“Sekebun cinta nan berbunga…”
Tegak batang tubuh Sirat. Segala jenis bulu roma di badan mencanak naik. Rambut yang berserabut kerana tidak disikat turut terpacak tinggi dengan sendirinya.
“Dia mula dah. Dia mula dah.” Sirat bangun berjalan mundar-mandir di dalam biliknya. Sejak mengenali gadis bernama Siti Arfah yang menumpang tinggal di dalam rumah ini, hidupnya berasa sangat serabut. Mahu dihalau, ini merupakan rumah ibu bapanya. Dia sendiri pun ibarat menumpang aje di sini.
“Teguh berdiri nan berduri.”
“Arghh! Dia main duri-duri pula. Sakitnya hati aku. Siaplah kau, aku kerjakan nanti. Aku dah pesan jangan memekak kalau aku ada dalam rumah ni. Degil betul minah pendek ni.” Dengan gaya gengster, laju kakinya menapak ke bilik Arfah yang terletak bersebelahan dengan biliknya. Lantaklah kalau ayah dan ibunya terdengar dia mengamuk malam ini. Rasanya tak akan dengar kut. Sebab bilik orang tuanya terletak di tingkat bawah.
“Aku yang asli di dalam mekar bila terbit mentari. Menguntumlah…”
“Hoi!” jerkah Sirat sekuat hatinya sebaik saja merempuh masuk ke dalam bilik Arfah.
Terus terpelanting mikrofon di tangan. Menggigil seketika tubuhnya kerana terkejut dijerkah Sirat. Hilang sekejap semangatnya.
“Kau jangan nak memekak, boleh tak? Aku jahit juga mulut kau tu nanti.” Biji mata terjegil-jegil pada Arfah. Konon mahu Arfah takut padanya.
Arfah terkedu. Dah kenapa pula duda seekor ni datang mengamuk dekat sini? Meroyan kena tinggal dengan bini, dia pula dijadikan mangsa untuk melepaskan marah.
“Kau dengar tak apa aku cakap ni?”
Arfah mencebik. Dijulingkan biji matanya pada Sirat. Dia sudah lali dengan perangai Sirat. Mula-mula masa bertemu dengan anak tunggal Encik Naim dan Puan Nara ni, dia menunduk jugalah bila setiap kali bertemu mata dengan Sirat. Tapi bila lelaki itu sesuka hati mencari pasal dengannya, dia tanpa segan silu membuat serangan balas. Kalau ditanya adakah dia membenci Sirat? Jawapannya adalah tidak. Dia tidak pernah diajar untuk membenci sesama manusia.
“Tak dengar dan tak mahu dengar. Ganggu aje orang nak berkaraoke.” Arfah tunduk mengambil semula mikrofon yang berada di atas lantai. Dia mahu sambung menyanyi semula. Baru nak test suara melagukan lagu Ziana Zain, malaun bilik sebelah datang menganggu pula.
“Aku cium kau kalau suara kau berbunyi lagi,” ugut Sirat.
“Ciumlah kalau berani.” Arfah muncungkan bibirnya pada Sirat. Ingat dia takut ke pada ugutan murahan macam tu. Berani duda itu mahu menciumnya. Belum sempat bibir Sirat menyentuh bibirnya, gigi Sirat dulu hilang dikerjakannya.
“Oo… Kau ingat aku main-main ya.”
Berdentum pintu bilik ditutup Sirat. Arfah didekati.
????????????
Share this novel