Bab 19

Drama Series 7756

         Razlan menatap wajah Maya Qaseh yang masih pucat dan tidak bermaya. Sara Hanum sudah hilang entah ke mana. Mungkin mahu memberi peluang kepada Razlan untuk berbicara dengan kakaknya. Namun Maya Qaseh masih membisu, tidak mahu berbicara apa-apa.
           “Maya” panggil Razlan. Dia rasa ingin menyumpah dirinya sendiri, tidak percaya dengan kelembutan nada suaranya.
           “Maya” seru Razlan sekali lagi. Maya Qaseh mengalihkan sedikit wajahnya. Matanya dibuka, menatap Razlan dengan pandangan yang kosong.
           “Nak makan?” pelawa Razlan. Maya Qaseh menggeleng. Seleranya masih tertutup. Bukan sahaja terpaksa menanggung kesakitan akibat kemalangan. Jiwanya lebih parah tercedera. Bayangan Nazmi dan isterinya yang ditemui di KLIA benar-benar mengganggu perasaannya. Dia benci kepada lelaki penipu itu, namun dia juga keliru dengan perasaannya. Oh…mengapakah aku harus rasa kecewa, sehingga hilang tumpuan dan terbabit dalam kemalangan.
           “Kalau tak makan, lain pula penyakit yang datang nanti. Kau pun nampak lemah je ni” Razlan cuba memujuk. Maya Qaseh menggeleng. Dia sendiri tidak mengerti mengapa lelaki ini begitu setia mengunjunginya. Maya Qaseh tahu Razlan datang semalam semasa dia baru dimasukkan ke hospital. Tetapi dia terlalu lemah untuk berbicara dengan lelaki itu. Hari ini, lelaki itu masih lagi di sini. Walaupun lebih kuat berbanding semalam, namun Maya Qaseh masih tidak punya semangat untuk berbual panjang dengan Razlan.
“Macam mana kau boleh accident?” Razlan akhirnya meluahkan soalan yang menghantui fikirannya. Dia tahu Maya Qaseh masih lemah, namun dia tidak lagi dapat menahan dirinya daripada mengajukan soalan itu.
“Apa yang terjadi sebenarnya?” Razlan mengulangi soalannya apabila melihat Maya Qaseh hanya mendiamkan diri. Maya Qaseh menarik nafas. Kemudian dia melepaskan sebuah keluhan berat. Terasa sakit untuk menceritakan kisah sebenar. Namun, dia tidak sampai hati untuk membiarkan soalan Razlan tanpa jawapan.
           “Aku nampak dia” tutur Maya Qaseh, perlahan.
           “Dia? Siapa?” Razlan mengerutkan dahi, tidak mengerti.
           “Dia tu lah...Hantu tu” balas Maya Qaseh.
           “Ha?! Betul ke? Kau nampak entiti?”
           “Hish! Kau ni, ke situ pulak” gerutu Maya Qaseh. Dia rasa bengang kerana Razlan tidak memahami ceritanya.
           “Habis tu? Dah kau kata hantu” tanya Razlan, masih berlembut. Dia tahu, Maya Qaseh marah kepadanya. Melihat Maya Qaseh cuba membetulkan kedudukan badannya, spontan Razlan bangun untuk membantu Maya Qaseh bergerak.      

“Kau jumpa siapa, sebenarnya?” soal Razlan semula bila melihat Maya Qaseh nampak lebih selesa dan bersedia untuk bercerita.
           “Dialah...”
           “Ialah...dia tu siapa?” Razlan masih tidak dapat meneka.
           “Dia! Nazmi” Maya Qaseh sudah naik angin. Dia sebenarnya tidak mahu menyebut nama itu, namun dia terpaksa. Razlan terkejut dan riak wajahnya berubah.
           “Jumpa di mana?” nada suara Razlan meninggi tiba-tiba.
           “KLIA. Masa hantar parents aku ke airport” jelas Maya Qaseh. Razlan ingin bertanya lebih lanjut, namun lidahnya bagai terkunci tiba-tiba.
           “Aku nampak dia. Isteri dia. Baru balik Malaysia, maybe” luah Maya Qaseh, lemah. Dia menarik nafas sebelum meneruskan bicaranya.  “Betullah dia dah beristeri. Eh, memanglah dia dah lama beristeri. Aku je yang still in denial. Tak nak terima kenyataan” cerita Maya Qaseh, sedih. Razlan diam seketika.
           “Dia nampak kau?” tanya Razlan, spontan.
           “Nampak. Sebab tu aku lari. Aku cepat-cepat pergi ke kereta. Lepas tu aku speeding. Tahu-tahu, aku dah accident” jawab Maya Qaseh, suaranya mula bergetar dengan tangisan.
           “Maya!” Razlan terkejut.
           “Aku tak tahu. Aku tak sedar dengan apa yang aku buat. Aku hanya nak lari daripada dia. Sebab dia nampak aku” cerita Maya Qaseh. Razlan melepaskan keluhan berat. Dia menguak rambutnya ke belakang. Kesal dengan apa yang Maya Qaseh lakukan.
      “Maya...cubalah fikir panjang sikit. Kalau apa-apa jadi pada kau macam mana.” Razlan bersuara. Marah bercampur kesal.
           “Aku dah cakap, kan. Aku tak sedar apa yang aku buat” balas Maya Qaseh, cuba membela diri.
           “Sebab tu aku kata...fikir dulu sebelum bertindak. Ikut rasa binasa. Ikut hati, macam ni lah. Mujur tak mati!” terlancar kata-kata itu daripada mulut Razlan.
           “Ok! Fine! Aku yang salah! Semua pun aku yang salah! Kau ingat, aku nak ke jadi macam ni?” Maya Qaseh sudah menangis. Wajahnya ditekup dengan kedua telapak tangan. Razlan mengeluh lagi. Dia pandai menasihatkan Maya Qaseh, agar berfikir sebelum bertindak. Hakikatnya, dia sendiri tidak mengawal kata-kata yang keluar daripada bibirnya.
           “Maya...” Panggilan lembut Razlan dibiarkan tanpa jawapan. Maya Qaseh masih menangis. Namun sedu-sedannya terkawal.      
           “I’m sorry, Maya. Aku tak menjaga kata-kata aku. Alhamdulillah kau selamat. Cuma lain kali please...jangan buat macam ni” Razlan merendahkan nada suaranya, menasihatkan Maya Qaseh. Maya Qaseh tersentuh mendengar kata-kata Razlan. Dia menyeka air mata di pipinya. Mengapakah aku harus menangis untuk lelaki yang telah mengecewakan aku? Eh! Tidak! Aku tidak menangis kerana Nazmi. Tapi aku kecil hati kerana dimarahi Razlan.
           “Aku cuma bercerita, kerana kau bertanya. Tapi kenapa kau marah aku semula?” soal Maya Qaseh dengan rasa amat sayu.
           “Kenapa aku marah? Kau tanya aku, kenapa aku marah?” soal Razlan, kembali.
           “Ya. Kau yang tanya, macam mana aku boleh accident. Jadi aku cerita. Tapi kenapa akhirnya yang aku dapat hanya kemarahan kau?” balas Maya Qaseh.
           “Aku marah sebab kau terlalu emosi dan bertindak sesuka hati. Kau tak fikirkan keselamatan diri, keselamatan Sara. Kalau apa-apa jadi pada kau, aku macam mana?” kata Razlan. Maya Qaseh terdiam. Semangat untuk berlawan kata dengan lelaki itu terpancung tiba-tiba. Bicara yang lahir daripada mulut Razlan itu tidak mampu dibalasnya.          
           “Sudah. Jangan fikir yang bukan-bukan. Alhamdulillah. Aku selamat” akhirnya Maya Qaseh menjawab. Namun wajahnya terasa panas. Melihat Maya Qaseh tidak terkata, Razlan meneruskan bicaranya.
           “Jangan diingat lagi peristiwa yang membuatkan kau kecewa. Pandang ke hadapan dan hidup perlu diteruskan” ucap Razlan. Maya Qaseh terus mendiamkan diri. Dia tahu Razlan ikhlas menasihatinya. Cuma dia yang degil dan tidak mahu menerima kenyataan. Maya Qaseh terasa sebak semula. Susah payah aku membina kekuatan setelah ditinggalkan Nazmi tetapi tembok kekuatan itu runtuh dengan mudahnya saat terpandang Nazmi dan isterinya di KLIA tempoh hari. Mengapakah hati ini begitu rapuh? Adakah kerana rasa sayang kepada Nazmi masih bersarang dalam diri ini? Tetapi Nazmi sudah bahagia bersama isterinya. Mengapa aku yang harus terus-terusan berendam air mata?
           “Dah lah, jangan menangis lagi. Kan aku kata, bangun dan pandang ke hadapan. Sampai bila nak bazirkan masa dan usia dengan rasa kecewa?” Razlan masih tidak berasa jemu menasihati Maya Qaseh. Maya Qaseh diam mendengar. Cakaplah apa sahaja, Razlan. Aku akan menadah pendengaranku. Memang aku bodoh dan tolol. Hidup-hidup ditipu Nazmi, namun dalam hati masih juga mahu menyayangi.
           “Lain kali, jangan ikut emosi. Fikirkan orang tersayang dan orang yang sayang kau” ujar Razlan.
           “Siapa je yang sayang aku. Orang tinggal aku adalah” jawab Maya Qaseh, lirih. Dia mengesat air jernih yang terbit kembali di tubir mata.
           “Aku. Aku kan sayang kau” balas Razlan. Maya Qaseh terkaku mendengar kata-kata Razlan. Dia tidak mampu untuk membalas ungkapan itu. Pandangannya dialihkan. Tidak sanggup untuk memandang wajah lelaki itu. Akhirnya Maya Qaseh hanya mengunci bibir, berpaling dan tidak mahu berbicara lagi.
           Kebisuan Maya Qaseh menyebabkan Razlan hilang punca. Dia tidak tahu bagaimana lagi mahu menasihati gadis itu. Terbit juga rasa cemburu dalam dirinya. Hebat sungguh rasa kasih Maya Qaseh kepada Nazmi. Sehingga hari ini lelaki itu tidak mampu dilupakannya. Lelaki itu bisa mengocak emosi Maya Qaseh sehingga gadis itu sanggup mengabaikan keselamatan diri dan akhirnya terbabit dalam kemalangan. Mana perginya nasihat-nasihatku sebelum ini? Ke mana hilangnya kata-kata semangat yang pernah ku titipkan saban hari? Maya...setelah sekian lama, mengapa lelaki itu masih menghuni ruang di hatimu? Lalu, masih adakah harapan untukku menempatkan diri dalam ruang itu. Razlan mengeluh. Maya Qaseh yang masih tidak mampu membuka ruang hatinya atau aku yang terlalu cepat putus asa dan kecewa?
           “Eh, Kak Maya tak makan lagi? Sara Hanum yang tiba-tiba masuk terkejut melihat makanan yang dihidangkan belum berusik. Maya Qaseh tidak menjawab soalan adiknya.“Sara turun bawah tadi. Belikan majalah untuk kak Maya. Kalau boring nanti boleh juga membaca” kata Sara Hanum. Sara Hanum tidak mengalami sebarang kecederaan dan hanya dirawat sebagai pesakit luar pada hari kejadian. Maya Qaseh pula ditahan di wad kerana mengalami kecederaan dan perlu berada dalam pemantauan doktor akibat impak kemalangan yang dialaminya.
           “Eloklah tu. Sara pun dah balik. Aku gerak dululah” Razlan meminta diri.

“Esok kau datang ke?” spontan, terpacul soalan itu daripada bibir Maya Qaseh. Ah! Mengapa soalan ini pula yang muncul daripada mulutku. Bangga pula lelaki bernama Razlan ini nanti. Mesti dia merasakan aku tertunggu-tunggu kehadirannya. Saat itu, Maya Qaseh terasa bagai ingin memaki hamun dirinya sendiri.
           “Tengoklah. Kalau aku rasa nak melawat tunggul kayu, aku datanglah” jawab Razlan, sinis.

“Err..abang Lan. Terima kasih ya, sebab datang. Tolong Sara tengok-tengokkan kak Maya” Sara Hanum menyampuk, apabila terlihat percikan api pergaduhan di antara Razlan dan kakaknya. Razlan mengangguk, lalu tersenyum nipis pada Sara Hanum. Gadis ini tidak bersalah. Aku cuma geram dengan kakaknya, Maya Qaseh!

“Ok, Sara. Balik dulu. Assalamualaikum”

“Waalaikumsalam” jawab Maya Qaseh dan Sara Hanum serentak. Sebaik sahaja Razlan hilang dari pandangan, Sara Hanum terus bertanya.
           “Kak, abang Razlan tu baik, kan? Semalam pun dia risau betul bila tahu kita kemalangan dan kau warded” komen Sara Hanum.
           “Kau sibuk beritahu dia kenapa?” Maya Qaseh baru punya kesempatan untuk menyoal.
           “Dah dia call handphone kau, tanya kenapa tak datang kelas. Aku beritahulah perkara sebenar” kata Sara Hanum, membela diri. Maya Qaseh mengeluh. Sara Hanum ini memang selalu memandai-mandai.
           “Kalau ada sesiapa telefon, tak perlu beritahu aku masuk hospital” tegas Maya Qaseh. Dia berharap Razlan tidak memberitahu teman-teman sekuliah tentang dirinya. Saat ini, dia hanya memerlukan ruang privasi.

“Ok kak…Akak rehatlah, Sara nak pergi surau” jawab Sara Hanum, akur. Nada suara Maya Qaseh yang serius menandakan saat ini tidak sesuai untuk dia bertanya lebih lanjut tentang Razlan.
           Maya Qaseh menarik sedikit selimut untuk menutupi lengannya. Dia tidak berselera untuk menjamah makanan dan mengambil keputusan untuk melelapkan mata. Namun kata-kata Razlan kembali terngiang-ngiang di telinganya. Tanpa dijemput, kenangan tiga tahun dulu datang menjengah ingatannya. Bukankah Razlan juga sudah berpunya? Mengapa pula hari ini dia menabur kata-kata manis untukku? Sekadar untuk memujuk atau benar-benar melahirkan perasaan yang tersimpan? Ah! Aku malas dan lelah memikirkan tentang lelaki. Mereka makhluk yang bisa berbicara manis, tetapi hatinya mungkin milik insan lain. Kadangkala, ditatangnya kita bagai minyak yang penuh. Sengaja bikin kita jatuh hati. Bila kita sudah benar-benar cinta, ditinggalnya pula kita begitu sahaja. Bagaikan kita tidak punya harga diri. Seperti Nazmi. Nazmi?! Itu bukan lelaki yang sukar dimengerti. Tetapi Nazmi adalah lelaki yang paling ku benci!

Jom follow ig @sayalahrinazrina dan FB Page Sayalah Rin Azrina. Terima kasih kerana sudi mengikuti cerita Qaseh :-D

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience