“Saya rasa kaki awak terseliuh ni. Boleh jalan tak ni?” tanya Sirat.
“Pelan-pelanlah ya. Tak akan awak nak dukung saya pula.” Wea ketawa mahu menutup rasa gugupnya apabila tangan Sirat melekap pada kedua-dua belah pinggangnya.
“Kalau awak tu isteri saya dah lama saya dukung awak.”
“Biar Arfah tolong.”
Sirat dan Wea tersentak. Mereka berdua berpaling dan ternyata Sirat terkejut melihat kehadiran Arfah di situ. Wea pula memandang pelik pada Arfah. Di dalam hati tertanya-tanya tentang siapakah gerangan gadis yang membahasakan diri dengan nama Arfah itu.
“Kau buat apa kat sini?”
Wea terkejut mendengar nada kasar Sirat pada Arfah.
“Arfah keluar dengan Nani tadi. Lepas tu Arfah nampak Abang Sirat. Jadi Arfah kejarlah. Nak ajak Abang Sirat dating beli barang hantaran nikah kita nanti.” Arfah seboleh mungkin memberikan senyuman paling manis pada kedua-dua insan yang seakan-akan berpelukan di hadapannya ini. Sungguh dia cemburu melihat keadaan Sirat dan Arfah. Dia tak boleh biarkan kemesraan yang terpampang di depan matanya bertambah-tambah. Sebab itulah dengan beraninya dia menegur mereka. Kalau dibiarkan, dia yang akan makan hati nanti.
Wajah Wea berubah mendengar bicara Arfah.
Perlahan-lahan tangan Sirat yang masih berada di pinggangnya, dileraikan.
“Pergilah temankan bakal isteri awak tu. Saya boleh uruskan diri saya sendiri. Maaf menyusahkan awak.” Wea melangkah biarpun payah. Dia tidak mahu Sirat nampak air matanya yang bila-bila masa saja lagi bakal meluruh dengan lebatnya.
“Wea!” panggil Sirat.
“Wea!” Kali ini dilaung sedikit kuat nama Wea tapi Wea tetap sama seperti tadi. Langsung tidak memberi respon padanya.
“Abang Sirat…” panggil Arfah bila Wea sudah berlalu.
Sirat tarik nafas dan memandang tajam pada Arfah. “Kau tahu kan dia dalam kesusahan sekarang ni? Yang kau nak tunjuk cemburu kau tu, kenapa?”
Wajah Arfah berubah.
“Kau memang saja kan cakap macam tu sebab nak sakitkan hati Wea? Aku rasa tak perlu kut. Aku tahu apa yang aku buat.”
“Abang Sirat cakap apa ni? Mana ada Arfah cemburu. Arfah memang nak ajak Abang Sirat dating beli barang hantaran. Dua bulan aje lagi majlis kita. Tak akanlah nak biarkan ayah dan ibu uruskan semua.”
Sirat mendengus. “Kau pergi balik. Aku nak tolong Wea. Kalau kau rasa nak pergi beli juga barang hantaran tu, kau pergi beli sendiri.” Sirat suakan beberapa keping duit not RM 50 pada Arfah tapi Arfah tidak menyambutnya.
“Apa lagi ni? Janganlah buat perangai. Tolonglah ada hati perut sikit. Wea tu baru aje kena ragut. Ni lah masalahnya bila kena kahwin dengan budak tak matang.”
Arfah genggam kedua-dua belah tangannya. Sungguh dia sangat geramkan Sirat saat ini.
“Tak payah buat muka. Tak teringin aku nak layan.” Sirat tarik tangan Arfah dan letakkan duit tersebut di atas tapak tangan Arfah.
“Tak ikhlas tak payah bagi.” Arfah campak semula duit tersebut pada Sirat sebelum dia berlari meninggalkan Sirat yang sudah bertukar bengis wajahnya. Dia tidak peduli kalau Sirat nak kata dia kurang ajar sekalipun. Yang dia tahu hatinya sangat sakit sekarang ini.
Share this novel