BAB 1

Romance Completed 4861

Subhanallah,tenang sungguh cuaca pagi ini. Langit kelihatan biru melatari ruang, mendamaikan perasaan setiap yang memandang. Kulihat dari kejauhan, memerhatikan gelagat mesra pasangan kekasih di situ. Mereka asyik berpimpin tangan tanpa mempedulikan keadaan di sekeliling. Begitulah ragam insan yang sedang hanyut dilamun cinta. Terlalu leka dengan permainan dunia sehingga sanggup mengenepikan hal agama demi kekasih hati.

Aku hanya mengeluh kecil memandang hari-hari depan. Terasa berliku lorong di hadapan, sempit serta menyesakkan dada. Entah kenapa aku boleh jadi begini rupa. Hidup aku tidak lagi ceria seperti dahulu. Sejak akhir-akhir ini, aku sering bermuram durja seolah-olah hidup aku tidak bermakna lagi di atas muka bumi ini. Kenangan lalu tiba-tiba menerjah ruang minda.

“Maafkan Fiq, Effa. Fiq terpaksa buat keputusan mendadak macam ni demi kebaikan kita bersama. Fiq harap Effa mengerti maksud Fiq.”

Pertama kali saat Taufiq melafazkan kata perpisahan, aku seakan tidak percaya. Dunia ini terasa kosong dalam sekelip mata. Mengapa dia sanggup mempermainkan perasaan aku tatkala hati ini benar-benar sayang padanya. Aku tidak dapat menerima kenyataan yang amat memedihkan ini. Apa salah aku sampai dia tega berbuat begitu?

“Tapi kenapa Fiq buat ini semua? Apa salah Effa sampai Fiq tergamak hancurkan hati Effa. Tak lama lagi kan kita nak bertunang,” ucapku sedih, menahan air jernih yang mulai bertakung di tubir mata. Teringat pula pada pertunangan kami yang bakal berlangsung kira-kira sebulan sahaja lagi.

“Effa tak akan faham masalah Fiq. Sampai bila-bila pun Effa tak akan faham. Fiq harap, Effa boleh terima hakikat ini. Fiq betul-betul tak ada niat nak hancurkan hati Effa, jauh sekali untuk mempersendakan hubungan kita. Sampai suatu masa nanti, Effa akan mengerti maksud Fiq.”

Tanpa rasa bersalah, Taufiq tekad membuat keputusan. Dia benar-benar ingin menokhtahkan perhubungan kami berdua yang sudah terjalin hampir lima tahun ini. Aku tidak tahu untuk berbuat apa, sedangkan hati ini hanya Allah sahaja yang tahu. Aku seperti mati akal. Terasa kelu lidah ini berbicara walau sepatah ayat.

Selepas kejadian itu, aku jarang bertemu dengan Taufiq seperti kebiasaannya. Alasan yang sering diberikan kepadaku, dia terlalu sibuk dengan urusan kerja sehingga tiada masa memikirkan dunia luar. Aku terpaksa tabahkan hati menerima hakikat ini. Sikap Taufiq benar-benar berubah sama sekali. Tiada lagi Taufiq yang dulu. Aku benar-benar merindui sikapnya yang romantis, bertimbang rasa serta penyayang. Entah kenapa, perangainya boleh berubah mendadak seperti itu. Umpama gelora di lautan, badainya sering memukul pantai.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience