Bab 9

Romance Series 3124

BAB 9

12 Disember 2009, tarikh yang dahulunya dianggap keramat kini telah tiba dan Richard sekeluarga telah menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Diosdado Macapagal, Clark, Filipina yang terletak kira-kira 80 km dari Ibu Kota Manila. Segala urusan barang, bagasi dan kenderaan telah disediakan oleh saudara Richard, Stenly yang kebetulan bekerja di Lapangan Terbang tersebut. Kalau tidak, sukar untuk mengambil kenderaan untuk pergi ke Santa Cruz. Kebiasaannya penumpang akan mengambil bas di Lapangan Terbang Antarabangsa Clark dan kemudian menuju ke Terminal Philtranco, Manila untuk mendapatkan bas.

Ketika kaki mula mencecah bumi Filipina membuatkan hati Mary sebak dan menitiskan air mata. Hatinya sangat terharu dan tidak percaya dia sudah berada di bumi kelahirannya. Richard hanya tersenyum gembira sambil diperhatikan oleh Daniel dan Donald yang mengangkat bagasi pakaian mereka masing-masing.

Langit di awan secerah harapan Mary dan Richard terhadap mereka setelah hampir 20 tahun tidak bertemu sanak saudara. Seakan-akan bumi Filipina menerima dan meraikan kehadiran insan baru iaitu Donald yang dilahirkan di Malaysia. Bagi Daniel, dia pernah menetap di Filipina sehingga usianya hampir mencecah setahun dan kemudian dibawa oleh Mary dan Richard untuk berhijrah ke Malaysia.

“Tidak banyak berubah di sini. Pembangunannya semakin pesat terutama di ibu kota. Santa Cruz pun sekarang ini sudah pesat membangun. Kalau aku tidak mengambil kamu di lapangan terbang mungkin kamu semua akan tersesat.” Terang Stenly dalam bahasa Tagalog kepada sepupunya, Richard yang duduk di sebelahnya sambil memandu kenderaan. Mary hanya memadang luar tingkap merakamkan impian yang telah menjadi kenyataan dengan sepasang bebola matanya. Bumi dan lakaran realiti yang dilihat itu adalah benar-benar berada dihadapannya. Daniel juga menongkah dagunya pada cermin pintu belakang sebelah kiri sambil menyaksikan bumi yang pernah dipijaknya walau untuk seketika.

Donald yang terlena dek kerana kepenatan hanya duduk terhimpit antara Daniel dengan Mary.

“Sten, hari ini kau ambil cuti ke?” getus Richard memecah kesunyian perjalanan.

“Ye, aku ambil cuti kerana nak menjemput kamu semua. Akhirnya sampai juga kamu di bumi Filipina.” balas Stenly sambil melirikan senyuman.

“Sten, Jess sihat ke?” Mary mula menyampuk perbualan antara Richard dengan Stenly. Pertanyaan Mary membuatkan Stenly terdiam seketika. Matanya menajam tepat ke arah cermin hadapan. Kedua-dua tangannya menggenggam kuat stereng, sambil badannya berdiri tegak tepat ke hadapan.

Keadaan menjadi sunyi seketika, suasana ketika itu hanya digamitkan dengan deruan enjin kenderaan yang lalu-lalang disulami dengan pekik lolong hon kenderaan beserta gumpalan asap kenderaan yang memenuhi persekitarannya.

Bangunan batu di ibu kota Manila akhirnya tenggelam juga apabila jalan yang dipandu oleh Stenley menuju ke satu tempat yang dipenuh dengan pepohan nan hijau. Kicauan burung mula menyanyi, dari udara kotor dan hangat bertukar segar dan bersih. Rupa-rupanya mereka telah keluar dari ibu kota, dan menuju ka arah Santa Cruz.

Pertanyaan Mary belum lagi disahut dan Mary terus mematikan niatnya untuk bertanya soal Jessica. Sebaliknya Stenly terus bertanyakan soalan kepada Mary iaitu soalan yang membuatkan Mary berfikir panjang sebelum dia menjejakkan kaki di bumi Filipina.

“Mary, kenapa kamu menutup kepala kamu dengan kain? Tidak panas ke?” tanya Stenly.

Pertanyaan itu membuatkan mulut Mary terkumat kamit, wajahnya hilang seri kesenyuman. Daniel cepat-cepat memegang tangan ibunya itu sambil diperhatikan Richard. Suasana dalam perjalanan menuju ke Santa Cruz dipenuhi dengan kebisuan untuk beberapa saat walaupun panorama sekitar perjalanan mereka amat mengasyikan dan mendamaikan.

“Chard, kenapa dengan Mary?” Tanya Stenly kepada Richard setelah Mary membisu.

“Eh, ermmm.. ermmmm..’’ Kekeliruan di hati Richard terus menerpa wajah yang putih dan masih lagi tampan itu.

Kegelisahan Mary terus menyinggah di sudut ruang ketakutan. Sayup-sayup keresahan kembali menyelubungi Richard.

“Ayah sudah lupa ke?” sampuk Daniel.

“Ah, lupa? Lupa apa?” Richard semakin keliru sambil menjeling ke belakang melihat Daniel.Mary hanya mengerutkan wajah ketakutannya itu.

“Ayah cepat sangat lupa. Pak cik Stenly, ibu menutup kepada dia kerana beberapa tahun kebelakang ini, rambut ibu gugur sehingga hampir botak. Ibu salah guna syampu rambut, sebab itu rambut dia gugur. Sejak hari itu, Doktor meminta ibu pakai penutup kepala sama seperti kebanyakan wanita lain di Malaysia. Kulit kepala ibu sekarang terlalu sensitif.” Daniel memberi penerangan dalam bahasa Inggeris kerana Daniel tidak tahu bertutur dalam bahasa Tagalog, tetapi hanya memahaminya.

Penipuan Daniel secara terpaksa untuk kebaikan mereka semua.

Belum masanya mereka menceritakan keislaman mereka, dan belum saatnya kerana semua itu memerlukan masa dan waktu yang sesuai.

“Ooh, macam tu, baru pak cik faham.”

Mary dan Richard menarik nafas panjang dan kerisauan, keresahan dalam hatinya kembali reda. Bayang-bayang hitam ketakutan menghilang oleh sinaran mentari.

Ini adalah cubaan pertama yang perlu dihadapi oleh mereka. Terdapat pelbagai cubaan yang perlu dilalui mereka, kerana mereka mesti dan harus melakukan sesuatu untuk menegakkan kebenaran. Mereka perlu berjihad dan berperang minda habis-habisan supaya keluarga menerima mereka seadanya. Itulah yang perlu mereka lakukan, dan golongan mualaf lain yang memeluk Islam tanpa pengetahuan keluarga mereka.

Perbezaan ajaran, pantang larang dan sembahan menyebabkan banyak perkara yang terpaksa ditipu dan difikir secara logik. Ini semua memerlukan kesabaran dan ketaatan kepada Yang Esa.

Donald masih lagi nyenyak tidur kerana kepenatannya dari berlatih bowling semalam, belum lagi hilang. Ditambah pula dengan perjalanan mereka ke bumi Filipina. Keadaan menjadi sunyi semasa dalam perjalanan sehingga membuatkan Daniel dan Mary bermimpi bersama-sama dengan Donald. Hanya Richard yang duduk menemani dan berbual-bual dengan Stenly sepanjang perjalanan mereka ke Santa Cruz.

Perjalanan masih jauh di hadapan, destinasi dituju dengan sejuta debaran membuatkan Mary, Daniel dan Donald tertidur dibuai mimpi. Richard dan Stenly sedang rancak mengatur setiap butir bual bicara mereka setelah sekian lama tidak bersua muka. Segala apa yang dipendam, disurat dan tersimpan dimuntahkan melalui cerita gelak ketawa. Kenangan masa kecil sehingga dewasa tatkala usia mereka masih muda, ketika wanita bernama Mary belum diketahui asal usulnya dan segala cerita sejarah diungkitkan kembali.

Richard mula sedar, semua kisah lalu telah lama dilupakan sejak dia dan Mary berhijrah ke Malaysia. Baginya, itu semua adalah kisah silam dan tidak sepatutnya dilupakan.

Tanpa gurau senda dan gelak ketawa membuatkan perbualan mereka menyegarkan mata tanpa ada rasa mengantuk. Suasana disekitar perjalanan mulai senja nan merah. Unggas-unggas malam mula berbisik dan bersuara lantang dek keriangan malam yang dinanti. Daun-daun pokok terdengar dan bernyanyi mengikut alunan irama angin dan muzik burung yang bernyanyi. Bebola mata Richard melirik suasana yang penuh mengasyikan dan menyegarkan itu. Udara semakin dingin membeku dek kerana mentari telah mengucapkan selamat tinggal dan akan berjumpa kembali hari esok. Langit yang cerah bertukar wajah, menjadi kemerahan sebagai tanda malam akan menjelma.

Namun, mereka meneruskan perjalanan yang masih jauh lagi. Kemungkinan esok pagi seawal jam 7.00 pagi baru mereka akan menaiki ferri menuju ke Santa Cruz. Dalam kegelapan malam bertemankan lampu sisi jalan dan cahaya neon kereta, Richard dan Stenly meneruskan bual bicara mereka. Dari usia kanak-kanak sehingga usia remaja, semuanya mengingatkan kembali memori suka, duka dan lara Richard.

“Kau ingat pada pohon yang aku, kau, Raul dan Rossa berikan nama Pohon Tuji?” suara Stenly memecahkan lamunan Richard. Terketar-ketar badan dan bibirnya sambil tanggan diusap ke lenggan. Cuaca semakin kedinginan, ditambah pula dengan awan yang mendung, Cuma menunggu rintik-rintik hujan membias warna-warna bumi. Udara dingin malam menyebabkan penyejuk udara dimatikan, sambil menikmati udara bumi filipina setelah sekian lama dirindui.
“Pohon Tuji?” Lontaran suara Richard sambil mengingat kembali waktu silam. Pita suaranya bergetar dengan kencang menandakan tersentap apabila ditanya tentang pohon Tuji.

“Pohon yang dipersimpangan jalan itu ke? Ingat lagi, mana boleh lupa. Disitu tempat kita selalu bermain. Malah, kita bina pondok di atas pohon itu” jelas Richard sambil mengelamun sebentar zaman waktu kecilnya. Ingatanya mula melayang jauh nun di luar cakerawala sehingga tidak tercapai oleh akal. Ingin diputar waktu dan seluruh alam supaya dapat kembali ke zaman silam. Ada ketikanya, lamunan itu membuatkan Richard tertawa dan bersedih sendirian. Sayu-sayu degupan jantungnya membuatkan dia seolah-oleh merasakan masa kecilnya baru sahaja berakhir.

Dalam perjalanan itu, mereka berbicara tentang kisah sewaktu mereka masih kecil, pertemuannya dengan mary dan banyak perkara sehingga sedar tidak sedar perjalanan mereka akhirnya terhenti di suatu tempat, dia kawasan itu terlihat satu takungan air yang luas dan besar, di tengah-tengah takungan air itu terdapat sebuah daratan dan disitulah letaknya tiga daerah dan salah satunya Santa Cruz. Richard mula membuka pintu kereta dan menginjak kaki ke bumi filipina. Hatinya mula merlirik sejuta perasaan.

“Inikah desa kelahiranku? Benarkah inikah desa ku?” bisikannya dalam suara yang tidak jelas kedengaran. Di desa kelahiran yang indah nan permai yang telah menunggu kehadirannya setelah sekian lama tidak kembali menyinggah. Pepohon, air takungan, dedaun dan angin-angin, tidak pernah jemu untuk menunggu kepulangan Richard sekeluarga. Daun nyiur melambai, angin dari semua arah membelai wajah nan sayu sehingga menyerpa raut wajah Mary dan kemudiannya tersedar dari lena mimpinya. Riak air di kali bagaikan bersedia, membasuhi tubuh mereka dari debuan kota. Sayup-sayup merdu terdengar alunan suara seruling, mendendangkan lagu anak desa nan riang. Angin pula turut berbunyi di pepohon nan rimba membawa berita khabar yang jauh sambil bernyanyi.

“Abang, kita sudah sampai?” tersentap Richard dari menikmati kenyamanan alam apabila Mary menyentapnya daripada belakang.

“Mary, lihat di seberang sana adalah Kampung kita. Kita dah nak sampai” Jelas Richard sambil tangan kanannya menunjukkan Mary ke arah daratan pulau Santa Cruz dengan lirikan senyuman yang girang. Tangan kirinya memegang bahu kiri Mary. Mary hanya mampu tersenyum dan menitiskan air mata rasa terharunya. Hatinya mula menangis dan bersyukur kerana diberi kesempatan untuk menginjak kaki ke Santa Cruz sekali lagi.

“Donald, Daniel… bangun kita sudah di jeti, bangun. Sebentar lagi ferri tiba.” Stenly mengejutkan anak buahnya itu yang lena dibuai mimpi. Daniel dan Donald bangkit dari tidurnya sambil menggosokkan matanya dengan tangan. Dilihat sekeliling diterangi dengan lampu neon, terdapat beberapa buah rumah tidak jauh dari jeti, ada kanak-kanak sedang berlari-lari seolah-olah sedang bermain sesuatu.

Lampu-lampu rumah dan kedai membuatkan suasana di kawasan jeti itu dihujani dengan terangi lampu.

“Donald, Daniel mari nak. Kita naik ferri, sekejap lagi kita sampai di rumah nenek dan atuk.” Donald dan Daniel tidak banyak berbicara kerana masih lagi mamai dari tidurnya. Hanya diam membisu dan mengikut kata-kata ibunya. Bagasi pakaian dikeluarkan daripada badan kereta dan mereka semua menuju dan melangkah ke jeti.

* * *

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience