BAB 4

Drama Completed 338

Lewat pagi itu, kami tiba dengan selamatnya di Kijal. Selepas
menghantarku, Ajat terus pulang. Penat katanya. Aku hela nafas panjang.
Menikmati hembusan bayu Laut China Selatan yang mendamaikan. Membawa
bisikan akan agungnya ciptaan Allah. Sayangnya Dia pada hamba-Nya hingga
dihamparkan keindahan alam yang sebegini indah.
“Mak dah lama tak tengok Rohaizat . Tak singgah dulu ke dia?” tanya emak saat
aku melabuhkan duduk di sofa. Aku lihat seluruh rumah lot setingkat
milik mak dan ayah ini. Sudah banyak berubah setelah ayah berjaya
memajukan rumah peranginannya yang pernah menuntut ayah berkorban apa
saja satu waktu dulu. Penat memaksa aku menyambung pelajaran selepas
itu, tapi aku hanya memekakkan telinga. Sudah malas. Tertewas oleh waktu.
“Dia penat, mak! Dia memandu seorang. Rea tidur!” Aku sengih. Emak buat
muka dan aku ketawa.
“Rea dah umur 26 tahun ni, kan?” Erk, aku tepuk dahi demi soalan mak.
Apakah jenis soalan itu? Bukankah dia yang melahirkanku? Rasanya setiap
tahun dia tidak pernah lupa untuk mengadakan doa selamat sempena tarikh
lahirku dan Ajat biarpun kami tiada di rumah.
“Soalan apa tu, mak?” Aku ketawa. “Semalam Ajat yang tanya, hari ni mak
pulak. Macamlah tak tahu Rea umur berapa?”
Emak tidak menjawab, sebaliknya duduk di sebelahku lalu meraih jemariku
ke dalam genggamannya. Senyuman mak nampak semacam. Bagaikan
menghantarkan maksud yang pasti mengejutkanku. Yang pasti membuatkan aku
melopong habis. Aku angkat kening. Menduga mak.
“Mak nak tanya ni. Rean tak nak tamatkan zaman bujang lagi ke?” tanya
emak. Sudah ku telah, itulah soalannya, kan? Biarpun hanya sijil SPM
yang ku genggam namun, tahap kecerdasanku masih tinggi. Tidak lemau.
“Dengan bahasa mudah untuk kau faham, mak nak tanya bila Rohaizat atau Ajat
kau tu nak masuk meminang?” Entah dari mana muncul kakakku yang seorang
ni. Terus sahaja menyebut nama Ajat kesayanganku itu. Terdongak aku
mencari wajah Kak Resya. Wajah itu selamba seperti biasa.
“Erk, soalan apa tu, kak?” tanyaku buat-buat tidak tahu.
“Apalah lemau sangat kau ni, Rean? Bukan ke kau dah lama bercinta dengan
Ajat tu? Nak tunggu sampai bila baru dia nak masuk meminang kau? Nak
tunggu umur kau 40?” tekan Kak Resya seraya duduk di sebelah mak. Aku
telan liur.
Erk, angka itu lagi. Baru pagi tadi angka itu ditukas Ajat . Rasanya
bagaikan terkena sumpahan nombor pula. Entah-entah masin mulut Si Ajat
tu. Aku pantas mengucap panjang. Mohon pada Allah agar dijauhkan semua itu.
“Ala, Ajat tu tengah belajar lagi, kan? Nanti dia dah habis belajar,
dia masuk mintak la tu,” jawabku dalam pada memujuk hati yang kewalahan.
“Kalau dia tak habis-habis jugak belajar? Rea nak tunggu dia jugak ke?”
sela emak pula. Aduh, pedihnya soalan mereka ini. Kenapalah skrip mereka
hampir sama? Diarahkan oleh pangarah yang samakah?
“Hanya Ajat je dalam hati Rea ni, mak! Tak kiralah umur berapa pun, Rea
tunggu,” jawabku seraya mengangkat tubuh mahu berlalu ke bilik. Baru
saja tiba, sudah diterjah dengan soalan membunuh begini. Pedih hati
memikirkan andaian negatif dari Ajat , Kak Resya dan lebih-lebih lagi
dari mak. Oh, tidak! Jerit hatiku kuat.
“Emm, tunggulah Ajat tu, Rea. Mahu akak dapat cucu dulu nanti,” perli
Kak Resya. Aku kalih sekilas. Emak tersenyum penuh makna.
“Dan Kak Resya toksahlah nak panggil dia Ajat . Panggil dia Rohaizat ke
Adrian atau apa sajalah. Ajat tu Rea seorang je boleh panggil,”
pesanku tawar. Emak sengih pula.
“Gila kuasa!” ejek Kak Resya.
“Lepas tu, mak toksah jugak terima kalau ada sesiapa masuk meminang.
Nanti Rea terjun laut,” ucapku pada emak selepas dapat mengesan maksud
yang tersirat di balik bening mata tua itu.
Erk, ada ke orang yang masuk meminang? Bisik hati ini. Macamlah cantik?
Emm, memang tak cantik, tapi still cute! Jawab hatiku lalu berlalu ke
bilik. Menutup pintu, menghempas badan ke tilam dan menutup mata. Tapi,
masih berdoa agar tidak menutup mata terus. Heee...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience