“Abang,” panggil Puan Nara. Encik Naim menoleh pada isterinya.
“Abang perasan tak budak berdua tu lain macam sikit sekarang ni?”
Encik Naim tersenyum. Dia perasan. Depan matanya dia nampak Sirat bermain mata dengan Arfah. Hati mengatakan bahawa keduanya sudah jatuh cinta di antara satu sama lain. Sebab itulah orang kata jangan terlalu membenci takut terjatuh cinta di kemudian hari. Ternyata Sirat dan Arfah sudah terkena sumpahan istilah benci-benci cinta itu.
“Biarlah. Mereka nak berkahwin tak lama lagi. Baguslah kalau mereka mula rapat dari sekarang. Kalau tak, rumah kita ni macam kena langgar tsunami setiap kali mereka bergaduh. Awak suka ke kalau mereka asyik bercakaran aje?
Puan Nara menggeleng. Apa punya soalanlah yang diajukan suaminya. Setiap hari dia berdoa supaya pintu hati keduanya saling terbuka di antara satu sama lain. Kalau benar mereka berdua sudah mula rapat, dia sudah boleh melepas rasa lega. Tidak perlu dia merisaukan tentang perkahwinan yang bakal berlangsung tidak sampai dua bulan lagi. Tapi ada sesuatu yang menganggunya sejak akhir-akhir ini. Hatinya gelisah kalau tidak disuarakan pada Encik Naim.
“Nara risaulah abang.”
Wajah Encik Naim berkerut. Kenapa perlu risau pula? Baguslah kalau Sirat berbaik dengan Arfah. Memang itu pun yang mereka mahukan. Kalau masih berkelahi, macam mana mereka mahu satukan Sirat dengan Arfah.
“Wea dah balik abang. Nara risau kalau Sirat berubah hati. Abang tahu kan, macam mana Sirat sayangkan Wea?”
Share this novel