BAB 6

Romance Completed 4861

Aku mengekori kereta yang dinaiki oleh Mira dan kekasihnya dari belakang. Jarakku dengan kereta mereka agak jauh sedikit supaya tidak terlihat yang aku sedang mengekori mereka. Aku ingin tahu sejauh mana perhubungan mereka berdua. Sebaik tiba di satu selekoh, kereta yang dinaiki oleh mereka tiba-tiba membelok ke sebelah kanan. Aku cepat-cepat mengikuti mereka kerana bimbang kehilangan jejak.

Mereka melalui taman perumahan sebelum berhenti di sebuah banglo mewah yang terletak berhampiran dengan kedai makan. Aku memerhatikan dari jauh gerak-geri mereka. Mira turun dari kereta diikuti oleh pasangannya. Di luar rumah, kelihatan seorang perempuan separuh umur sedang berdiri menanti kehadiran mereka. Sebelum masuk, Mira menyalami tangan ibu tua itu terlebih dahulu sebagai tanda hormat.

Dalam minda aku sekarang wujud berbagai-bagai pertanyaan, sekaligus meletakkan mereka berdua dalam satu posisi. Kemesraan yang dipamerkan oleh mereka seperti pasangan suami isteri sahaja. Andaian aku itu benar-benar menganggu hati ini. Ingatan aku segera melayang teringatkan Taufiq. Di manakah dia berada sekarang? Aku amat rindu menatap wajahnya. Sudah lama aku tidak bertemu dengannya. Hampir dua bulan kami tidak bertemu selepas insiden itu. Secara jujur, cinta aku padanya masih utuh bertakhta di hati biar beribu halangan yang datang. Cinta aku tetap mekar untuknya sampai bila-bila.

Aku meneruskan perjalanan selepas mengetahui cerita yang sebenarnya. Ternyata aku cepat benar menuduh tanpa sebarang usul periksa. ‘Maafkan aku, Fiq. Kejujuran kau pada aku tidak berubah walaupun sedikit. Tetapi, kenapa kau sanggup putuskan perhubungan kita? Siapa yang merampas cinta kau dari aku?’

Aku segera mendail nombor telefon Taufiq untuk bertanya khabar. Sihatkah dia? Aku benar-benar rindu untuk bertemu dengannya. Biarlah apa sahaja yang Taufiq mahu cakap selepas ini. Aku tidak peduli semua itu. Aku perlu meminta maaf darinya. Hampir tiga kali aku menghubunginya namun tidak berjawab. Mana pula dia pergi ni? Sibuk sangat ke? Aku tidak sabar-sabar mendengar suaranya. Suara itulah yang aku tunggu sejak dua bulan kebelakangan ini.

Beberapa kali mencuba, akhirnya aku menyerah. Ternyata, Taufiq tidak mahu bercakap denganku lagi. Mungkin dia benci melihat wajahku. Kalau dulu, aku dapat menerimanya gara-gara wujud orang ketiga. Tetapi kali ini buat pertama kalinya aku tidak dapat menerima kenyataan andai Taufiq tega membuang diri ini dari hidupnya. Aku perlukan sebuah jawapan yang relevan atas tindakannya itu.

Fikiran aku sungguh buntu saat ini. Bagaimanakah caranya untuk aku menghubungi Taufiq? Ingin saja aku pergi ke rumahnya saat ini, namun hati ini cepat-cepat menghalang. Sebenarnya aku segan bertandang ke rumahnya kerana Johan ada bersama. Terasa canggung pula berhadapan dengan sabahat baik Taufiq itu. Aku berfikir dua tiga kali sebelum mengambil keputusan untuk mencari Taufiq di rumahnya sendiri. Apa sahaja yang bakal berlaku, aku sanggup menghadapinya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience