BAB 8

Romance Completed 4861

Kami tiba di hospital kira-kira jam 11 pagi. Aku bergegas masuk ke dalam setelah mengetahui di mana Taufiq ditempatkan. Aku difahamkan oleh jururawat yang bertugas bahawa Taufiq sudah dua minggu koma. Sepanjang tempoh itu dia bergelut dengan penyakit yang ditanggungnya. Aku segera menghampiri katilnya dengan perasaan sedih. Terasa lemah seluruh tubuhku apabila melihat keadaan Taufiq sekarang. Wajahnya kelihatan cengkung. Tubuhnya juga nampak susut, tidak seperti biasa.

Aku pegang erat jemarinya. Terasa sejuk tangannya. Air mataku tiba-tiba mengalir deras membasahi pipi. Selama ini, tidak pernah dia berahsia denganku. Rupa-rupanya, inilah rahsia besar yang disimpan kukuh dari pengetahuan aku. Alasan kerja serta tindakannya memutuskan perhubungan kami berdua ternyata ada sebab yang aku sendiri tidak jangka. Saat dia menanggung kesakitan, aku tidak berada di sisi untuk memberikan kata-kata semangat.

‘Oh, kejamnya aku, Fiq! Cinta suci kau telah aku salahertikan. Aku minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki seandainya aku melukakan hatimu. Aku bersalah, sayang.’

“Kenapa awak tak bagitahu saya, Johan. Awak kejam!” Aku menangis semahunya, melepaskan rasa sedih yang kutanggung saat ini.

Johan hanya membisu sebelum bersuara. “Maafkan saya, Effa. Pada awalnya memang saya nak bagitahu awak, tapi Fiq tak bagi. Dia tak nak awak tahu pasal penyakitnya. Kalau boleh sampai dia mati pun dia tak nak awak tahu. Dia betul-betul sayangkan awak. Dia tak mahu awak bersedih memikirkan dirinya. Kalau awak tak datang hari ni, mungkin awak akan menyesal, Effa.”

“Menyesal? Maksud awak?…” Kata-kataku mati begitu sahaja apabila melihat tangan Taufiq bergerak-gerak. Aku meraih tangannya, seolah-olah memberikan semangat untuknya bangkit dari penyakitnya.

“Fiq, bangunlah! Effa ada kat sini, sayang. Effa akan temankan Fiq tiap-tiap hari. Effa rindu sangat nak berbual dengan Fiq. Please, Fiq! Wake up!”

Aku meletakkan harapan setinggi gunung agar Taufiq segera sedar dari koma. Sudah hampir dua minggu dia koma tidak sedarkan diri. Akhirnya dengan kuasa Allah, tiba –tiba kelopak mata Taufiq terbuka perlahan-lahan. Aku memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana memperkenankan doaku.

“Fiq dah sedar,” ucapku gembira sambil menatap suci wajahnya. Taufiq belum sedar sepenuhnya. Dia seperti meracau-racau menyebut nama seseorang.

“Effa…Effa di mana, sayang? Fiq rindukan Effa.” Taufiq menyebut namaku berulang-ulang kali. Aku terharu mendengarnya. Sampai saat ini pun, dia masih ingatkan aku.

“Effa ada di sini, sayang. Fiq kena banyakkan rehat, ya.” Saat itu Taufiq baru sedar sepenuhnya. Dia seakan-akan tidak percaya apabila melihat aku ada di sisinya. Dia cuba bangkit, namun kudratnya tidak memaksa dia berbuat begitu.

“Effa…macam mana sayang…” kata-katanya tergantung di situ sahaja. Dia tidak dapat meneruskan kata dan hanya membiarkan pertanyaan itu ditafsir sendiri olehku.

“Fiq tak boleh banyak bergerak. Doktor pesan suruh rehat banyak-banyak. Kalau nak sembuh cepat, kena ikut cakap Effa, ya.” Aku memujuk Taufik perlahan-lahan. Mungkin dia terperanjat kerana aku mengetahui penyakitnya. Riak wajahnya mempamerkan rasa kurang senang, seperti tidak menyenangi kehadiranku di situ.

“Johan…” Tiba-tiba Taufiq memanggil Johan. Aku beralih sedikit ke belakang untuk memberikan ruang kepada Johan berbual dengan Taufiq. Aku berundur seketika agar mereka selesa berbual. Seperti ada perkara penting yang ingin disampaikan oleh Taufiq kepada Johan. Aku tidak dapat menangkap butir bicara mereka kerana suara Taufiq terlalu perlahan sehingga memaksa Johan mendekatkan telinga ke mulut Taufiq.

Tidak berapa lama selepas itu, Johan menghampiri aku sebelum mengajak aku keluar dari situ. Tanpa banyak soal, aku terpaksa menuruti arahan Johan dan meninggalkan Taufiq seorang diri di situ. Aku cuba melemparkan senyuman kepadanya, namun tidak berbalas. Ruang hati Taufiq seakan kosong untuk menerima kembali cintaku.

Tiada lagi tawa riang yang menghiasi bibirnya seperi selalu. Aku benar-benar rindukan Taufiq yang dulu. Aku tidak salahkan Taufiq dalam hal ini. Mungkin dia memerlukan masa untuk menerima aku semula dalam hidupnya. Tambahan pula dia baru sedar dari koma. Aku tidak mahu mengusutkan fikirannya dengan masalah remeh begini. Biarlah dia berehat sepuas-puasnya. Aku percaya, lambat laun hati Taufiq akan lembut jua tidak lama lagi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience