BAB 4
Mary dan Richard hanya menuruti sahaja kata-kata Ustaz Azizi kerana dia lebih arif dalam perkara seperti ini. Begitulah perihal kenapa nama Mary dan Richard dan anak-anaknya tidak ditukarkan kepada nama berbentuk lebih kepada Islam. Ini akan memberikan kerahsian pengislaman mereka daripada pengetahuan keluarga mereka di Filipina. Hanya tinggal beberapa hari sahaja mereka akan bertolak ke Filipina.
Segala barang telah dipersiapkan. Setelah mendengar kata-kata daripada suaminya, Mary rasa bersemangat dan bertekad untuk pulang ke kampung dengan perasaan yang tenang. Hatinya yang gundah hilang kerana kekuatan kasih Tuhan yang satu, yang selalu melindungi umatnya ke jalan yang benar.
“Apa yang dimenungkan itu?” suara Richard tiba-tiba menyapa cuping telinga Mary.
“Abang, tidak ada apa-apa. Saja melihat-lihat halaman rumah kita yang tidak akan ada siapa yang jaga selama seminggu ini” Mary cuba menyembunyikan perasaan khyalannya daripada pengetahuan suaminya.
Hatinya mula berasa tenang sebaik sahaja melihat wajah suaminya itu. Langkah demi langkah diatur, menghampiri susuk tubuh Richard lalu memeluknya dengan penuh rasa kasih sayang. Richard hanya membiarkan isterinya yang tercinta memperlakukan sedemikian.
“Mahal kita, abang” Luahan kasih cinta Mary dilafazkan dengan suara yang romantik kepada suaminya.
“Mahal na mahal kita, Mary” balas Richard sambil menguntumkan senyuman yang manis.
Dalam diam, Daniel mendengar semua perbualan antara ibu dan ayahnya. Daniel sudah mendapat agak apa yang cuba dibualkan oleh orang tuanya itu. Tetapi Daniel kagum dengan sikap ayah yang berani mempertahankan kesucian agama yang dianuti ini dan ibunya yang nekad berjihad dengan pulang ke kampung. Daniel mengharapkan penerimaan keluarganya di kampung akan memberikan sinar harapan baru dalam hidup keluarganya. Dalam diri Daniel, dia tidak menyesal ibu dan ayahnya memeluk agama Islam. Malah, dia bersyukur kerana dilahirkan dalam keluarga Islam. Daniel hanya melihat kelibat ibu dan ayahnya dari jauh, setelah itu dia beredar kerana masih banyak lagi barang yang belum di kemas. Lalu dia membiarkan ibu dan bapanya meneruskan perbualan.
“Mana Donald, saya tak nampak dia sedari pagi tadi?” tanya Richard kepada Mary. Dia risau kelibat anak keduannya itu keluar dengan kawan-kawan yang tidak tentu arah.
“Semalam dia ada minta izin dengan saya, dia keluar dengan Haikal dan Isma. Keluar pergi main bowling. Abang lupa ke? Kan bulan depan dia ada pertandingan kat Perlis. Sebelum dia bertolak ke kampung, dia perlukan latihan yang secukupnya.” jelas Mary sambil membelai tanaman kesayangannya. Tangan kanannya memegang paip air yang menyirami pokok bunga ros merah di halaman hadapan rumahnya.
“Saya bukan apa. Saya bimbang dengan perangai Donald. Dia berbeza sekali dengan Daniel. Suka keluar rumah dan balik tak tahu pukul berapa. Lain dengan Daniel, dia selalu ada di rumah mengulangkaji pelajaran.” Richard menghela nafas panjang apabila memikirkan perangai anak keduanya itu.
“Abang janganlah cakap macam tu. Tak baik membezakan anak-anak kita. Kalau Donald dengar kecil hati dia” Mary berbisik perlahan walaupun hanya mereka berdua sahaja di halaman rumah ketika itu. Jari telunjuk kanannya diletakkan dibibir sebagai syarat, meminta suaminya itu tidak mengelurkan kata-kata yang diujarkannya sebentar tadi.
“Dah kenyataannya macam tu. Saya cuma cakap apa yang betul. Dari dulu lagi saya tak suka Don berkawan dengan Haikal dan Isma. Mereka tahun ini bakal mengambil SPM, masih lagi nak bersukan. Pelajaran diabaikan. Saya pelik, kenapa kita ada anak yang berbeza perangai” bentak Richard dengan nada seolah-olah tidak berpuas hati.
Share this novel