Bab 3

Drama Series 7756

Bab 3:
“Assalamualaikum”
“Waalaikumsalam.
Razlan melangkah masuk ke rumah sewanya. Kelihatan Razman sedang asyik menonton televisyen sambil mengunyah kacang. Sebaik sahaja Razlan menutup pintu rumah, Razman mengangkat muka memerhatikan wajah keruh saudara kembarnya, Razlan. Kemudian matanya menangkap balutan di siku dan telapak tangan Razlan.
“Eh! Kau ni kenapa? “
Razlan mengeluh. Dia melabuhkan punggung ke kerusi di ruang tamu kecil rumah sewa mereka. Razman datang menghampiri dan mengulangi soalannya.
“Kenapa berbalut-balut ni?”
“Jatuh motor...” balas Razlan, perlahan dan mendatar sahaja nada suaranya.
“Kat mana? Kenapa tak telefon aku?” Razman terperanjat.
“Takpe...Sikit je ni...aku dah pergi klinik pun. Kau jangan risaulah” balas Razlan, mahu menepis kerisauan Razman.
“Kau jatuh kat mana?” Razman masih belum menghentikan soal jawabnya.
“Kat main gate kampus tadi. Bengang betul aku dengan mamat yang himpit aku tu. Dia yang salah, tiba-tiba tukar haluan. Signal tidak apa tidak, lepas tu nak blame aku pulak. Berlagak bukan main!” cerita Razlan. Antara dirinya dan Razman memang tidak pernah menyembunyikan apa-apa rahsia.
“Accident dengan keretalah?” soal Razman, bimbang.
“Ya...”
“So kau tak pergi kelaslah tadi?” Razman masih belum berhenti mengajukan soalan untuk Razlan.
“Taklah, nak masuk pun dah lewat. Yang kau bersenang-lenang kat rumah ni, tak ada kelas ke?” Razlan pula menyoal. Saudara kembarnya itu belajar di universiti yang sama tetapi dalam kursus yang berlainan. Razlan memburu ijazah Sarjana Muda Sains dan mengkhusus dalam bidang Kimia manakala Razman pula lebih berminat untuk mengkhusus dalam subjek Fizik.
“Kelas cancel. Hmmm...Kau OK tak ni? Patutlah umi telefon kau tak angkat” kata Razman.
“Umi telefon?” Razlan tersentak dan mula mencari-cari telefon bimbit dalam beg sandangnya. Apabila telefon itu diperiksa, ya…memang benar ada 3 panggilan daripada Puan Hawa yang tidak dijawab.
“Umi kirim salam. Tak apa, kau jangan risau, aku dah beritahu umi kau ada kuliah” kata Razman.
“Waalaikumsalam. Apa cerita?” soal Razlan.
“Umi beritahu mak long datang rumah, dari Melaka” cerita Razman.
“Oh…siapa bawa Mak Long datang? Pak Long mana boleh drive jauh-jauh lagi,” tanya Razlan, maklum akan keadaan bapa saudaranya yang kurang sihat dan tidak berdaya untuk memandu dalam jarak yang jauh.
“Fatin” jawab Razman.
“Ha?! Fatin? Fatin dah balik ke?” soal Razlan, terkejut.
“Dah…dah habis belajar katanya. Tu yang umi excited sangat nak beritahu kau tu. Hai…Habislah kau…” usik Razman lalu tergelak.
“Eh, kenapa pula aku? Kau lah. Kau abang” pantas Razlan menjawab. Razman tergelak besar.
“Aku dah ada. Kalau kau tak nak ada konspirasi dalaman antara umi dengan mak long, baik kau cepat-cepat cari awek” usik Razman.
“Tak adalah…tak mungkin ada konspirasi. Fatin tu dah macam adik beradik kita kot. Dah lah kita berdua je anak umi. Fatin tu ibarat kakak kita, kadang-kadang macam adik” bidas Razlan.
“Habis tu, kenapa tiba-tiba mak long datang rumah umi. Umi pulak tak menyempat-nyempat telefon kau. Tak dapat kau, umi cari aku” duga Razman.
“Excited lah tu, nak inform Fatin dah balik dari Jepun. Fatin tu kan anak kebanggaan mak long” balas Razlan mendatar.
“Hmm…betul jugak. Apa-apa pun, kau berhati-hatilah ya” Razman masih lagi ingin mengusik.
“Mengarutlah!” marah Razlan. Razman masih terkekeh ketawa. Gelihati melihat wajah cuak Razlan. Dia tahu dari dulu mak longnya memang berkenan dengan Razlan. Berbanding dirinya, Razlan memang lebih rapat dengan Fatin Husna, anak bongsu mak long. Mereka tidak punya adik beradik lain, kerana itulah Fatin Husna yang berbeza usia setahun lebih tua daripada mereka sering menjadi rakan sepermainan semasa kecil dahulu. Melihat wajah Razlan yang keruh, tiba-tiba Razman teringat pesanan teman wanitanya, Leana.
“Eh, kau OK tak ni? Aku dengan Leana baru nak ajak kau keluar malam ni” kata Razman.
“Nak suruh aku jadi ubat nyamuklah tu” sindir Razlan. Razman tergelak besar. Saudara kembarnya ini memang amat memahami dirinya.
“Aku nak ajak kau keluar, dengan Leana sekali. Tapi dah kau jatuh motor ni, ok ke nak keluar?” Razman bertanya. Simpati pula hatinya melihat keadaan Razlan.
“Aku ok lah...bukan teruk pun, luka sikit aje. Cuma…aku rimaslah nak keluar sekali dengan awek kau tu” jawab Razlan berterus-terang.
“Kenapa?” soal Razman, ingin tahu.
“Hmmm...Leana tu memang ayu. Tapi terlalu control ayu. Rimas aku” komen Razlan, selamba. Razman tergelak besar. Gelihati mendengar pujian bercampur kritikan Razlan. Namun sedikit pun dia tidak mengambil hati.
“Apa boleh buat, bro...Dah dia je yang berkenan kat aku. Sekurang-kurangnya aku ada alasan kot tiba-tiba umi nak jodohkan aku dengan sesiapa” Razman masih tertawa. Razlan tersenyum pahit. Biarlah, itu pilihan Razman. Dia tidak mahu campur tangan walaupun hatinya memang tidak berkenan dengan Leana.
“Eh, jomlah. Malam ni kau tak kerja kan” Razman masih tidak berputus asa mengajak Razlan menemaninya.
“Nak pergi mana?” soal Razlan. Mujurlah malam ini bukan gilirannya untuk bertugas di Suasana Café. Kafe itu tempatnya mencari rezeki secara sambilan. Dia sukakan suasana kafe tersebut. Majikan yang memahami dan teman-teman sekerja yang menyenangkan hati antara sebab Razlan terus bertahan walaupun sangat penat untuk bekerja sambil belajar.
“Pergi makan. Lepas tu tengok wayang. Eh, tapi kau ok tak ni?” Razman bersuara bimbang dan mengulangi pertanyaannya. Razlan berfikir sejenak. Kalau tidak ikut, bosan pula bersendirian di rumah. Teman serumah mereka seorang lagi sudah memberitahu mahu pulang ke kampung. Itulah rutin Hadafi setiap hujung minggu. Tetapi sebenarnya badan ini terasa juga sakitnya. Mungkin impak kejadian kemalangan siang tadi. Kalau tidak pergi, terselit pula rasa simpati kepada Razman yang seperti amat berharap.
“Kalau kau nak rest tak apalah” Razman bersuara, sedikit hampa.
“Ok lah. Aku teman kau. Tapi Leana dah tau ke yang aku ikut?” tanya Razlan. Manalah tahu kalau-kalau gadis itu tidak selesa andai dia turut serta.
“Leana yang pesan, ajak kau sekali” jawab Razman.
“Ha!!! Ni ada konspirasi jugak ke ni? Dia nak ajak kawan dia?” soal Razlan ragu-ragu. Bukan dia tidak pernah terkena. Konon diajak sekali menemani, tiba-tiba Leana juga mengajak temannya untuk turut serta. Sengaja dia ingin memperkenalkan temannya itu kepada Razlan yang sehingga kini belum berteman.
“Tak adalah...Dia tahu kau marah dan tak suka hari tu” kata Razman.
“Tau takpe” bidas Razlan.
“So nak ikut tak ni?” soal Razman seperti tidak sabar. Razlan terdiam, berfikir lagi. Bersendirian bakal mengundang kebosanan. Apatah lagi esok hari cuti, tiada sebarang kuliah atau kelas tutorial. Tugasannya di kafe hanya akan bermula jam 3 petang. Ah! Temani sahaja Razman, sekurang-kurangnya saudara kembarnya itu tidak keluar berdua-duan dengan Leana.
“Nak ikut atau tidak?” Razman bertanya bila Razlan senyap sahaja tidak bersuara.
“OK, but strictly kita bertiga sahaja tanpa kawan Leana. Nampak je ada orang lain, aku patah balik” Razlan meletakkan syarat. Suaranya tegas, seperti memberikan amaran.
“OK. Aku ingatkan Leana nanti. Kau pergilah rehat, tidur dulu ke, kita keluar lepas Maghrib” Razman memberitahu. Razlan mengangguk, tanda bersetuju. Menyertai Razman dan Leana mungkin dapat mengubati rasa sakit hatinya hari ini. Sakit hati kerana motosikalnya dihimpit kereta lelaki yang dikategorikannya sebagai seorang yang sombong dan angkuh. Rasa bengangnya masih belum hilang. Mentelah lagi lelaki yang menyebabkan dia kemalangan hari ini adalah teman lelaki Maya Qaseh. Eh! Kenapa kau sakit hati sangat ni? Bukan salah Maya Qaseh pun. Bukan dia yang memandu kereta. Lagipun gadis itu sudah meminta maaf kepadanya.
Razlan mendengus. Razman sudah hanyut dalam dunia sendiri apabila sudah membelek telefon pintarnya. Hemmm...berbalas mesej dengan Leanalah tu. Dia tidak mengerti kenapa tiba-tiba hatinya terasa sakit, bagai luka yang dititis dengan cuka. Adakah gelak ketawa Razman yang menambahkan luka di hati Razlan? Cemburukah aku dengan Razman? Tidak. Aku tidak cemburukan Razman, malahan aku gembira seandainya saudara kembarku itu bahagia. Lalu, kau sakit hati dengan siapa? Kau rasa cemburu pada siapa?
Razlan membelek balutan di siku dan telapak tangannya. Terasa pedih ketika dicuci, diletakkan ubat sebelum dibalut di klinik tadi. Walau lukanya tidak dalam, pedihnya cukup membuatkan wajah tampan Razlan berkerut menahan sakit. Razlan tahu, perasaannya juga sama. Mengapa sedari tadi dia rasa tidak menentu. Di matanya ternampak-nampak wajah Maya Qaseh dan lelaki itu. Geram. Sakit hati. Marah. Rasa itu amat pedih dan menusuk ke ruang hati yang paling dalam!

Selamat membaca

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience