“Kau apa hal dari tadi Abang Sirat, Abang Sirat? Aku nak mandi pun tak senang.”
Arfah cebik bibir dengan biji matanya menjuling ke atas. “Manalah Arfah tahu Abang Sirat tengah mandi. Lain kali bila orang panggil, tolong menyahut. Kalau Arfah rempuh masuk aje tadi macam mana? Abang juga yang susah.”
Sirat tersengih nakal sebaik saja Arfah habis berkata-kata. “Aku yang susah atau kau yang susah?”
Serta merta wajah putih bersih Arfah bertukar merah.
“Lain kali nak bercakap tu fikir dulu. Aku tak rugi apa-apa kalau kau rempuh masuk bilik aku ni. Aku kunci aje biar kau terkurung dalam bilik aku ni.”
Arfah mengetap bibirnya. Geram aje tangannya nak tampar kepala Sirat. Dia pasti sangat Sirat memikirkan perkara yang bukan-bukan pasal dirinya. Agaknya bila dah dapat title duda, gatal datang tidak bertempat.
“Kau nak apa ketuk bilik aku ni?”
“Nak ajak turun makanlah. Penat tau Arfah bangun awal masak nasi lemak hari ni.”
Terjungkit kening Sirat mendengarnya.. Tak sangka pula gadis comel yang berdiri di depannya ini pandai masak. Tak dinafikan dia nampak Arfah tidak berat tulang membantu Puan Nara di dapur tapi dia tak tahu pula gadis ini pandai memasak.
“Tak payahlah tunjuk muka macam tu. Jom lah turun makan. Perut Arfah dah lapar ni.”
Sirat mengeluh. Jam di pergelangannya tangan dipandang. Kalau dia menolak ajakkan Arfah nanti merajuk pula gadis itu. Tapi bagaimana janjinya dengan Wea?
“Ya lah… Kau turun dulu. Aku nak ambil barang kejap. Hidang makanan tu comel-comel untuk aku. Pastikan sama comel macam kau.”
Arfah tersenyum. Hilang sudah nama Wea yang menganggu seketul hati miliknya.
“Arfah tunggu Abang Sirat kat bawah ya.”
Sirat mengangguk saja. Malas mahu melayan lebih-lebih. Nanti makin panjang perbualannya dengan Arfah di sini.
Baru beberapa langkah menapak, Arfah berpaling semula. Dia teringatkan telefon bimbitnya yang tertinggal di dalam bilik. Segera diatur langkahnya menuju ke arah biliknya. Saat melintasi bilik Sirat, Arfah terdengar Sirat seperti sedang berbual dengan seseorang.
“Kejap lagi saya sampai. Awak bagi saya lima belas minit. Saya nak bersarapan dengan keluarga saya dulu. Lepas tu saya janji akan temankan awak.”
Jantung Arfah berdegup laju saat mendengar bicara Sirat pada seseorang di sebalik telefon.
“Ya Wea. Awak tak perlu risau. Saya dah ambil cuti kecemasan untuk temankan awak hari ni.”
Arfah menekup mulutnya. Jari naik menyentuh di hujung kelopak mata. Basah. Arfah ketawa dalam bisu.
“Okay. Awak pun take care ya. Awak tinggalkan saya beberapa tahun saya boleh tunggu. Tak akanlah tak sampai sejam awak tak boleh tunggu?”
Terus Arfah berlalu masuk ke dalam biliknya.
Share this novel