BAB 3

Romance Completed 4861

Ramai juga orang yang bertandang ke pantai Desaru pagi ini. Lebih-lebih lagi pada waktu hujung minggu seperti ini. Kebanyakkannya datang bersama keluarga tersayang. Ada juga yang datang berdua sahaja bersama pasangan masing-masing. Permai sungguh suasana di sini. Tenang sahaja udaranya. Aku tekun melihat panorama indah disekeliling sehingga tidak sedar kehadiran Taufiq di sisi.

“Ish, orang kat sebelah kita ni asyik mengelamun saja sejak tadi. Siapalah agaknya yang dia ingat sampai tak sedar Fiq sampai ni,” perli Taufiq sambil tersengih-sengih. Dia mengambil tempat di sebelahku.

“Eleh, siapa lagi yang Effa nak ingat kalau bukan Fiq, Cik abang tersayang Effa ni. Dah tahu pun saja-saja nak tanya.” Aku mencebikkan bibir, cuba menyakatnya. Hidung Taufiq kembang kuncup apabila dipuji begitu. Memang sah dia ini makan dengan pujian orang.

“Erm, yelah tu. Fiq ingat, Effa dah tak sayangkan Fiq. Hehee…”

“Kalau tak sayang, tak ada maknanya Effa nak keluar dengan Fiq tau. Lebih baik Effa jalan dengan orang lain. Buang masa saja keluar dengan orang perasan hensem ni.”

Aku malas melayan kerenah Taufiq. Dia memang begitu. Semakin dilayan semakin jadi rentaknya. Apabila duduk berdua-duan begitu kadang kala mengundang rasa kurang enak dalam diri. Naluri aku sebagai seorang wanita cepat sahaja terusik. Apatah lagi tika aroma minyak wangi yang dipakai oleh Taufiq membangkit rasa. Aku menjarakkan sedikit tubuh dari Taufiq untuk menolak jauh perasaan ini.

Sememangnya aku bertuah kerana memiliki cinta Taufiq. Dialah satu-satunya lelaki yang berjaya mengetuk pintu hati aku untuk bercinta. Selama ini aku takut bermain dengan api cinta. Namun sejak kehadirannya dalam hidup aku, aku dapat merasakan dirinya benar-benar ikhlas menyayangi diri ini. Kasih sayangnya tiada dua. Kesetiaan yang dipamerkan, menjadi kayu pengukur sifatnya yang sebenar. Aku tidak ragu lagi akan cintanya.

Beberapa minit berbual, Taufiq akhirnya bangkit dari tempat duduk sebelum tercegat berdiri memandangku. Dia meminta izin untuk pergi ke tandas terlebih dahulu kerana perutnya tiba-tiba sahaja meragam. Aku geli hati melihat tingkahnya yang tidak sabar mencari tandas sambil memegang perut. Kelakar betul perangainya. Macam budak kecil.

Sedang asyik melayan perasaan, tiba-tiba bahuku dicuit oleh seseorang. Aku pantas menoleh ke belakang. Cuba mencari gerangan orang yang mencuitku sebentar tadi. Kelihatan, seorang gadis cantik sedang berdiri di hadapan dengan wajah masam mencuka. ‘Siapa pula perempuan ni? Tiba-tiba sahaja muncul di hadapan aku.’ Hati kecilku berkata-kata.

“Kau ni, Effa ke?” soal gadis itu sombong. Wajahnya kelat seperti peria.

“Ya, betul. Saya, Effa. Saudari ni, siapa?” Aku menghulurkan tangan sebagai salam perkenalan. Namun, gadis di hadapanku ini tidak menyambut huluran salamku sebaliknya menolak tubuh kecilku sehingga terdorong ke belakang. Aku jadi malu saat itu apabila banyak mata yang memandang ke arah kami berdua.

“Aku Mira, kekasih Taufiq. Untuk pengetahuan kau, kami berdua akan bertunang tidak lama lagi. Aku nak kau tinggalkan dia. Malulah sikit muka tu. Tunang orang pun ada hati kau nak rampas.”

Berdesing telingaku sebaik mendengar berita buruk itu. Benarkah apa yang dikatakan oleh gadis itu? Tidak mungkin dia berbohong. Kenapa Taufiq tidak pernah menceritakan perkara ini kepadaku? Kenapa?

“Saya betul-betul tak tahu, Cik Mira. Saya dah lama kenal dengan Taufiq. Kami dah berjanji nak bertunang bulan depan. Saya rasa awak dah tersilap orang ni.” Aku cuba menafikan kata-kata gadis itu. Tidak mungkin Taufiq tega mempermainkan perasaan aku. Aku amat percaya akan kejujurannya selama ini.

“Kau ni memang tak reti bahasa ke atau sengaja buat-buat tak faham. Baiklah!Aku boleh tunjukkan bukti. Kau tunggu kejap.” Mira berjeda seketika sambil membuka tas tangan miliknya. Dia segera mengeluarkan beberapa keping gambar sebelum menyerahkan kepadaku. “Nah, ambil gambar ni. Simpan baik-baik. Kau tengoklah puas-puas gambar kekasih hati kau tu. Kalau tak jelas lagi, tak tahulah aku.”

Akhirnya aku termakan juga dengan hasutan Mira. Gambar yang masih berada dalam genggaman tangan aku perhatikan baik-baik. Kelihatan, Mira sedang berpelukan mesra dengan seorang lelaki. Minda ini mula berfikir yang bukan-bukan. Aku tidak sanggup melihat rupa lelaki itu. Moga-moga, itu pelanduk dua serupa. Barangkali, wajah lelaki itu mirip dengan Taufiq. Tidak mungkin dia.

Dari gerak geri pemuda itu, aku tahu memang itu gambar Taufiq. Aku cukup kenal wajahnya. Mesra sungguh mereka berdua bergambar di tepi pantai sambil memadu asmara. Oh, tidak! Aku menjerit dalam hati. Hatiku tersayat-sayat dengan perbuatannya. ‘Kenapa Fiq sanggup buat Effa macam ni. Effa betul-betul sayangkan Fiq.’ Aku tidak dapat menahan tangis. Kesedihan itu terlalu pedih aku rasakan. Mira terus berlalu pergi meninggalkan aku sendirian di situ. Aku cuba mengawal emosi sebaik mungkin. Aku tidak mahu Taufiq tahu aku sedang bersedih saat ini. Biarlah derita ini aku seorang sahaja yang tanggung. Kalau benar hatinya untuk orang lain, aku tidak boleh berkata apa-apa. Jika itu kemahuannya, aku terpaksa relakan walaupun pedih untuk diterima.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience