang lucu sampai buat abang Rizal nak ketawa? Rasanya tak ada pula aku melawak. Meskipun aku tertanya-tanya, tapi aku pilih untuk tunggu saja abang Rizal selesai. Tak lama kemudian, barulah dia tengok aku semula. "Bukan itu maksud abang. Abang cuma nak tanya macam mana kesihatan Su sekarang. Dah okay ke belum? Kalau tak okay, bagitahu. Jangan diam saja."
Aku pun apa lagi, terus rasa darah menyerbu naik ke muka. Kenapalah aku memandai saja tafsir pertanyaan abang Rizal. Kan tak pasal-pasal aku dah jadi termalu sendiri. Lain kali abang Rizal kena bagi soalan lengkap, barulah aku tak salah faham seperti tadi.
"Kalau Su nak bercakap pasal pinangan abang itu pun okay. Abang pun nak tahu juga sebenarnya. Tadi Su cakap belum habis fikir lagi, betul ke?"
Lambat-lambat aku mengangguk. Kemudian, aku beranikan diri untuk tengok abang Rizal yang dah pun bersila kat atas lantai, betul-betul di sebelah kerusi yang aku duduk. Dia pun tengok aku juga. Kiranya, mata kami saling bertentang antara satu sama lain.
"Kalau Su tak dapat nak terima, abang faham. Abang tak boleh paksa Su untuk suka abang," kata abang Rizal lepas beberapa ketika.
Terus saja aku geleng kepala. "Siapa kata yang Su tak suka abang? Su hanya cakap yang Su belum habis fikir.." jelasku laju sebab tak nak bagi dia salah faham.
Abang Rizal diam sekejap, sebelum perlahan-lahan senyuman manisnya terukir di bibir.
"Jadi maksudnya, Su suka abang?"
Eh..? Aku terus garu kepala yang tak gatal. "Su cakap Su suka abang ke?" Aku tanya balik dekat abang Rizal.
Dia pun angguk. "Tadi Su kata, 'Su bukannya tak suka abang'. Jadi maksudnya, Su sukalah abang."
"Bukan itu maksud Su."
"Oh, jadi memang Su tak suka abang?" Wajah abang Rizal tiba-tiba bertukar sedih pula.
"Bukan macamtu jugak! Haish...!" Makin pening kepalaku dibuatnya lepas bermain ayat dengan abang Rizal. Sementara itu, abang Rizal ketawa mengekek lepas tengok hidungku yang dah kembang kempis kerana cuba mengambil nafas. Tiba-tiba saja aku rasa otakku tak dapat nak berfungsi dengan baik kerana kekurangan oksigen.
Aku letak dulu gelas kat atas meja sebelum wajah kacak abang Rizal sekali lagi menjamah pandangan. Sempat aku rasa debaran di dada ketika menatap terus ke dalam matanya. Memang tak dapat aku nafikan lagi, kehadiran abang Rizal selalu buat hatiku jadi bergetar. Namun, aku masih belum dapat gambaran yang jelas tentang bagaimana perasaan sebenar aku padanya.
"Jujur Su cakap, Su tak pernah bercinta. Jadi, Su tak boleh nak kata yang Su suka abang sebab kita baru saja kenal. Tapi, Su tak rasa yang Su tak suka abang juga." Harap abang Rizal boleh faham dengan ayatku yang terbelit-belit ini.
"Semua berlaku dengan cukup pantas. Abang tiba-tiba saja hadir dalam hidup Su, dan kemudian..."
Abang Rizal pamer senyum. "Abang faham. Terima kasih sebab Su dah berterus-terang dengan abang. Kalau Su masih perlukan masa, abang boleh tunggu," katanya dengan cukup tenang.
"Tapi, takpe ke? Kalau Su ambil masa yanga lama, macam mana? Takkan abang masih nak tunggu jugak?"
Soalan aku itu berasas kerana aku tahu sekarang pun umur abang Rizal dah cecah 30an. Jadi kalau dia masih nak tunggu, aku risau sampai ke tua dia tak kahwin-kahwin. Dan misal kata aku setuju nak terima pinangannya, tak ada masalah. Tapi kalau aku tak terima, tak ke nanti sia-sia saja dia menungguku dengan begitu lama.
"Takpe." Jawapan pendek abang Rizal makin buat aku rasa tak sedap hati. Rasa seolah-olah aku ada berhutang pula dengannya. Memang pun, aku berhutang jawapan.
"Abang bagi Su tempoh sebulan," tawarku.
Abang Rizal terus angkat keningnya, tanda tak faham.
"Su janji, Su akan bagi jawapan lepas sebulan."
Abang Rizal diam sekejap. "Su yakin ke?"
Aku pun angguk. "InsyaAllah, Su yakin."
Lebih baik macamtu, daripada aku minta abang Rizal sekadar tunggu tanpa sebarang kepastian. "Tapi, boleh ke? Atau abang rasa sebulan tu lama sangat?"
Abang Rizal senyum. "Abang dah lama tunggu Su, jadi apalah sangat tempoh sebulan tu."
"Hah?"
Abang Rizal terus geleng kepala. Kemudian, dia lontarkan senyuman manisnya seperti biasa. "Tak ada apa-apa. Okay, abang akan tunggu jawapan dari Su lepas tempoh sebulan."
Walaupun senyuman aku taklah secantik abang Rizal, tapi aku rasa nak senyum juga. Leganya hati bila dia sudi faham situasi aku ini. Aku akan cuba pastikan lepas tempoh sebulan, aku dah ada jawapan yang tepat untuk pinangan abang Rizal.
***
Aku dapat rasakan kehidupanku berubah lepas apa yang dah berlaku tempoh hari. Tiada lagi gangguan dari abang Pian kerana lelaki itu sudah pun pergi ke Sabah untuk tinggal bersama kakaknya di sana. Sementara Makcik Peah pula, seboleh-bolehnya dia akan cuba mengelak dariku setiap kami tersempak.
Baguslah tu. Sekurang-kurangnya, aku dah tak perlu nak risau lagi soal mereka anak-beranak. Cuma sekarang aku jadi paranoid sikit bila nak keluar, lebih-lebih lagi bila hanya keluar seorang diri. Sampai nak parking kereta kat tempat tersorok pun aku dah rasa serik. Biarlah terpaksa tunggu lama, tapi aku akan pastikan juga yang aku boleh dapat parking di kawasan terbuka.
"Hello, korang berdua! Kalau ya pun nak bercinta, tapi tolonglah jangan buat kat depan rumah aku, boleh? Berbulu dah mata aku ni sebab terpaksa tengok korang berdua." Sambil aku masukkan kek ke dalam kereta Shah, sambil itu jugalah mulutku ni membebel.
"Mana ada! Kitorang cuma borak kosong sajalah."
Nak tergelak aku rasa bila dengar Baizura yang masih mahu membela diri. Alasan yang digunakan pula langsung tak munasabah. Dia ingat aku tak dengar ke dia duk berabang sayang dengan Shah dari hati.
"Benda dah terang lagi bersuluh, kak oiii!"
Namun, tak ada seorang pun yang jawab. Bila aku kerling ke arah sana, aku tengok Baizura dan Shah dah sambung borak balik dan abaikan saja aku sorang-sorang kat sini. Sabar sajalah, siapa suruh jadi orang single.
"Shah, aku dah siap ni. Bolehlah kau pergi hantar sekarang," ujarku lepas tutup pintu kereta. Tapi, Shah langsung tak berganjak dari tempat duduknya.
"Shah, dah dahlah tu! Buat dulu kerja, lepastu kau nak sambung bercinta dengan Zura pun aku tak kisah."
"Ya, ya. Aku nak geraklah ni." Shah suruh aku sabar sekejap, sebelum dia berpaling semula ke arah Zura. "Malam nanti abang call, tunggu tau. Okay, bye."
Sempat juga Shah kenyitkan matanya dekat Baizura sebelum nak berlalu ke kereta. Terus tersenyum simpul kawan aku tu dibuatnya. Lepas habis drama sebabak dan kereta Shah pun dah pergi, aku terus halau Baizura balik.
"Kejaplah, aku tak puas lagi ni nak lepak dekat rumah kau." Baizura buat muka seposen.
"Kau datang pun memang nak jumpa Shah je, kan?"
"Mana ada, aku nak jumpa kau jugalah. Sebenarnya, aku ada benda nak bagitahu kau."
Melihatkan muka Baizura yang serius, aku pun terus duduk di kerusi batu, kat tempat yang Shah duduk tadi. Sambil silangkan kedua-dua tangan ke dada, aku tanya dia. "Kau nak cakap apa?"
"Semalam kan, aku terdengar mak aku cakap dengan Makcik Peah pasal abang Pian. Kata Makcik Peah, abang Pian nak balik sekejap hujung minggu depan."
Bulat terus mataku jadinya. Perasaan takut dan cemas juga sudah mula menerpa. "Kau biar betul?"
"Betul lah! Abang Pian kata dekat Makcik Peah, dia ada hal nak kena uruskan. Aku bagitahu kau ni sebab nak suruh kau berhati-hati. Aku takut itu hanya alasan dia saja untuk balik dan jumpa kau," pesan Baizura.
Aku hela nafas berat. Ingatkan aku dah boleh padam nama abang Pian dari hidupku, tapi rupanya tak. Bila aku sampaikan perkara ni dekat mak ayah, mereka pun cemas dan risau seperti aku juga. Semua pakat takut kalau tujuan sebenar abang Pian balik adalah untuk ganggu aku lagi.
Abang Hadi pula, bila dia dapat tahu saja pasal ni, terus keluarkan arahan supaya aku datang ke KL buat sementara waktu. Aku tak setuju pada mulanya sebab fikirkan bisnes kek aku ni. Tapi, abang Hadi tetap berkeras dan hanya bagi aku dua pilihan saja. Iaitu sama ada aku naik flight sendiri atau pun nak abang Rizal yang datang menjemput.
Sanggup tu abang Hadi peras ugutku dengan gunakan nama abang Rizal. Jadi nak tak nak, terpaksalah aku menurut juga. Lagipun, soal keselamatan aku lagi penting dari urusan jualan kek aku ni.
"Su..." Bila abang Rizal datang menyapa ketika aku berada di tempat menunggu, aku terus menatapnya dalam keadaan terkejut.
"Hadi tiba-tiba ada hal, jadi dia minta tolong abang untuk jemput Su," jelas abang Rizal tanpa perlu aku bertanya. Macam dah tahu-tahu apa sebenarnya yang sedang bermain di fikiranku ketika itu.
Aku mengernyit hairan. Boleh pula abang Hadi tiba-tiba ada hal? Padahal baru sejam yang lalu abang aku mesej, minta aku tunggunya dekat sini dan tak ada pula dia cakap yang dia ada kerja. Mungkin betul abang aku ada kerja, tapi kenapa dia tak bagitahu aku awal-awal? Kerana daripada susahkan abang Rizal, lebih baik aku ambil saja grab.
"Su sihat ke?" tanya abang Rizal mematikan lamunanku. Bibirnya pula sudah pamer senyuman yang menampakkan kedua-dua lesung pipitnya di wajah.
Aku tersenyum juga, membalas.
Badanku memang sihat, hanya hatiku saja yang tak berapa nak okay. Sebabnya dalam beberapa hari saja lagi, tempoh sebulan yang aku minta dengan abang Rizal dulu akan tamat. Dan ketika itu, sama ada aku bersedia ke tak, aku tetap kena bagi jawapan untuk pinangan abang Rizal.
Share this novel