#1

Romance Series 11306

ARFAH mendengus apabila keseronokannya menonton rancangan Bunny and friends terganggu. Dengan langkah malas dan berwajah ketat Arfah melangkah menuju ke arah pintu utama.

“Kacau betullah. Ni mesti Kak Peah datang nak ajak gosip,” bebel Arfah. Selalunya pada waktu begini memang hobi si jiran selang tiga biji rumah Encik Naim datang membawa cerita. Lepas tu dapatlah tumpang makan makanan sedap yang dihidangkan Puan Nara. Macamlah dia tak kenal dengan jiran yang dipanggil dengan gelaran Kak Peah kaki pau itu. Biarpun dia baru beberapa bulan tinggal di sini tapi dia sudah boleh kenal perangai setiap orang di kawasan kejiranan rumah Encik Naim ini.

Pintu diketuk lagi. Kali ini agak kuat bunyinya. Arfah mendengus lagi. Geram dengan si pengetuk yang tidak tahu erti bersabar itu. Memang kejap lagi bakal kena sekolahlah dengannya.

“Sabarlah! Roboh pintu tu nanti ada duit ke nak bayar?” jerit Arfah.

Tiada lagi bunyi ketukan yang kedengaran. Arfah tersenyum puas. Nasib baik jenis faham bahasa. Kalau tidak, memang dia mahu sembur habis-habisan si pengetuk yang tidak pandai bersabar itu.

Buka aje pintu, Arfah terjerit kecil sambil tangan mengusap dada sendiri. Terkejut melihat sekujur tubuh tegap yang berserabut wajahnya berdiri dengan mata merenung tajam padanya. Telan air liur Arfah melihat wajah ketat lelaki yang berdiri tegak di hadapannya ini. Tadi dia yang nak tunjuk wajah ketat. Sekarang sudah terbalik pula.

“Err… Nak apa ya?” tanya Arfah takut-takut. Mujur pintu grill belum dibuka lagi. Suara bak mak tiri menjerit tadi sudah hilang entah ke mana perginya.

Baru saja lelaki itu mahu bersuara, ada suara lain yang kedengaran sayup-sayup bertanya pada Arfah.

“Siapa tu Arfah?” laung Puan Nara.

“Tak tahulah ibu. Tengok gaya macam bangla jual karpet. Ibu ada hutang beli karpet dengan bangla ke?”

Berkerut dahi Puan Nara mendengarnya. Segera dia sudahkan kerjanya sebelum menemui tetamu yang dikatakan Arfah sebagai bangla jual karpet itu. Seingat Puan Nara tak ada pula dia beli karpet dengan mana-mana bangla.

“Buka pintu ni!” Digegar pintu grill dengan kuat. Kecil besar aje dia tengok gadis bertocang dua di hadapannya ini. Kalau pintu grill ini tidak berkunci, memang dia cubit-cubit mulut yang pandai-pandai mengelarkannya sebagai bangla jual karpet.

“Ibu cepatlah datang sini. Arfah takutlah. Bangla ni dah naik minyak.”

Puan Nara bergegas menuju ke arah pintu. Sempat dicapai batang penyapu untuk dijadikan sebagai senjata melindungi dirinya dan juga Arfah.

“Mulut kau tu cakap baik-baik sikit ya. Jangan sampai…”

“Ya Allah… Sirat.” Batang penyapu di tangan jatuh ke atas lantai. Sungguh dia terkejut melihat gerangan yang berdiri di luar pintu grill.

“Ibu…” panggilnya perlahan. Wajah menunduk. Sama ada dia dihalau atau diterima semula, dia reda. Dia tahu dia telah membuat kesalahan yang paling besar di dalam hidupnya dengan meninggalkan mereka dahulu.

Arfah tercengang. Pandang Puan Nara dan kemudian pandang pada lelaki yang dipanggil bangla tadi. Arfah gigit lidah sendiri. Baru dia ingat. Nama yang disebut Puan Nara tadi adalah nama anak kandung Puan Nara yang tidak pernah dia bertemu muka. Masa dia sampai ke sini, Puan Nara hanya bercerita secara ringkas saja mengenai anak lelakinya. Arfah hanya pernah melihat wajah anak lelaki Puan Nara pada potret yang tergantung di dalam rumah ini. Secara berdepan tidak pernah lagi. Tapi kalau rupa macam sekarang ini, memang lain sangatlah dengan muka yang terpampang pada potret yang pernah dia lihat sebelum ini. Jadi jangan salahkan dia bila dia ingat Sirat tu si bangla jual karpet.

“Mari masuk Sirat.” Puan Nara membuka pintu seluasnya untuk Sirat. Betapa dia rindukan anak lelakinya ini. Rasa marah bagaikan hilang begitu saja apabila melihat wajah mendung Sirat. Dia yakin ada sesuatu yang sudah berlaku pada perkahwinan Sirat sehingga membuatkan anak lelakinya berwajah sedih dan pulang semula ke pangkuan mereka.

Sirat melangkah masuk ke dalam rumah. Mata menjeling tajam pada Arfah yang berdiri di sisi Puan Nara. Arfah membalas jelingan Sirat dengan sengihan malu. Intro perkenalan di antara mereka tak berapa nak baik. Itu pun sebab mulut tidak berlapiknya.

“Ibu…,” panggil Arfah perlahan. Tidak mahu Sirat mendengar apa yang bakal dibicarakan pada Puan Nara.

Puan Nara menaikkan keningnya pada Arfah. Menanti bibir comel Arfah berkata-kata.

“Memang itu anak ibu ke? Bukan bangla jual karpet?”

Zap!

Terdiam Arfah apabila sekali lagi menerima jelingan tajam daripada Sirat.

??????????

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience