“Teh o ais limau, bang!” Aku meminta teh o ais limau bila pelayan
restoran itu bertanyakan pesananku. Dia mencatit pada kertas di
tangannya. Dia beralih pandang pula pada Ajat .
“Air apa, dik?”
“Teh o beng,” jawab Ajat jelas dan telus. Pelayan itu kerut wajah.
Pastinya anak jati KL yang belum pernah dirojakkan dengan loghat lain.
“Abang bin Ahmad,” jawab pelayan itu bermuka blur. Aku ketawa disambut
pula dengan kawan-kawan yang lain.
“Erk, kenapa bin pulak. Orang minta teh o beng,” tekan Ajat sekali
lagi. Wajahnya seperti biasalah. Ketat yang selamba. Aku menyiku Ajat
minta dia berhenti berkata demikian.
“Abang, dia minta teh o ais,” ujarku dalam pada menahan sisa tawa.
Pelayan itu mengangguk sambil menggaru kepala lantas beralih kepada
pelajar yang lain. Sudahnya, Ajat mula membaca mentera sebiru lembutnya
padaku. Sengaja aku tukar serapah itu menjadi sebiru.
“Jauh termenung?” Suara itu ku kenal amat. Dia lantas melabuhkan duduk
di sebelahku, sedikit menjarak kerana kami bukan lagi zaman kanak-kanak
ribena dulu. Boleh berpimpin tangan, dan berpelukan bila masing-masing
dimarahi mak atau ayah. Memujuk la konon! Tapi, kini, hari ini, saat dan
detik ini, ku rasakan aku makin jauh dengan hati Ajat . Tidak pernah
sekalipun dia mengucapkan perkataan nikah padaku walau sekadar gurauan.
Dulu, aku berpendapat, mungkin dia masih belum bersedia tapi kini,
rasanya jodohku dengan dia hanya angan-angan saja. Bakal sirna. Masinkah
mulut mereka semua?
“Jauh la jugak,” selaku tiada minat. Benar, aku rasa jauh hati. Apatah
lagi emak tidak sudah-sudah bertanyakan tentang angka 40 itu padaku.
Perasa yang ditambah Kak Resya juga boleh tahan. Hampir botak kepalaku
menahan larva panas.
“Jauh tu sampai mana dah?”
“14 tahun akan datang,” jawabku tanpa memandangnya. Dari ekor mata, aku
tahu dia sedang merenungku.
“Meaning, umur Rea 40?” tanya dia lagi.
“Dan umur Ajat jugak!” Dia ketawa.
“Interesting! Boleh tahu apa yang agaknya Rea nak buat masa tu?”
“Duduk rumah mak seorang diri. Damai dan menenangkan,” jawabku penuh
makna tersirat di sebaliknya.
“Hai, nak membujang sampai tua ke? Duduk rumah mak tu elok dah, tapi
seorang diri tu macam pelik je,” ujar Ajat lagi.
“Tak ada yang pelik. Kot la Ajat tak lepas projek akhir ni. Kan Ajat
suruh Rea kahwin dengan orang lain. Ajat tak apalah masa umur tu, muda
lagi tu. Rea rasa kita dah makin jauhlah. Dekat tapi jauh. Dekat untuk
dicapai tapi jauh untuk dimiliki!” Aku memaksudkan kata-kata itu.
Berharap agar jiwa nerd di depanku ini tersapa oleh bisikan rinduku
padanya yang menggebu dan semakin menghentak dada.
Ajat ketawa. Ranting kayu yang ada di tangannya di cuit-cuit ke
rambutku. Aku mengelak. Menepis dengan wajah kelat. Dia bangkit menyapu
belakang seluar dockers krimnya.
“Payah nak faham kata-kata puitis penulis ni, Rea! Ajat budak kejut.
Semua maklumat sudah jelas dalam buku. Tinggal baca, apply je. Ayat
melankolik ni, Ajat tak boleh nak tafsir,” balasnya. Aku turut berdiri
bila dia mula melangkah mendekati pantai yang membiru. Tempat
kesukaannya biarpun tidak pandai berenang.
“Ajat tahu tak, mak Rea tanya pasal kita? Rea takut kalau lambat-lambat
nanti mak jodohkan Rea dengan orang lain pulak,” beritahuku jujur. Sejak
akhir-akhir ini dapat ku rasakan lirikan mta emak tersirat. Cuma dia
tidak meluahkannya lagi.
“Ajat tak tahu. Kalau pun Ajat tahu, Rea nak Ajat buat apa?” Soalan
itu bagaikan menghantar maksud yang dia langsung tidak ingin mengambil
tahu akan keadaan diriku kini. Atau dengan kata mudahnya, bukan lagi
Harrea Cempaka di dalam hatinya.
Kelopak mataku terasa suam sudah. Berat rasa tubir mata menahan genangan
air jernih yang bakal mengalir andai Ajat berkata untuk sepatah saja lagi.
“Kalau Rean rasa nak kahwin dengan orang yang mak Rea nak, go ahead. I
won’t stop you!” Dia terus maju ke tepi pantai.
…. dan aku pula, terus berpaling memandang ke arah gazebo indah itu.
Entah mengapa hati ini kuat mengatakan yang ‘jurutera’ itu adalah Ajat .
Ya, dia. Rohaizat Adrian bin Zamir tapi bila dia tergamak berkata begitu,
airmataku mengalir laju. Pandangan ke arah gazebo itu kabur akibat
airmata yang semakin melimpah.
Aku memasang langkah lemah. Nyata, Ajat berubah hati. Bukan lagi Harrea
Cempaka ni yang digilai tapi orang lain dan pastilah yang berpelajaran
tinggi sepertinya. Baru sahaja beberapa langkah, aku dengar suara Ajat
menjerit. Rasa sakit hati ini dimamah bimbang. Hilang langsung hinggakan
secara tidak sedar kakiku berlari menuju ke gigi air demi tertangkap
tangan Ajat yang tergapai-gapai di tengah laut. Jantung ini bagaikan
terhenti.
“Aku rela jika hilang cinta dan dirinya dariku Ya Allah tapi aku tidak sanggup andai dia hilang dari bumi-Mu ini.” Tidak putus aku berdoa. Kakiku kaku. Terasa berat. Bagaikan kebas seluruh badan bila mahu terjun ke air untuk
menyelamatkan Ajat . Peristiwa aku lemas dulu ditambah pula dengan
momokan jerung dan pirana, menambahkan lagi rasa kecutku. Memang tidak
logik jerung dan pirana di perairan Malaysia, kan? Tapi, benar. Itulah
yang terus menghalang aku dari mendekati laut.
Bila melihatkan Ajat yang terus tergapai-gapai, airmataku mengalir
lagi. Aku pejam mata ,cuba melangkah ke air. Dah tak pandai berenang
mengapa mahu terjun ke laut?
“Aku pandai berenang. Aku mesti selamatkan, Ajat . Jodohkanlah siapa
saja untuk Rohaizat Adrian , Ya Allah asal tidak kau jemput dia kembali
pada-Mu,” jeritku kuat dan serentak itu aku terus terjun dan berenang ke
tengahnya. Biarpun air masih di paras dada tapi segalanya berkemungkinan.
Kolar baju Ajat aku gapai dan entah macam mana, kerana body shock,
kakiku kejang tiba-tiba. Namun, aku terus kuatkan semangat, pohon pada
Allah untuk membawa Ajat ke pantai tapi sayang bila kedua belah kakiku
turut kejang. Hingga akhirnya aku hanya mampu berserah. Ombak beralun
tenang, setenang rasa hati. Biar tidak hidup bersama di dunia, aku
syukur andai kami pergi kepada-Mu bersama-sama, Ya Allah! Bisikku
sebelum aku terus tenggelam.
Share this novel