Bab 8

Drama Series 7756

           Maya Qaseh hanya diam. Razlan juga terus membisu. Sunyi bermaharajalela antara mereka berdua. Razlan tunduk menyemak pengiraan isipadu larutan piawai dan sampel yang perlu disediakan untuk eksperimen mereka hari ini. Maya Qaseh pula memandang kosong tatacara ujian di hadapan matanya. Jiwa dan semangatnya yang hilang masih belum kembali. Seharian dia cuba menghubungi Nazmi namun panggilannya tidak dijawab. Pagi ini, dia mencuba lagi mendail nombor lelaki itu. Namun panggilannya dijawab suara seorang perempuan. Maya Qaseh menghentikan panggilan kerana menyangkakan dia menyentuh nama yang salah di dada telefon pintarnya. Sekali lagi dia mencuba dan suara perempuan yang sama menjawab panggilannya.  Maya Qaseh tertanya-tanya. Siapakah perempuan itu? Apakah Nazmi sudah punya insan lain selain diriku?
           “Kalau nak termenung je, baik tak payah datang lab. Biar aku buat sendiri, markah lab work pun biar aku seorang yang bolot” tegur Razlan lalu terus bangun dari bangku makmal. Maya Qaseh terkejut. Dia memandang langkah Razlan yang menuju ke bahagian belakang makmal. Huh! Apa yang boleh aku tolong? Dia senyap tanpa memberitahu pembahagian tugas, lepas itu sedap aje nak sound orang! Akhirnya Maya Qaseh mendapatkan Razlan yang sedang mencari glasswares yang diperlukan.
           “Apa yang perlu aku buat?” tanya Maya Qaseh, lurus dan naif. Razlan diam tidak menjawab sambil menyusun volumetric flask mengikut isipadu yang diperlukan.
           “Aku nak kena buat apa ni, Lan?” Maya Qaseh menguatkan suaranya bertanya Razlan. Razlan menoleh ke arah Maya Qaseh. Matanya mencerlung tajam bagaikan ingin menelan Maya Qaseh.
           “Kau tak baca ke method yang lecturer bagi?” soal Razlan, tegas. Maya Qaseh terdiam sehingga Razlan terpaksa mengulangi soalannya.
           “Baca” jawab Maya Qaseh sepatah. Ya. Dia baru sahaja baca. Tetapi, satu pun tidak melekat di kepala. Fokusnya hanya pada Nazmi dan perempuan misteri yang menjawab panggilan telefonnya pagi tadi.
           “Kalau baca, mesti tahu nak buat apa” peril Razlan. Maya Qaseh mendengus. Sakit pula hati dengan sikap Razlan pagi ini.
           “Kau beritahulah nak buat apa. Kita partner kan, bahagi-bahagikanlah tugas” balas Maya Qaseh.Razlan mengeluh.
           “Itulah…aku ajak discuss awal-awal kau yang macam-macam hal. Dah, kau prepare standards. Aku dah mula prepare sampel, biar aku settlekan” putus Razlan lalu terus berlalu meninggalkan Maya Qaseh terkebil-kebil sendiri.
Razlan tidak mahu bertegang urat lagi dengan Maya Qaseh. Dia membantu melabelkan semua volumetric flask untuk memudahkan kerja Maya Qaseh. Maya Qaseh kembali ke meja makmal mereka dan membaca semula tatacara ujian. Mindanya cuba menepis perkara-perkara lain dan dia mula cuba membuat pengiraan. Tiba-tiba Razlan menghampirinya dan mengunjukkan sehelai kertas yang menunjukkan semua pengiraan dengan jelas dan kemas.
“Aku dah kira semua. Buat stock solution dulu, lepas tu dilute. Ikut je yang aku kira ni” kata Razlan. Maya Qaseh menarik nafas lega. Tidak perlulah dia bersusah-payah lagi mengira. “Volumetric flask semua aku dah tolong label. Dah, jangan berangan lagi. Cepat siap, cepat kita balik. Bolehlah kau pergi dating”
Eh! Sempat lagi nak perli aku ya. Belum sempat Maya Qaseh membalas kata-kata Razlan, lelaki itu sudah menuju ke belakang makmal semula. Maya Qaseh mengambil semua volumetric flasks yang diperlukan dan mula menyediakan larutan piawai. Sukar sungguh apabila terpaksa berperang dengan perasaan sendiri. Fikirannya masih tertumpu kepada Nazmi. Ikut hati mahu sahaja dia keluar dari makmal sekarang dan mencuba kembali menghubungi Nazmi. Namun dia punya tugasan yang mesti diselesaikan. Ah! Cepat-cepat siapkan kerja hari ini, kemudian segera hubungi Nazmi semula. Dia mahukan penjelasan, siapa perempuan yang menjawab panggilan telefonnya pagi tadi. Fikirannya kusut memikirkan kemungkinan yang Nazmi berlaku curang di belakangnya. Dadanya terasa sebak. Emosinya terasa sesak.
“Oh no!”
Maya Qaseh mengeluh. Sudah berapa banyak larutan yang aku masukkan ni! Itulah…, tidak fokus lagi.  Maya Qaseh terdiam seketika. Dalam fikiran dia mencongak-congak sendiri. Betul rasanya apa yang aku sediakan. Ah! Biarlah. Janji kerja aku segera selesai. Aku ingin segera pulang, berkurung dalam kamar dan menghubungi Nazmi tanpa henti sehingga dia memperolehi jawapan, siapa wanita yang menjawab panggilan telefonnya pagi tadi.
“Dah siap?” soal Razlan yang tiba-tiba datang menghampiri.
“Errr…dah, dah” Maya Qaseh tergagap-gagap menjawab.
“Kalau dah siap, bolehlah kita ke bilik instrument” kata Razlan.
“Ok, sekejap lagi aku ke sana” jawab Maya Qaseh. Dia segera menutup volumetric flask terakhir dan menyertai Razlan di bilik instrument selepas itu.
                      ***************************************
Razlan mengerutkan dahi. Aduh…kenapa pula ni? Calibration curve cannot be formed. Razlan mengeluh saat membaca mesej yang tertera di skrin komputer. Pasti ada yang tidak kena di mana-mana. Razlan menoleh memandang ke arah Maya Qaseh.
“Bak sini pengiraan tadi, aku nak tengok” pinta Razlan, tegas. Maya Qaseh mendengus. Kertas yang penuh dengan catatan pengiraan dihulurkan kepada Razlan. Razlan menyemak semula pengiraannya satu persatu.
“Betul” desis Razlan. Kalau pengiraan semua betul, kenapa calibration curve tidak dapat dibentuk? Razlan mengerutkan dahi, berfikir. Kemudian dia menoleh semula ke arah Maya Qaseh yang terkebil-kebil memandangnya.
“Ni mesti kau salah prepare standard”
Maya Qaseh tersentak. Lelaki ini! Tahu sahaja kemungkinan dan kesilapan yang mungkin berlaku. Maya Qaseh serba salah. Dia tahu, ada kesilapan yang teah berlaku semasa dia menyediakan larutan piawai tadi. Macam mana ni? Kalau aku mengaku kesilapanku, pasti aku akan terus-terusan diperli dan disindir Razlan. Tetapi, mana mungkin aku tidak mengakuinya kerana kesilapan itu memang telah berlaku!
“Kau berangan ke? Tak fokus?” soal Razlan. Maya Qaseh mendiamkan diri. Dia menelan sahaja kata-kata Razlan yang berbisa.
“Apa yang kau ingat? Boyfriend sombong kau tu ke? Eh, time belajar, fokuslah. Sibuk sangat ingat pakwe kau tu, dia ingat ke kat kau?!” Razlan betul-betul marah.
“Tak payah nak bising-bising boleh tak? Prepare je lah semula!” bentak Maya Qaseh lalu mencampakkan buku di tangannya.
“Amboi…sedapnya kau bercakap. Memang boleh prepare semula, tapi membazir masa, membazirkan sumber. Menyusahkan aku je semua ni!” marah Razlan, betul-betul sakit hati. Maya Qaseh tersentak. Dia tidak menyangka ayat itu yang akan keluar dari mulut Razlan. Maya Qaseh berdiri dan menentang wajah Razlan yang merah padam. Razlan membalas tatapan Maya Qaseh yang juga dipenuhi api kemarahan.
“Kalau aku ni menyusahkan kau, lain kali, jangan setuju untuk jadi partner aku. Faham!” Maya Qaseh benar-benar naik angin. Nota-notanya dikumpulkan dan dia terus keluar untuk meninggalkan makmal.
“Maya!”
Maya Qaseh tidak mempedulikan panggilan Razlan. Sakitnya hati Maya Qaseh mengingatkan kata-kata Razlan. Dia fikir aku siapa? Seenak bicara sahaja memarahi aku sesuka hatinya!
“Maya!”
Panggilan Razlan yang lebih kuat memaksa Maya Qaseh untuk menghentikan langkahnya. Dia tidak mahu membuat kecoh. Akhirnya, dia berhenti melangkah tetapi tidak menoleh ke arah Razlan. Razlan hadir di hadapan Maya Qaseh dan gadis itu direnungnya tajam.
“Boleh tak jangan jadi macam budak kecik? Bila aku tegur, nak merajuk. Aku cakap sikit nak sentap” luah Razlan dengan nada suara yang terkawal. Dia tidak mahu pertengkaran mereka didengari pembantu makmal atau pelajar-pelajar lain yang lalu-lalang.
“Orang yang tahu menghormati perasaan orang lain, tak akan bercakap sesedap mulut hingga menyakitkan hati orang lain” kata Maya Qaseh, tidak mahu mengalah.
“Aku cakap yang benar, kan. Kau tu tak fokus, masa buat tugasan fikir perkara lain. Come on lah…ini tugasan kita, tanggungjawab kita. Janganlah kerana masalah peribadi, kau hilang fokus macam ni” kata Razlan, cuba memujuk. Maya Qaseh terdiam. Bagaimana Razlan dapat meneka emosinya? Lelaki ini bagai arif sekali tentang kemelut perasaannya.
“Bila aku tegur, kau tak boleh terima. Tapi aku tegur sebab…”
“Sebab apa? Sebab aku ni menyusahkan kau? Membazirkan masa kau? Aku ni partner yang tak berguna kan?” soal Maya Qaseh bertalu-talu. Suaranya sudah bergetar, berbaur dengan rasa ingin menangis. Entah mengapa, dia rasa amat sedih. Tiada siapa yang simpati dengan situasiku. Tidak bolehkah semua orang memberikanku sedikit ruang dan pengertian? Aku sedih. Aku kecewa. Semuanya angkara Nazmi dan suara wanita misteri yang menjawab panggilan telefonku pagi tadi!
Razlan tidak mahu bertegang urat lagi. Lebih-lebih lagi bila terpandang mata Maya Qaseh yang berkaca. Razlan mengeluh. Kenapalah dirimu seperti kaca wahai Maya Qaseh. Kau terlalu rapuh dengan dugaan. Kau juga tidak cukup kuat dalam menempuh cabaran dan permasalahan kehidupan.
“Aku nak balik” tegas Maya Qaseh. Dia benar-benar ingin pulang saat ini. Tumpuan, mood dan fikirannya sudah bersimpang-siur dalam litar kekalutan.
“Boleh kita sambung esok? Nanti aku tanya abang lab, kalau tak ada siapa guna instrument, kita sambung esok je” putus Razlan. Maya Qaseh menarik nafas. Ikutkan hati, mahu sahaja dia berkurung dalam kamar sepanjang hari ini sehingga hari esok selagi masalah dengan Nazmi belum dapat diselesaikan.
“Kau dengar tak apa yang aku cakap ni?” soal Razlan bila Maya Qaseh terus mengunci bibir. Maya Qaseh tidak memandang wajah Razlan, namun lelaki itu sempat melihat Maya Qaseh menyeka air matanya dengan belakang tapak tangan.
“Ialah…ialah…esok aku datang. Tapi sekarang aku nak nak balik” tegas Maya Qaseh.
“Kau nak aku hantar kau balik? Tadi kau kata adik kau guna kereta, kan?” soal Razlan tiba-tiba. Maya Qaseh terkejut. Sebentar tadi marah-marah aku. Sekarang baik hati pula nak hantarkan aku balik. Mahu beli jiwakah?
“Tak apa. Aku tunggu bas je depan library” kata Maya Qaseh lalu terus mengatur langkah. Kalaulah Nazmi ada, pasti dia yang sibuk mengambil dan menghantarku ke mana-mana.
Maya Qaseh dilanda sebak. Serentak itu dia mencari-cari telefon bimbit dalam begnya. Apabila gajet itu ditemui, sekali lagi skrin telefon disentuh pada nama dan nombor Nazmi. Maya Qaseh mengeluh apabila panggilannya terus disambung kepada peti mel suara. Nazmi! Rasa ingin dilaung nama lelaki itu sekuat hati. Kenapa kau seolah-olah ingin membuang aku dari hidupmu? Mengapa aku saat ini tidak lagi penting dan bermakna untukmu? Hanya kerana pergaduhan tempoh hari, aku terus tidak dipedulikan hngga saat ini. Kalau kau tidak mahu menjawab telefon, mana mungkin aku tahu gerangan siapakah yang menjawab panggilan telefonku pagi tadi? Persoalan itu terus-terusan mendera perasaan Maya Qaseh.
Mungkinkah sudah tiba masanya untuk aku belajar melupakan Nazmi? 
 
 
 
 
            

Jom follow ig @sayalahrinazrina Fb Page Sayalah Rin Azrina

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience