Bab 15

Drama Series 7756

Razlan cuba menghubungi Maya Qaseh buat kesekian kalinya, namun panggilannya masih tidak dijawab. Razlan mengerutkan dahi. Hatinya disapa bimbang. Razlan baru berkesempatan membelek telefonnya selepas pulang dari menghantar Fatin dan ibu saudaranya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan membuat beberapa urusan lain sebelum pulang ke rumah. Rupanya ada mesej yang dilayangkan oleh Maya Qaseh melalui aplikasi WhatsApp pada jam 2.30 petang. Terasa kesal pula kerana tidak menjawab mesej itu dan kini gadis itu sudah tidak mahu menjawab panggilannya. Razlan mengeluh, menyesali kealpaan diri sendiri.
           “Call siapa? Fatin?” soal Razman yang tiba-tiba masuk ke ruang tamu dengan membawa dua mug Nescafe di tangannya.
           “Buat apa call Fatin. Biarlah dia shopping dengan Mak Long kat Bandung tu” sanggah Razlan pantas. Tanpa dipelawa, dia mencapai mug yang dibawa Razman dan mencicip sedikit air yang masih panas.
           “Oh…ingat call Fatin. Muka serabut macam kena tinggal bini je” usik Razman lalu tergelak. Razlan menarik muka. Tidak ada mood hendak melayan lelucon Razman.
 “Sibuklah kau. Pergilah keluar dengan Leana tu” marah Razlan. Hatinya rasa rusuh. Dia benar-benar risaukan Maya Qaseh saat ini.
           “Leana dah balik rumah parents dia” balas Razman. Dia memandang Razlan yang masih leka membelek telefonnya. “Kau call siapa?” Classmate kau tu ke?”
“Hmmm…tak angkat” balas Razlan.
           “Kenapa pulak?” soal Razman.
         “Entah” balas Razlan, acuh tak acuh. Dia menyentuh lagi nama Maya Qaseh di skrin telefon bimbitnya. Tanpa mempedulikan Razman, dia terus bangun menuju ke bilik tidur. Dalam hati dia berdoa agar Maya Qaseh sudi menjawab panggilannya kali ini. Namun, baru sahaja mendapat nada dering, kali ini panggilannya terus dibatalkan. Razlan tersentak. Kalau 1tadi panggilan telefonnya terbiar tanpa jawapan, kali ini panggilan yang dibuat terus dibatalkan. Tidak sudikah kau berbicara lagi denganku?
           “Maya…” terlancar nama itu di bibir Razlan. Dia mula terasa tidak sedap hati. Telefonnya dipandang dan sekali lagi nama Maya Qaseh disentuh dan panggilannya tetap dibatalkan. Razlan putus asa. Telefonnya dicampak di atas tilam. Ah! Mungkin Maya sedang sibuk atau pun sedang memandu. Razlan cuba bertenang seketika. Dia tidak mahu kelihatan terdesak. Tidak mahu juga seperti terlalu memaksa. Namun perasaannya sudah libang-libu. Bagai ada sesuatu yang tidak kena. Seperti ada rasa yang datang menyesakkan jiwa.

Huh! Ini semua gara-gara Fatin. Razlan sudah merancang untuk mengajak Maya Qaseh keluar setelah tamat peperiksaan akhir hari ini. Tiba-tiba umi menghubungi dan menyatakan Fatin meminta bantuan untuk dihantar ke KLIA. Mahu ditolak, ibu saudaranya juga turut serta. Apa pula kata Mak Longnya itu nanti. Razman pula tidak boleh menolong kerana sudah ada agenda lain bersama Leana. Lagi pun, Fatin meminta Razlan sendiri yang menghantarnya, bukan Razman atau pun mana-mana kenderaan awam. Mahu tidak mahu, terpaksa juga dia menurut pesanan ibunya.

Razlan mencapai semula telefonnya dan kembali membelek aplikasi WhatsApp. Dia berharap ada sebarang mesej yang diberikan oleh Maya Qaseh. Namun matanya terbeliak apabila melihat notifikasi dalam kumpulan WhatsApp rakan-rakan sekuliahnya. Maya Qaseh left? Razlan menyemak pula kumpulan tutorial Prof Amin – juga sama. Maya Qaseh sudah meninggalkan semua kumpulan itu tanpa sebarang kata-kata pamitan! Razlan pantas menyentuh semula nama Maya Qaseh untuk menghubungi gadis itu. Beberapa kali panggilannya dibatalkan begitu sahaja. Razlan cuba pula melayangkan mesej, tetapi tiada sebarang respon daripada Maya Qaseh.

Razlan menghubungi nombor Maya Qaseh sekali lagi. Kali ini, langsung tiada nada dering yang didengari. Razlan mula rasa tidak tentu arah. Adakah Maya Qaseh telah menyekat nombor telefonnya? Tetapi, apa salahku sehingga perlu menyekat aku daripada menghubunginya? Kalau pun kau marahkan aku, perlukah kau menyekat nomborku dan jelaslah kini, aku tidak boleh menghubungimu lagi. Razlan menarik nafas. Dia benar-benar rasa sedih dan terkilan. Ingin sahaja dia menghubungi Suraya, bertanya di manakah Maya Qaseh, namun keegoan bagai menghalang dirinya untuk meneruskan hasrat itu.

Razlan mencuba lagi dan lagi. Tiada lagi nada dering yang didengari seperti sebelum ini. Razlan menumbuk tilam yang didudukinya. Geram! Sampai hati kau, Maya! Apa yang telah ku lakukan kepadamu sehingga begini sekali kau menghukum aku? Hmmm…Mungkin tiada apa yang hendak dihukum, tetapi dia yang tidak sudi untuk terus bersahabat denganmu. Sudahlah Razlan, jelas sudah dia tidak pernah menghargai dirimu. Untuk apa kau kejar dan buru lagi andai yang empunya diri jelas tidak sudi. Kau siapa, Razlan. Maya Qaseh itu pula siapa. Lelaki seperti Nazmi adalah citarasanya, bukan dirimu yang tidak punya apa-apa.

Razlan tertunduk, akur dengan kenyataan itu. Menyedari realiti di hadapan mata, Razlan pasrah. Tidak perlu untuk kukejar lagi, kerana bukan setakat Maya Qaseh, bayangnya juga tidak mampu aku miliki. Rasa ini amat sakit. Namun tidak mungkin sebegitu mudah untuk aku menukar ganti dirimu dalam hati ini. Maya Qaseh gadis pertama yang menyentuh hatinya. Maya Qaseh terlalu istimewa. Dia akan simpan nama, wajah dan kenangan-kenangan bersama gadis itu - kerana itu sahaja yang dia mampu.
                          ****************************
           Maya Qaseh cuba membuka mata walaupun kepalanya terasa amat berat. Matanya terasa pedih kerana terlalu banyak menangis. Sayup-sayup dia terdengar telefonnya bernyanyi. Maya Qaseh memaksa diri untuk bangun. Dia cuba mencapai beg tangan dan mencari telefon pintarnya. Seperti sudah terlalu lama telefon itu berdering tanpa jawapan.
           Dalam keadaan separa sedar Maya Qaseh menelek skrin telefonnya. Terpapar notifikasi di skrin – 37 missed calls. Banyaknya! Apabila dia menyemak log panggilan, ternyata ada beberapa nama yang menghubunginya termasuk Suraya dan kebanyakannya daripada Razlan.
           Telefon Maya Qaseh menjerit lagi. Razlan! Tiba-tiba Maya Qaseh jadi benci mendengar deringan itu. Terbayang di layar mindanya wajah Nazmi yang tersenyum lebar di sisi isterinya dan gelak tawa Razlan bersama teman wanitanya. Razlan! Kau juga serupa sahaja dengan Nazmi.  Mengapa lelaki semuanya sama? Memberi layanan istimewa kepada semua sedangkan hakikatnya diri itu sudah punya berpunya? Mengingatkan itu, air mata yang sudah kering jatuh lagi menuruni pipi Maya Qaseh. Puas sudah aku membuang air mata angkara penipuan Nazmi. Layakkah air mata ini dibazirkan untuk seorang lagi lelaki?
           Deringan panggilan Razlan masuk lagi. Kali ini panggilan itu dibatalkan kerana Maya Qaseh tidak mahu berbicara dengan lelaki itu. Malah, dia tidak mahu diganggu oleh sesiapa saat ini. Dia ingin pergi jauh dari semua orang yang mengenalinya. Maya Qaseh tidak mahu sesiapa sahaja mencarinya. Dia menyemak aplikasi WhatsApp dan mencari semua kumpulan yang disetainya. Semua kumpulan itu ditinggalkan terutama kumpulan rakan-rakan sekuliah. Tiada keperluan lagi untuk menyertai mereka kerana semuanya telah rasmi menamatkan pengajian.
           Bagai tidak kenal erti putus asa, panggilan Razlan masih masuk dan setiap kali itu juga Maya Qaseh menekan ikon berwarna merah untuk membatalkan panggilan itu. Mesej daripada Razlan juga dibiarkannya tanpa jawapan. Maya Qaseh benar-benar rasa sakit hati saat ini. Semua lelaki memang bijak bermain kata, memberi harapan dan akhirnya membiarkan kita terkapai-kapai di lautan perasaan. Nazmi dalam diam sudah berumah tangga.  Razlan yang amat mengambil berat juga nampaknya sudah berpunya. Maya Qaseh rasa ingin menjerit melepaskan segala perasaan yang terpendam. Semua orang ingin membuatku kecewa. Cukuplah perasaan ini dipermainkan selama ini. Tidak perlu lagi mempercayai kata-kata lelaki yang ternyata manis bersari namun hakikatnya bersulam dusta dan penuh tipu daya.
         Mengingatkan itu Maya Qaseh mencari nama Razlan dan terus menekan block number. Puas rasa hatinya. Jangan kau cuba untuk menghubungiku lagi. Hati ini sudah mati. Aku tidak mahu lagi tewas dengan perasaan, kerana aku sudah merasai betapa sakitnya bila dikecewakan. Aku tidak mahu lagi hanyut dalam lautan harapan, kerana kasih suci ini terlalu berharga untuk kau permainkan.  
 

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience