Maya Qaseh memperlahankan keretanya dan berhenti seketika di bahu jalan. Dia meninjau-ninjau kawasan sekitaran dari dalam kereta. Rasanya betul. Dia memandang Suraya di sebelahnya. Gadis itu terpisat-pisat, kerana baru terjaga dari tidur.
“Kita harapkan dia navigate jalan, sedap pulak dia tidur” tempelak Maya Qaseh.
“Kat sini ke café tempat Razlan kerja tu?” soal Suraya.
“Kalau ikut navigation app ni, kat kawasan sinilah tempatnya” kata Maya Qaseh. Maya Qaseh menggerakkan semula keretanya dan melewati jalan berhadapan dengan sebuah kondominium sebelum akhirnya terlihat deretan premis perniagaan tidak jauh dari situ.
“Kenapa tiba-tiba je nak ke kafe tempat Razlan kerja ni?” soal Suraya.
“Dia ajak” jawab Maya Qaseh.
“Tak apa ke aku ikut ni? Dia ajak kau, bukan aku.” tanya Suraya, ragu-ragu.
“Jangan risau, memang dia suruh aku bawa kau sekali” balas Maya Qaseh. Dia memasuki ruang parkir yang kosong dan memberhentikan keretanya.
“Seganlah aku, kot dia nak dating dengan kau je ke” teka Suraya.
“Cukuplah dating kat lab dengan dia. Tak sanggup aku” balas Maya Qaseh. Teringat peristiwa dimarahi Razlan di makmal tempoh hari. Malu pula bila diingat. Memang dia bersalah kerana hanyut dengan perasaan, tetapi itu tidak bermakna dia boleh dimarahi sesuka hati oleh Razlan. Mujur juga segala tugasan mereka berjalan lancar pada keesokan harinya. Walaupun bicaranya pedas lagi berbisa di telinga, Maya Qaseh tidak menafikan yang Razlan banyak membantu dan memberikannya tunjuk ajar. Mengenangkan itu, Maya Qaseh ke sini – sekadar ingin menghargai ajakan dan pelawaan Razlan untuk menjenguk kafe dia mana dia mencari rezeki secara sambilan.
“Jom lah kita turun” ajak Suraya, mematikan lamunan Maya Qaseh.
“Oh…OK, jom” Maya Qaseh mematikan enjin dan terus membuka pintu kereta.
“Depan tu kan? Suasana café”
Maya Qaseh beriringan dengan Suraya menuju ke sebuah kafe yang dinamakan Suasana Café. Tiba-tiba kelibat seorang jejaka keluar dari dalam kafe dan melemparkan senyuman kepada pengunjung yang baru tiba. Maya Qaseh mempercepatkan langkahnya. Dia ingin menghampiri, untuk lebih pasti dengan pandangan matanya. Tanpa disedari, Suraya ditinggalkannya di belakang.
“Lan! Razlan!” panggil Maya Qaseh. Razlan yang sedang berdiri di hadapan kafe terkejut apabila tiba-tiba mendengar namanya diseru.
“Lan! Jumpa juga akhirnya tempat kerja kau ni” kata Maya Qaseh, teruja.
“Jemput masuk, miss. Makan di sini, ya? Berapa orang?” soal Razlan, tanpa mempedulikan pertanyaan Maya Qaseh.
“Lan, yang kau beritahu kau kerja part time tu, kat sinilah ya?” Suraya yang baru tiba di hadapan kafe pantas bertanyakan soalan.
“Ya, part time. Aku bukan orang kaya-raya, kenalah usaha lebih. Err...nak makan kat sini?” soal Razlan.
“Nak makan tak? Kau tidur tadi sebab lapar, kan?” Maya Qaseh menyiku Suraya di sisinya.
“Bolehlah, dah gigil ni” jawab Suraya lau tergelak besar. Maya Qaseh sama tertawa.
“Mari saya tunjukkan seats” Razlan tetap menjalankan tugasnya walaupun di hadapan teman-teman yang dikenalinya. Maya Qaseh dan Suraya menuruti langkah Razlan. Maya Qaseh sempat melemparkan pandangan sekitar kafe tesebut. Dekorasi kafe yang berkonsep urban menawarkan suasana yang tenang dan eksklusif untuk dinikmati. Susun atur kafe juga sesuai untuk pertemuan empat mata yang memerlukan privacy atau pertemuan sulit yang tidak mahu diketahui sesiapa!
Sebaik sahaja mereka mengambil tempat duduk, Razlan menghulurkan senarai menu yang boleh dinikmati di restoran tersebut. Maya Qaseh membelek-belek dan menyenarai pendek menu yang diingininya. Razlan menanti di sisi, bersedia untuk mencatat menu yang bakal menjadi pilihan.
“Bagi aku nyonya curry mee. Air, ice lemon tea” jari runcing Maya Qaseh menunjukkan menu yang dimaksudkan.
“How about you, miss? Razlan mengalih pandangan kepada Suraya pula. Maya Qaseh dan Suraya sama-sama tergelak.
“Eh, Lan. Kenapa formal sangat ni?” Maya Qaseh masih tertawa. Razlan kelihatan begitu rigid petang itu.
“I’m working. Dah buat pilihan nak makan apa, miss?” Razlan menyoal Suraya semula, tanpa mempedulikan Maya Qaseh.
“Spaghetti carbonara and hot tea” pinta Suraya. Razlan mencatat dengan pantas dan kemudian mengulangi pesanan makanan dan minuman yang menjadi pilihan Maya Qaseh dan Suraya.
“Babe, kelakarlah mamat ni. Kot ya pun tengah kerja, tak boleh ke buat macam biasa aje. Kita kan kawan-kawan dia” bebel Maya Qaseh.
“Itu namanya professional. Time kerja, kena kerja” puji Suraya.
“Engkau ni...kalau Razlan, semuanya baik, semuanya betul” rungut Maya Qaseh. Dia mendekatkan sedikit wajahnya kepada Suraya dan dalam nada suara yang rendah, Maya Qaseh menyoal “Kau ada hati ke kat dia?”
“Kalau aku ada hati pun, salah ke? Aku single, dia pun solo. Kenapa? Kau jealous?” jawab Suraya lalu tergelak besar. Maya Qaseh merengus. Tiada yang kelakar pun dalam bicara itu. Suraya sengaja berlebih-lebihan.
Tiba-tiba Razlan muncul membawa minuman. Suraya masih tersenyum-senyum. Baru sahaja mereka bercerita tentang lelaki itu, tahu-tahu sudah muncul di hadapan mata.
“Lan, kat sini ada washroom tak?” soal Maya Qaseh.
“Ada. Kat belakang” jawab Razlan menunjukkan arahnya dengan tangan.
“Hang ni pun...pi la tunjuk kat Maya” Suraya menegur. Razlan menarik muka. Washroom tu ada penanda arahnya. Itu pun nak minta aku tunjuk?
“Amboi…dengan customer lain bukan main lebar kau senyum. Dengan aku nak tarik muka pula” ujar Maya Qaseh, tidak puas hati. Terbayang senyuman Razlan di muka pintu kafe tadi. Sememangnya lelaki itu punya senyuman yang menarik dan menawan.
“Marilah, aku tunjukkan” mahu tidak mahu Razlan terpaksa menurut. Dia baru terfikir, Maya Qaseh dan Suraya adalah pelanggan di restoran ini. Seharusnya dia sebagai pekerja, sentiasa membantu demi keselesaan pelanggan yang menjamu selera di situ.
Maya Qaseh bangun dari kerusi, lalu membetulkan sedikit bajunya. Dia menuruti langkah Razlan. Namun, ketika melewati meja makan yang bertentangan dengan pintu masuk restoran, langkah Maya Qaseh terhenti. Pasangan dua sejoli yang baru masuk ke ruang restoran membuatkan Maya Qaseh terkaku tiba-tiba. Razlan yang menyedari Maya Qaseh tidak lagi mengekorinya menoleh ke belakang. Darahnya berderau saat terpandang Maya Qaseh yang masih berdiri tegak dan tiba-tiba menghampiri pasangan yang baru masuk ke restoran. Ha, sudah!
“Excuse me”
Serentak, lelaki dan gadis di sisinya menoleh ke arah Maya Qaseh. “What are doing here, Encik Nazmi?” soal Maya Qaseh, sinis.
“Siapa ni, bie?” soal gadis di sisi Nazmi. Jemari Nazmi masih digenggam erat oleh wanita itu, menyebabkan darah Maya Qaseh menyirap.
“Tak tahu, err...I tak kenal. Jomlah, kita pergi tempat lain” jawab Nazmi, tergagap-gagap. Mendengarkan itu, jantung Maya Qase mengepam darah dengan laju dan mewarnai wajahnya dengan rona merah.
“Tak kenal? Eh, tiba-tiba kau hilang ingatan ya?” sindir Maya Qaseh, masih cuba untuk mengawal amarahnya.
“Huh, gila!” Nazmi terus menarik tangan Amani. Maya Qaseh menggeletar. Sukar untuk dia mempercayai kata-kata yang keluar daripada mulut Nazmi. Maya Qaseh menuruti langkah pasangan itu. Tiba-tiba, tangannya ditarik dari belakang.
“Maya, don’t. Jangan memalukan diri sendiri” larang Razlan.
“Kau tak payah sibuk!” Maya Qaseh merengus dan merentap tangannya yang dipegang Razlan. Maya Qaseh terus keluar dari restoran untuk mengejar langkah Nazmi dan pasangannya. Dia harus menyelesaikan kemelut ini. Spontan, Razlan pula mengekori Maya Qaseh. ‘
“Nazmi!”
Nazmi tidak menoleh. Nazmi dan pasangannya terus berpimpinan tangan dan melajukan langkah.
“Nazmi!”
Nazmi tidak mempedulikan panggilan Maya Qaseh.
“Nazmi!!” akhirnya Maya Qaseh berjaya menarik lengan Nazmi. Nazmi jadi berang. Dia menoleh ke arah Maya Qaseh dengan darah yang sudah mendidih.
“Eh! Kau ni dah kenapa?!” tengking Nazmi. Maya Qaseh tersentak. Kecut perutnya tiba-tiba diherdik sedemikian rupa. Dia rasa amat malu. Wajahnya ibarat disimbah air longkang yang busuk lagi meloyakan.
“Tiba-tiba pulak nak ikut aku, apa hal?!” marah Nazmi lagi.
“Bro, kalau ya pun, tak perlu kot nak tengking-tengking perempuan macam ni” Razlan tiba-tiba bersuara. Hatinya amat sakit melihat Maya Qaseh diperlakukan sebegitu rupa. Nazmi semakin berang. Tiba-tiba ada pula lelaki lain yang muncul dan mahu menjadi hero.
“Kau tak payah campur, ok!” Nazmi memberi amaran dan menuding jarinya ke arah Razlan.
“Apa ni, bie! I tak faham!” Amani yang keliru dengan drama itu pula bersuara. Maya Qaseh terkaku. Wanita di sisi Nazmi itu begitu cantik dan kelihatan sofistikated.
“Aku bukan nak campur. Tapi, kalau tembelang tu dah pecah, tak payahlah nak acah-acah suci lagi. Yang busuk, tetap busuk walau macam mana sekali kau sorok!” Razlan melepaskan amarahnya. Spontan, Razlan menarik Maya Qaseh menjauhi Nazmi. Nazmi ingin menyerang Razlan, tetapi Amani cepat-cepat menahannya.
“You ni kenapa? Tadi you cakap orang gila. Lepas tu you nak ikut dia orang buat apa?” Amani sama-sama naik angin. Nazmi merengus. Tangannya rasa begitu ringan untuk menghadiahkan tumbukan di wajah Razlan. Bertambah sakit rasa hatinya apabila melihat Maya Qaseh dibawa pergi oleh lelaki itu. Namun apabila menyedari drama singkat mereka di ruang parkir kereta itu mula ditonton khalayak, Nazmi tahu dia dan Amani harus segera meninggalkan tempat ini.
“You owe me an explanation” bisik Amani. Nazmi tambah tertekan. Sudahlah terserempak dengan Maya Qaseh. Kini dia bakal berdepan pula dengan soal jawab Amani. Arghh!!! Pandangan matanya seakan berpinar-pinar. Apa yang pasti, dia sudah kehilangan Maya Qaseh buat selama-lamanya.
Jom follow ig @sayalahrinazrina & Fb page Sayalah Rin Azrina
Share this novel