Maya Qaseh melangkah keletihan menuju ke keretanya. Terasa lesu kerana seharian memerah otak menyiapkan assignment dan terus menghadiri kuliah. Selesai kuliah, dia menunaikan solat di kampus kemudian terus ke perpustakaan. Sengaja dia menelaah sehingga perpustakaan ditutup. Pulang awal pun, Sara Hanum tiada di rumah. Adiknya itu sama-sama sibuk dengan pengajiannya. Kadang kala terus bermalam di rumah teman-teman sekuliahnya. Mengenangkan itu, Maya Qaseh memutuskan untuk terus duduk di perpustakaan. Sukar juga untuk fokus jika bersendirian di rumah. Sama ada siaran televisyen ditukar daripada satu siaran ke siaran yang lain atau duduk termenung melayan jiwa. Ah! Aku tidak punya masa untuk mengenang sesiapa ketika peperiksaan sudah terlalu hampir mengikut ukuran masa.
Langkah Maya Qaseh terhenti seketika saat telihat sekeping kertas terselit di wiper keretanya. Ha sudah! Surat samankah daripada pejabat keselamatan kampus? Sebaik sahaja sampai di sisi keretanya, Maya Qaseh terus mencapai kertas yang terselit elok di cermin hadapan. Suasana agak gelap untuk membaca isi kandungan kertas berkenaan. Maya Qaseh meletakkan beg dan fail di tempat duduk belakang kemudian terus masuk ke perut keretanya. Lampu kecil di bahagian atas kereta dinyalakan dan dia mula membuka helaian kertas di tangan.
‘Kalau benci, mengapa cari. Kalau rindu, kenapa lari’
“Apa ni?” desis Maya Qaseh sendirian.
Tiba-tiba pintu di sebelah pemandu terbuka dan seorang lelaki pantas masuk ke perut kereta. Maya Qaseh terkejut. Spontan dia terjerit dan jantungnya terus mengepam darah, dua kali ganda lajunya.
“Lain kali masuk kereta terus lock. Bahaya”
Maya Qaseh menekup mulutnya. Suara itu amat dikenali. Seorang lelaki dengan wajah serius kini duduk di sisinya.
“Razlan!” jerit Maya Qaseh.
“Ya, aku ni. Kalau orang jahat macam mana?” balas Razlan.
Maya Qaseh meraup wajahnya, cuba meredakan rasa gementar dan marah. Lelaki ini! Hampir sahaja menyebabkan aku terkena serangan jantung!
“Jahatlah! Kau nak aku mati terkejut, ya?” jerit Maya Qaseh. Spontan, bahu Razlan dipukul berkali-kali.
“Aduh! Sakitlah Maya” Razlan memegang pergelangan tangan Maya Qaseh, ingin menghentikan serangan gadis itu.
“Padan muka! Kau ingat surprise sangatlah apa yang kau buat ni?” marah Maya Qaseh.
“Surprise lah. Kan kau terkejut” balas Razlan lalu tergelak.
“Benci!” jerit Maya Qaseh. Tangannya ditarik daripada cengkaman Razlan.
“Dah, duduk sini, sebelah driver. Biar aku drive. Aku hantar kau balik” pinta Razlan. Maya Qaseh tidak terkata. Dia merenung wajah Razlan dengan rasa marah yang masih bersisa. Maya Qaseh tidak mempedulikan permintaan Razlan. Sebaliknya, dia terus menghidupkan enjin kereta.
“Maya…” panggil Razlan, lembut.
“Drive lah!” akhirnya Maya Qaseh beralah. Razlan keluar dari kereta manakala Maya Qaseh pula melompat ke ruang di sebelah pemandu.
“Ingat! Lain kali jangan ambil mudah soal keselamatan diri. Masuk kereta terus lock. Kau tu perempuan, drive seorang diri, balik pula malam-malam” ikhlas Razlan menasihatkan.
“Ya...aku tahu. Tapi ni kan dalam kawasan kampus. InsyaAllah selamat” jawab Maya Qaseh.
“Betul. Tapi kalau dah selalu careless, nanti dekat tempat awam pun sama juga cuainya” Razlan terus memberi nasihat.
“Kalau jadi apa-apa pun pada aku. Bukan kau” Maya Qaseh masih ingin bertegang leher.
“Tengok tu. Masih nak berlagak. Bukan nak hargai bila kita nasihatkan. Kita ni nasihat sebab fikirkan keselamatan dia. Eh, kau ni memang tak reti ya yang orang sayang kat dia?” tegas Razlan. Maya Qaseh tersentak. Ucapan Razlan itu menggetarkan seluruh perasaannya. Dia menoleh ke arah lelaki itu. Belum sempat dia menenangkan diri, Razlan bersuara lagi.
“Kenapa selalu lari daripada aku?”
“Lari?” soal Maya Qaseh, kurang mengerti.
“Ya. Lari. Bila nampak aku, macam cacing kepanasan. Terus kelam kabut melarikan diri. Tegur aku tidak. Aku hantar Whats App jangan haraplah ada jawapan. Aku ni ada bawa penyakit berjangkit ke sampai kau nak lari-lari macam ni?” soal Razlan panjang lebar. Ketika itu, kereta berhenti di lampu isyarat. Maya Qaseh membuang pandang ke luar kereta, sengaja menyembunyikan wajahnya. Dia tidak mampu untuk menjawab soalan Razlan.
“Aku ada buat salah ke pada kau, Maya?” Soal Razlan, melembutkan nada suaranya. Wajah Maya Qaseh dipandang dari pandangan sisi. Maya Qaseh menarik nafas, kemudian menggelengkan kepalanya.
“Kau marahkan aku?” tanya Razlan lagi.
“Tak...” akhirnya Maya Qaseh bersuara.
“Kau buat aku rasa, aku ada buat salah yang tak mungkin kau maafkan” luah Razlan, melahirkan ketidakpuasan hatinya.
“Tak mungkin aku boleh marah pada lelaki sebaik engkau, Razlan” jawab Maya Qaseh, ikhlas daripada hati. Razlan terdiam. Kalau tidak marah, mengapa buat aku macam makhluk asing berwajah pelik dan jelik sehingga kau perlu lari setiap kali melihat kelibatku? Namun kata-kata itu hanya bergema dalam dada, tidak mampu untuk diluahkan kepada insan di sisinya.
“Maya, lagi sebulan kita nak exam” kata Razlan, perlahan.
“Sebab kita nak exam lah hal-hal lain perlu kita ketepikan” jawab Maya Qaseh.
“No, Maya. Sebab kita nak exam lah segala-galanya harus kita selesaikan” tegas Razlan. Maya Qaseh mengeluh. Kepalanya terasa berat tiba-tiba. Dia tidak bersedia untuk berhadapan dengan situasi ini, kerana itulah dia berusaha mengelakkan diri daripada Razlan sebelum ini. Maya Qaseh menarik nafas, mencari kekuatan untuk berhadapan dengan kenyataan.
“Baik. Apa yang kau nak selesaikan?” soal Maya Qaseh, tegas. Razlan tidak menjawab. Dia juga cuba untuk mengumpulkan kekuatan diri. Liur yang diteguk rasa tersekat di kerongkongnya.
“Aku tanya, apa yang nak diselesaikan?” Maya Qaseh bertanya, memohon kepastian. Razlan memandang sekilas ke arah Maya Qaseh. Dia sudah nekad untuk meluahkan segala apa yang terpendam.
“Tentang kita” akhirnya Razlan meluahkan kata-kata.
“What? Tentang kita?” soal Maya Qaseh semula.
“Ya. Tentang kita” tegas Razlan.
"Ada apa tentang kita...? Atau...dah kenapa dengan kita?" balas Maya Qaseh, sengaja bersenda. Hakikatnya, dia menyembunyikan debaran yang menggila dalam dada.
"Maya! I'm serious" tegas Razlan. Maya Qaseh terdiam. Melihat Maya Qaseh hanya mendiamkan diri, Razlan menyambung kata-katanya. “Tunggulah, sampai destinasi kita nanti aku beritahu” putus Razlan.
Kereta terus meluncur laju membelah kegelapan malam. Akhirnya, tiada sesiapa yang bersuara sehinggalah kereta membelok dan berhenti di hadapan apartmen Maya Qaseh.
Salam semua. Terima kasih kerana mengikuti cerita Qaseh. Jom follow ig @sayalahrinazrina dan Fb Page Sayalah Rin Azrina.
Share this novel