BAB 4

Romance Completed 4861

Selepas waktu Maghrib, kami berdua berangkat pulang ke rumah. Hatiku tidak seriang tadi. Jiwaku memberontak. Taufiq pula asyik tersenyum memandang wajahku. Riaknya agak tenang, seperti tidak ada apa yang berlaku. Hakikatnya, aku benci melihat wajahnya. Kejujurannya selama ini ternyata palsu dan dusta. Terasa kerdil diri ini apabila insan yang aku sayangi mempermainkan perasaaan aku dalam diam. Tega sungguh dia menghancurkan hati aku secara senyap tanpa rasa bersalah.

“Kenapa Effa muram saja ni. Tak suka ke keluar dengan Fiq?” ucapnya lembut sebaik kami berdua tiba di perkarangan rumah. Dia memandang lama wajahku. Aku rimas apabila ditenung begitu rupa. Apalah ertinya di sebalik semua itu jika hatinya milik orang lain. Aku hanya dijadikan alat permainannya.

“Effa tak berapa sihatlah, Fiq. Maaflah!” Aku terpaksa berbohong kali ini untuk menutup kelemahan diri. Hati aku benar-benar tawar untuk berbual dengannya. Seleraku mati tiba-tiba.

“Kenapa tak cakap Effa tak sihat tadi. Kalau tak, boleh Fiq belikan panadol. Sakit lagi ke?” Prihatin sungguh dia jika mengetahui aku sakit. Sifatnya masih sama seperti dahulu. Namun, kejujurannya itu kadang kala mempengaruhi aku juga tatkala hati ini mengingati pertemuan dengan Mira petang tadi. Aku cuba mencari kepalsuan di sebalik wajahnya, namun aku gagal menemui jawapan. Wajahnya terlalu tulus untuk berlaku curang di belakangku. Benarkah dia curang padaku?

Niat hatiku pada awalnya ingin bertanyakan perihal Mira. Aku mahu tahu sejauh mana perhubungan mereka berdua. Aku perlu mendengar pengakuan dari kedua-dua belah pihak. Manalah tahu jika Mira sengaja mereka-reka cerita untuk memutuskan perhubungan kami berdua. Hati orang bukan boleh dapat dijangka. Aku harus mengetahuinya sebelum terlambat.

“Fiq, kalau Effa tanya sikit Fiq jangan marah, ya,” ucapku perlahan. Aku menundukkan pandangan dari melihat wajahnya untuk mengusir keresahan di hati.

“Ada apa sebenarnya ni, Effa. Susah sangat nak bertanya ni kenapa. Macam ada emas pula dalam mulut tu. Nak tanya, tanya sajalah.” Taufiq memusatkan pandangan ke arahku. Tekun dia menanti pertanyaan aku.

Aku berperang dengan perasaan sendiri saat ini. Perlukah aku bertanyakan hal Mira kepadanya? Hasutan syaitan bergema lagi di telinga, seolah-olah menyokong tindakan aku. ‘Hati orang lelaki ni bukan boleh percaya sangat. Kenapalah kau bodoh sangat, Effa. Kau sendiri dah nampak dengan jelas siapa Taufiq sebenarnya. Untuk apa dipertahankan cinta ini jika kau yang akan merana kemudian hari nanti.’ Bisikan itu tidak mampu aku buang. Ia tetap hadir mengocak ketenanganku.

Akhirnya aku kembali bersuara setelah yakin dengan kata hati. “Siapa Mira dalam hidup Fiq?” lontarku tanpa getar.

“Mira? Apa Effa cakapkan ni. Fiq tak faham.” Taufiq menggelengkan kepala, seperti tidak mengerti apa yang aku cuba maksudkan.

“Mira tu kekasih hati Fiq, kan. Fiq ingat Effa tak tahu. Kenapa Fiq sanggup tipu Effa. Kenapa, Fiq?” nada suaraku sudah merintih pilu. Sebak rasanya dada ini apabila berhadapan dengan perkara sensitif sebegini.

“Nanti dulu. Fiq rasa, Effa dah salah sangka ni. Memang Fiq akui, Mira tu kawan Fiq semasa menuntut di UTM dulu. Kami hanya berkawan sahaja. Tak lebih dari itu.” Taufiq beria-ia benar mempertahankan dirinya. Sudah jelas dia berlaku curang di belakang aku. Kenapa perlu berselindung lagi.

“Oh, kawan. Effa pelik sangat. Takkanlah berkawan boleh berpeluk-peluk macam pasangan kekasih. Macam tu pun Fiq kata berkawan, hah?” Nada suaraku kian meninggi. Aku betul-betul emosi dengan perangai Taufiq sekarang. Sudah jelas dan nyata dia curang sehingga sanggup menduakan cinta aku.

Aku terus keluar dari kereta tanpa banyak bicara lagi. Taufiq cuba memanggil aku berulang kali, namun tidak aku hiraukan. Apa sahaja alasan yang dia ingin katakan, aku sudah tidak percaya. Memang dasar buaya, lidah bercabang-cabang. Aku meluat tengok muka kau, Fiq. Berambus kau dari hidup aku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience