BAB 2
Setelah mengetahui mereka akan pulang ke kampung untuk berhijrah dan menyambut krismas untuk keluarga mereka buat pertama kalinya setelah hampir 20 tahun terpisah, hati Daniel gusar dan resah. Dia bimbang sama ada dia dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan di bandar Santa Cruz, sebuah bandar yang berdekatan dengan Ibu kota Manila.
Walaupun keadaan Filipina tidak seperti dahulu, tetapi apa yang membimbangkan Daniel adalah pengaruh orang di sana, dan yang paling penting, tidak mungkin mereka solat secara sembunyi daripada pengetahuan keluarga di Filipina.
Sebagai pelajar dalam jurusan undang-undang di Universiti di Malaysia, Daniel bimbang keadaan politik di Filipina yang kucar-kacir dan fahaman agama yang berlainan akan mengganggu keberadaannya di sana.
Pada masa yang sama, dia memang tidak suka dengan negara tersebut walaupun itu adalah kampung halamannya. Persepsinya berbeza kerana dia menganggap Malaysia adalah kampung halamannya.
Resah dan gelisah dalam hati Daniel semakin menebal dan membeku apabila tarikh penerbangan ke Filipina semakin hampir. Tiada apa yang perlu dibuat selain menurut kata-kata ibu dan ayahnya. Hatinya tidak boleh berbicara lantang, dan terpaksa dibius supaya pita suaranya menahan tutur bicaranya.
“Daniel, sudah kamu berkemas? Lusa kita akan bertolak” tanya Puan Mary kepada anaknya itu dalam bahasa Malaysia. Semenjak mereka menetap di Malaysia, penggunaan bahasa Tagalog jarang digunakan sebaliknya hanya berkomunikasi dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.
Dilihat barangan Daniel tidak lagi disusun ke dalam bagasinya. Wajah Dainel dikerutkan, dahinya diangkat ke atas sebagai tanda menunjukkan dirinya tidak ingin ke Filipina.
“Daniel, look at me. Look into my eyes. Do you really love me and your dad?” Daniel memandang tepat ke arah bebola mata ibunya. Dirasakan satu kuasa ajaib yang tidak dapat dia menolak permintaan ibunya. Terbeku hatinya untuk menolak permintaan itu. Namun Daniel akur dengan semua itu.
“Of course, mum. Mahal na mahal kita. Only you, dad and Donald. Kenapa ibu tanya?” Wajah Daniel mula berubah, dia menatap sayu kelopak mata ibunya yang mula menakung air yang jernih. Tak tertahan hati Mary mendengar kata-kata anaknya itu yang memahami perasaan seorang anak yang merindui orang tuanya.
“Thank you, Dan. Ibu cuma mahu Daniel tahu, ibu dan ayah mempunyai orang tua, kami terpisah hampir 20 tahun. Dan ibu amat merindui mereka. Sekarang, kehidupan dan kewangan kita membenarkan kita kembali ke kampung. Inilah masanya” Puan Mary menjelaskan kerinduannya pada orang tuanya yang masih lagi hidup.
Dia memegang rapat lengan anak sulungnya itu sambil perasaannya bercampur terharu. Hajat Puan Mary dan suaminya, Encik Richard adalah untuk memperkenalkan anak-anaknya kepada saudara-saudaranya di Filipina.
“Kalau itu kemahuan ibu, Daniel akan ikut sama. Daniel minta maaf kerana buat ibu bersedih” Daniel memeluk wanita berusia 42 tahun itu sambil menahan runtunan kesedihan dan menyesali perbuatannya sambil menahan dirinya daripada turut bersedih.
“Salamat anak.” balas Puan Mary dalam bahasa Tagalog (Terima kasih anak).
“Ibu, ada satu kemusykilan yang Dan fikirkan selama ini” terpacul secara spontan soalan yang sering kali bermain di benak Daniel. Hatinya mula membuka isi yang tersirat yang selama ini menyelimuti pemikirannya.
“Apa dia Dan?” balas Mary dengan nada yang serius. Pandangan wajanya terus menatap vivir anaknya itu yang mula mengatur perbicaraannya.
“Atuk dan nenek serta keluarga lain di Filipina tahu ke yang kita ni muslim?” Daniel mula mengatur butir bicaranya. Matanya memandang tepat ke arah mata ibunya.
Ibunya hanya menundukkan wajah dan menyembunyikan bebola matanya daripada menatap wajah anaknya itu.
“Takkan kita nak bersolat secara sembunyi dan makan makanan yang tidak sepatutnya kita makan ibu?” bertubi-tubi persoalan yang dipertanyakan oleh Daniel.
Sesekali dia memandang redup wajah ibunya itu. Ibunya menundukkan kepalanya dan kemudian rintik-rintik jernih mula terbit daripada alis mata ibunya. Sebaik sahaja melihat rintik-rintik jernih itu, Daniel lantas menopang dagu ibunya dan jemarinya tangkas menyeka air mata Mary. Keputihan mata Mary bak salju, berubah menjadi berwarna merah saga, jelas terlihat oleh Daniel.
“Mum, I’m sorry. Dan minta maaf bu, Dan tak bermaksud nak buat ibu sedih. Tapi Dan keliru bu, Dan keliru dengan semuanya. Semua berlaku dengan tiba-tiba.
Dan mula keliru bila ibu dan ayah menyatakan hasrat untuk pulang ke Filipina. Bukan Dan menolak atau tak nak ikut ibu dan ayah pulang, Dan teringin sangat tapi perkara inilah yang membuatkan Dan berfikir panjang.” Sambung Daniel.
“Dan tak perlu risau, ayah akan uruskan semuanya” tiba-tiba suara Richard kedengaran di muka pintu. Rupa-rupanya Richard telah melihat dan mendengar perbualan di antara isteri dan anaknya itu.
“Kalau solat, kita akan solat di bilik dan kalau makan kita pilih makanan dan katakan yang ibu, ayah, Daniel dan Donald vegetarian. Ayah dah fikirkan segala-galanya dan semua itu memang berisiko. Tapi walaupun kami berlainan agama, mereka tetap ibu dan bapa kepada ayah. Dan mereka juga tetap saudara kita.” Richard mendekati anaknya sambil mengatur butir bicaranya.
Share this novel