“Wah!! Sedapnya bau. Mama masak apa ni?” Maya Qaseh yang baru pulang dari menghantar Sara Hanum memuji aroma harum masakan ibunya. Perutnya terasa lapar serta-merta.
“Masak nasi tomato je” Puan Marliah menjawab soalan anaknya. Maya Qaseh mendekati Puan Marliah dan membuka periuk sederhana besar di atas dapur. Terdapat hidangan ayam masak merah yang sudah siap dimasak. Eh! Kenapa banyak sangat ni. Ada tetamukah yang mahu bertandang?
“Banyaknya mama masak…” komen Maya Qaseh. Kemudian dia menjenguk kuah dalca yang sedang dikacau oleh Puan Marliah. Banyak juga!
“Ada orang nak datang ke ma? Siapa yang nak datang?” soal Maya Qaseh.
“Hai…dia tanya pula siapa nak datang. Tak kan tak tahu?” Encik Kamaruzaman yang tiba-tiba masuk ke dapur memberikan kejutan kepada Maya Qaseh.
“Siapa?” Maya Qaseh mengerutkan dahinya. “Maya tak tahu, sebab tu Maya tanya” kata Maya Qaseh. Encik Kamaruzaman memandang wajah Puan Marliah. Mereka saling berpandangan kemudian sama-sama tersenyum. Maya Qaseh semakin kehairanan.
“Siapa yang nak datang ma?” Maya Qaseh mengulangi soalannya.
“Siapa lagi, buah hati kamu tu lah” akhirnya Puan Marliah memberitahu. Maya Qaseh terkejut.
“Buah hati?” Maya Qaseh keliru dan kehairanan.
“Kura-kura dalam perahu pulak…” Encik Kamaruzaman pula mengusik. Maya Qaseh mengerutkan dahi.
“Telefonlah dia, tanya jadi datang ke tidak” kata Puan Marliah.
“Telefon siapa?” Maya Qaseh menggaru kepala yang tidak gatal.
“Hai…ramai sangat ke boyfriend kamu ni? Telefon si Razlan tu, tanyalah jadi datang ke tidak” kata Puan Marliah.
Maya Qaseh terasa kakinya bagai tidak berpijak ke bumi. Berita ini benar-benar mengejutkannya. Kalau dia tidak mengawal diri, sudah lama dia pengsan kerana terperanjat. Bila masa pula Razlan memaklumkan kepada keluarganya yang dia mahu datang bertandang?
“Mama confirm ke dia nak datang?” tanya Maya Qaseh. Dia menarik kerusi dan duduk. Bimbang semakin lama dia berdiri, semakin kakinya tidak dapat memijak bumi. Melayang-layang rasa tubuh menerima kejutan demi kejutan.
“Dia call mama semalam. Sekarang ni, kamu telefonlah dia semula, tanya sama ada jadi ke tidak nak datang” suruh Puan Marliah.
“Biarlah, kalau betul dia nak datang, nanti tibalah tu” jawab Maya Qaseh, acuh tidak acuh. Dalam hati dia merungut-rungut sendiri. Kalau Razlan ada di hadapan matanya,mahu sahaja dia mengganyang lelaki itu. Pandai-pandai berjanji dengan mama, tetapi langsung tidak mahu memberitahuku. Permainan apakah yang sedang Razlan mainkan ini?
“Eh, budak ini…” Puan Marliah menggelengkan kepala saat melihat Maya Qaseh terus bangun dan menuju ke ruang tamu. Tiba-tiba kedengaran loceng dibunyikan, tanda ada tetamu yang datang. Maya Qaseh tersentak. Razlankah? Maya Qaseh terus beralih arah lalu terus masuk ke biliknya. Dadanya berdebar kencang. Dia menekapkan telinga ke pintu bilik. Ada suara yang memberi salam. Pasti papa sudah membuka pintu rumah. Terdengar riuh rendah suara papa yang saling bertingkah dengan suara-suara yang tidak dikenali. Razlan datang dengan siapa? Adakah dengan keluarganya? Ha sudah!
Maya Qaseh terus membuka wardrobenya. Baju kurung yang tidak perlu digosok terus dicapai. Pantas dia menukar jeans yang dikenakan kepada baju kurung warna biru muda. Wah…wah…pandai sungguh kau berlakon ya Maya…Tadi bukan main ranggi dengan jeans, sekarang pilih baju kurung berona lembut agar nampak ayu dan sopan. Ah! Ini bukan berpura-pura. Hanya berpakaian sewajarnya untuk menyambut tetamu yang hadir.
“Maya!”
Ketukan dan panggilan mamanya membuatkan jantung Maya Qaseh mengepam darah dengan lebih laju. Perlahan-lahan dia membuka pintu dan membenarkan Puan Marliah masuk.
“Buat apa?” soal Puan Marliah.
“Err…salin baju” jawab Maya Qaseh sambil membetulkan hijabnya.
“Jom keluar. Razlan datang dengan keluarga dia”
Maya Qaseh tergamam. Serta-merta, kaki dan tangannya terasa sejuk. Aduh!!! Sepanjang mengenali Razlan, inilah tindakan paling gila dan drastik yang pernah lelaki itu lakukan.
Dalam gementar, Maya Qaseh menuruti langkah Puan Marliah. Sampai sahaja di ruang tamu, semua mata serentak memandang dan tertumpu ke arahnya. Maya Qaseh rasa amat gugup, namun tanpa disuruh dia terus mendapatkan wanita yang duduk di sebelah Razlan, bersalam dan mencium tangan wanita itu.
“Maya Qaseh?” soal Puan Hawa.
“Ya, aunty” jawab Maya Qaseh.
“Panggil umi je. Cantiknya…patutlah Razlan berkenan” puji Puan Hawa. Maya Qaseh tersenyum walaupun wajahnya sudah merona merah. Sempat dia menjeling Razlan yang menutup sedikit mulutnya, cuba melindungi senyuman yang tersungging di bibirnya.
“Maya, pergilah siapkan meja makan” pinta Puan Marliah. Maya Qaseh mengangguk. Namun hatinya tertanya-tanya apakah yang mahu mereka bincangkan? Tetapi dalam masa yang sama dia berasa lega. Biarlah dia menyiapkan meja makan daripada terus-terusan direnungi Razlan dan ahli keluarganya.
“Susah-susah aje Cik Marliah” kata Puan Hawa, berbasa-basi.
“Tak apa…dah siap pun, tinggal hidang aje” kata Puan Marliah.
Maya Qaseh meminta diri untuk ke dapur. Dia melepaskan nafas lega dan mula mencari pinggan-pinggan hidangan dan juga gelas untuk minuman.
“Ada apa-apa yang nak ditolong?”
Hampir sahaja terlepas pinggan di tangan Maya Qaseh saat terdengar suara Razlan yang tiba-tiba sahaja masuk ke dapur. Razlan tergelak melihat wajah Maya Qaseh yang merah padam menahan rasa.
“Wah! Maya ke yang masak semua ni?” soal Razlan.
“Eh, tak malu ya? Suka-suka hati je masuk dapur orang?” gerutu Maya Qaseh.
“Kita nak tolong apa-apa yang patut” jawab Razlan.
“Tak payah. Tolong tengok je” jawab Maya Qaseh. Sambil itu, tangannya lincah menyusun gelas di dalam dulang.
“Tolong tengok Maya yang cantik jelita ni?” usik Razlan.
“Mengarutlah!” bentak Maya Qaseh. Kemudian dia menyusun pula pinggan mengikut bilangan tetamu yang hadir.
“Maya masak apa ni?” soal Razlan. Maya Qaseh mengerutkan dahi. Terasa janggal dan pelik pula soalan itu. Oh! Mungkin kerana selalunya mereka hanya beraku engkau sahaja.
“Mama yang masak. Kita tak pandai masak” jawab Maya Qaseh, jujur.
“Macam mana ni, dah nak jadi isteri orang kenalah pandai masak” kata Razlan.
“Hmmm…malanglah siapa yang nak jadi suami kita tu. Kedai kan banyak, delivery pun ada. Apa ada hal” kata Maya Qaseh selamba. Razlan tergelak.
“Mana ada malang. Lelaki yang akan jadi suami Maya Qaseh ni adalah lelaki yang paling bertuah. Ada isteri yang cantik, bijak, sopan santun, berbudi bahasa” kata Razlan.
“Sudah, jangan nak puji melambung sangat. Nah, tolong bawa jag air ni ke depan” Maya Qaseh menghulurkan jag berisi air oren kepada Razlan sementara dia pula menatang dulang berisi gelas minuman. Tiba di ruang makan, kedengaran suara bapa Razlan yang sedang berbicara. Papa dan mamanya pula khusyuk mendengar dan sesekali mengangguk. Maya Qaseh sedikit gugup dan berasa hairan melihat orang tua mereka kelihatan sedang berbincang dengan serius. Kemudian dia kembali ke dapur dan diekori Razlan. Tiba-tiba dia rasa malu hendak menatap wajah lelaki itu lalu menyuruh Razlan segera membawa lauk-pauk ke ruang hadapan.
Maya Qaseh kembali ke ruang hadapan membawa bekas hidangan berisi nasi tomato. Razlan yang duduk di meja makan menoleh ke arahnya lalu mengukir senyuman istimewanya. Senyuman itu bagai menyimpan seribu makna. Maya Qaseh terasa gugup. Seperti biasa, senyuman itu juga yang bisa menggetarkan seluruh perasaannya.
“Dah siap Maya? Eh, Cik Hawa. Marilah kita makan” Puan Marliah mempelawa. Puan Hawa mengangguk dan terus menurut. Dia mempelawa suaminya yang turut diajak oleh Encik Kamaruzaman.
“Maya, mari makan sekali” pelawa Puan Hawa.
“Tak apa aunty…err…umi. Jemput makan dulu” jawab Maya Qaseh, sopan. Dia menyendukkan nasi ke dalam pinggan Razlan.
“Dah” kata Razlan, lelu memberi isyarat agar Maya Qaseh tidak menambah nasi lagi ke pinggannya.
“Razlan, sikit sangat nasinya tu” tegur Puan Marliah. Mendengar kata-katanya ibunya, dengan pantas Maya Qaseh menambah dua senduk nasi lagi. Razlan pantas memandang wajahnya, memberi isyarat untuk berhenti menambah nasi. Maya Qaseh menahan tawa. Ha! Padan muka. Nak buat surprise sangat kan!
“Makan, Razlan. Jangan malu-malu” pelawa Encik Kamaruzaman. Razlan tersenyum lalu mengangguk.
“Makanlah sekali” Razlan mempelawa Maya Qaseh yang berdiri di sisinya. Maya Qaseh menggeleng. Rasa tidak tertelan walau berapa enak pun hidangan di hadapan mata apabila setiap gerak gerinya seakan diperhatikan. Wajahnya terasa panas dan rasa segan benar-benar datang menyelubungi. Akhirnya Maya Qaseh membawa diri ke dapur dan menyediakan satu jag air lagi. Perasaan Maya Qaseh jadi kacau-bilau. Mindanya mula memproses pelbagai kemungkinan yang mungkin berlaku. Ah! Kau jangan perasanlah Maya. Orang itu datang berkunjung sahaja. Mama sendiri yang mengajak semasa Razlan bertemu ahli keluarganya pada majlis konvokesyen yang lepas. Hanya dia yang tidak berkesempatan menemui ibu bapa Razlan tempoh hari. Apa salahnya saling berkunjung dan berkenalan? Kenapa kau nak fikir macam-macam pula, Maya. Tetapi, bagaimana pula andai mereka hadir membawa maksud tersirat? Hakikatnya, adakah hati telah sepenuhnya terbuka untuk menyambut huluran kasih Razlan? Adakah aku sudah bersedia andai Razlan benar-benar ikhlas mahu memiliki dirinya?
Maya Qaseh terus menyembunyikan diri di dapur sehinggalah Puan Marliah memanggilnya ke hadapan apabila keluarga Razlan meminta diri untuk pulang. Dia bersalaman dengan umi Razlan dan mamanya juga ramah melayan. Maya Qaseh tertanya-tanya sendiri, benarkah mereka hadir membawa hajat? Seketika dia berfikir sendiri, kalau Razlan pun apa salahnya, malah lebih baik kerana mereka sudah saling mengenali hati budi masing-masing. Aduh…kau perasan lagi wahai Maya Qaseh. Namun masih ternampak-nampak senyuman dan renungan Razlan yang penuh makna. Senyuman dan renungan yang sentiasa menambahkan debaran dalam dadanya.
Jom follow ig @sayalahrinazrina & Fb Page Sayalah Rin Azrina
Share this novel