Arfah kalut mengikut langkah Puan Nara yang mahu menuju ke dapur. Tak kuasa dia mahu duduk di ruang tamu ini dengan Sirat. Dengan muka berjambang penuh macam tu, boleh buat dia mimpi ngeri tidur malam nanti. Memang patut pun dia gelarkan Sirat sebagai bangla jual karpet. Sesiapa pun tengok keadaan Sirat sekarang ini, pasti akan berpendapat sama sepertinya.
“Tak payah ikut ibu. Ibu nak pergi buat air aje untuk Sirat. Duduk sini temankan dia. Kejap lagi ayah baliklah tu. Ibu dah mesej ayah tadi.”
Sebik Arfah memandang Puan Nara. Mata mengerling pada Sirat. Nampak senyuman sinis di wajah Sirat, Arfah toleh pandang pada Puan Nara semula.
“Apa kata biar Arfah aje buatkan air untuk Abang Sirat. Ibu duduk sini borak-borak dengan dia. Mesti banyak perkara yang ibu nak cakap dengan Abang Sirat.”
Puan Nara menggeleng. Tahu Arfah takutkan Sirat. Yang Sirat pun satu. Tadi gaya macam orang bersalah sangat-sangat tapi sekarang lain macam pula riak muka tu. Kut ya pun marah dipanggil bangla, tak payahlah muka tu ketat semacam. Kalau dia di tempat Arfah pun dia akan gelarkan Sirat sebagai bangla jual karpet.
“Biar ibu buat. Arfah tunggu sini. Nanti buka pintu untuk ayah.”
Arfah akur. Dengan langkah paling perlahan, Arfah duduk semula di atas sofa yang bertentangan dengan Sirat. Dicapai alat kawalan jauh televisyen dan butang mula ditekan mencari siaran yang mahu ditontonnya. Nak berbicara dengan Sirat, rasanya macam tak perlu. Ada nanti disembur lelaki yang berwajah ketat itu.
“Kau siapa? Setahu aku, ibu tak pernah ada anak lain selain aku. Kau datang dari tong sampah mana ni?”
Bulat mata Arfah sebaik saja mendengar perkataan tong sampah yang disebut Sirat. Sesuka hati aje mulut si muka ketat ini berbicara. Ada juga dia tampar sampai senget muka tu nanti.
“Kau pekak ke apa?”
Arfah mencebik. Dikuatkan volume televisyen sebaik saja berjumpa dengan siaran yang mahu ditontonnya. Diabaikan saja pertanyaan yang menyakitkan hatinya. Layan kartun Doraemon lagi baik daripada melayan si muka ketat bermulut puaka itu.
Sirat mengetap bibirnya. Dibuat pekak aje pada pertanyaannya. Malah Arfah memang sengaja menguatkan volume televisyen. Memang betul-betul cari pasal ni.
“Kau tukar rancangan lain. Cerita macam ni, budak umur bawah 10 tahun aje layan. Kau tu dah sama level dengan mak orang. Sedar diri tu sikit.”
Arfah jeling Sirat. Tiba-tiba dia rasa menyampah sangat-sangat dengan anak lelaki Puan Nara ini. Sebelum ini hidupnya terasa aman saja. Bila lelaki ini muncul, dia mula rasa berserabut dan dia sudah boleh merasakan ketenangan yang dirasakannya selama ini bakal bertempiaran lari tidak lama lagi. Timbul idea mahu menyakiti hati Sirat.
“Kalaulah wujud doraemon tu kan…” Arfah diam sebentar. Tunggu respon daripada Sirat. Bila Sirat pandang padanya, Arfah sambung semula kata-katanya yang tergantung tadi.
“Nak aje Arfah minta mesin untuk hantar orang pergi ke planet lain. Bukan apa, rasa macam semak aje bila ada orang berlagak bagus duduk depan kita.”
Sirat bangun dan rampas alat kawalan jauh televisyen daripada Arfah.
Ditekang butang berwarna merah.
“Apa ni? Arfah nak tengok tv lah.”
Sirat masukkan alat kawalan jauh tersebut ke dalam bajunya. “Kalau kau
nak sangat, kau ambillah sendiri.” Sirat tersenyum jahat sambil menaikkan keningnya pada Arfah.
Arfah berdecit. “Pervert!” jerit Arfah sekuat hati sebelum berlari naik ke tingkat atas. Tahulah bagaimana dia mahu membuat serangan balas nanti. Baru sehari bertemu sudah terasa meluat ya amat pada lelaki bernama Sirat. Memang bakal berperanglah mereka nanti kalau Sirat masih berperangai poyo macam tu dengannya.
Share this novel