BAB 2

Romance Completed 4861

Aku leka membelek wajah di cermin. Mataku tidak lepas memandang jarum jam yang ligat berputar, menghampiri jam 10 pagi. Aku perlu cepat bersiap kerana takut Taufiq menunggu terlalu lama. Selepas bersiap ala kadar, aku terus keluar dari rumah. Sebaik tiba di muka pintu, aku lihat Taufiq sudah tercegat berdiri di sebelah keretanya sambil mengukirkan senyuman apabila menyedari kehadiranku.

“Maaflah, Fiq sebab menunggu terlalu lama. Effa betul-betul tak sedar tadi. Terlajak tidur sampai pukul 9.” Aku meminta maaf atas kesilapan aku yang tidak disengajakan itu.

“Ala, Fiq tak kisah pun. Kalau bab menunggu buah hati kesayangan ni, sampai esok pun tak apa,” usik Taufiq, cuba menyedapkan hati aku. Biasanya, begitulah sikap Taufiq yang aku senangi setiap kali bertemu dengannya. Tidak pernah dia merungut, jauh sekali berkecil hati atas apa yang aku lalukan padanya.

“Kita nak pergi ke mana pagi ni? Effa tak ada perancangan lagilah. Fiq ada plan ke?” soalku ketika kereta yang dipandu oleh Taufiq bergerak perlahan meninggalkan perkarangan rumah.

“Erm…apa kata kalau kita pergi ke Desaru? Lama juga kita tak ke sana kan, sayang.” Taufiq memberikan cadangan spontan. Matanya tetap fokus di hadapan.

“Elok juga tu. Bolehlah Effa tenangkan sikit fikiran ni dari bebaban kerja. Selalunya, asyik kerja memanjang sampai tak ada masa nak berehat.”

“Baguslah kalau Effa suka. Senang sikit hati Fiq mendengarnya. Kalau Effa keberatan, Fiq boleh bawa kat tempat lain. Effa cakap saja ke mana Effa nak pergi, Fiq boleh bawa.”

“Betul ni?” tanyaku lagi ingin mengusiknya.

“Betul, sayang,” jawabnya lembut.

“Kalau Effa nak Fiq bawa Effa ke bulan dan bintang, Fiq sanggup ke?” Pertanyaan aku itu nampaknya mengundang tawa Taufiq. Dia ketawa kecil mendengar kata-kataku. Entah perkara apa yang lucu sangat sampai dia ketawa begitu, aku sendiri tidak tahu.

“Ish…Effa, Effa. Boleh sampai ke situ pula dia. Kalau ke bulan dan bintang tu, nak kena tunggu Fiq jadi angkasawan dululah baru boleh pergi. Itu pun kalau Effa sanggup tunggu…” Taufiq menggantungkan kata pada ayat terakhirnya. Entah serius ucapannya itu entah tidak, aku tidak dapat mengagaknya.

Untuk beberapa ketika, tiada kata yang terluah antara kami berdua. Aku asyik melayan perasaan sendiri memikirkan arah perhubungan kami berdua di masa hadapan. Moga-moga, ada satu ikatan suci yang terjalin di kemudian hari. Satu ikatan yang mendekatkan lagi cinta kami berdua sebagai petanda awal sebelum berlayar ke alam perkahwinan.

“Effa, Fiq nak tanya sikit boleh?” Tiba-tiba Taufiq bertanya, memecah keheningan antara kami berdua.

“Nak tanya apa, Fiq? Effa sudi mendengarnya,” jawabku ikhlas. Aku menanti dengan sabar pertanyaan dari mulut Taufiq.

“Effa sayangkan, Fiq?” soalnya sedikit serius. Riak wajahnya saat itu agak berlainan.

“Kenapa Fiq tanya soalan macam tu kat Effa. Sudah tentulah Effa sayangkan Fiq.” Aku tidak dapat menduga reaksi Taufiq saat mendengar jawapan ikhlas dari mulutku. Adakah dia meragui kesetiaan cintaku pada dirinya?

“Kalau benar Effa sayangkan Fiq, apa kata kita bertunang. Fiq tak nak sia-siakan masa yang berlalu selama ini. Kita perlu ada ikatan pertunangan. Fiq takut sangat Effa disambar orang nanti. Fiq harap-harap sangat Effa setuju dengan cadangan Fiq.”

Aku terdiam sejenak mendengar cadangan Taufiq. Sememangnya perkhabaran seperti itulah yang aku tunggu-tunggu sejak sekian lama. Aku dapat merasakan Taufiq jujur dalam ucapannya sebentar tadi. Dari raut wajahnya itu, aku tahu dia mengharapkan yang terbaik dalam perhubungan kami. Barangkali, tali pertunangan yang akan terpateri nanti akan mengukuhkan lagi rasa sayang antara kami berdua.

“Effa ikut saja kemahuan Fiq. Lagi cepat, lagi bagus.” Entah kenapa, aku boleh terlepas kata. Malu juga jadinya kalau Taufiq menganggap diri ini tidak sabar-sabar mengikat tali pertunangan dengannya.

“Amboi-amboi. Macam tak sabar aje nak bertunang dengan Fiq. Kalau macam tu, esok sajalah kita bertunang. Cepat sikit kita kahwin. Fiq pun dah tak sabar ni nak duduk serumah dengan Effa. Mesti seronokkan tengok muka Effa tiap-tiap hari. Tak jemu mata Fiq memandang.”

Aku tertawa kecil mendengar saranannya itu. Wajahku sudah merona merah. Alangkah bahagianya hidup aku saat ini. Terlalu indah untuk dikenang sampai bila-bila. Pengakuan ikhlas dari bibir Taufiq sudah cukup bagiku sebagai bukti kasih sayang yang tidak berbelah bahagi pada diri ini. Menurut Taufiq, dia akan menghantar rombongan meminang pada awal bulan hadapan. Aku berdebar-debar menantikan saat itu.

Moga-moga, pertunangan kami berjalan lancar seperti yang dirancangkan. Janganlah ada aral melintang di kemudian hari. Dalam debar hatiku, aku tidak sedar kami berdua sudah tiba di Desaru tepat jam 11 pagi. Aku dan Taufiq segera melangkah keluar dari perut kereta sebelum menuju ke tempat menjual makanan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience