#9

Romance Series 11306

“Sedap?” tanya Puan Nara.

Sirat angkat wajah memandang ibunya. Nada Puan Nara agak dingin pada pendengarannya. Dia ada buat salah ke?

“Kalau kamu rasa masih nak rasa makanan sedap macam tu, kamu jauhi Wea. Jangan ingat ibu tak tahu yang kamu dan Wea…” Tidak jadi Puan Nara habiskan kata-katanya bila Arfah muncul. Mata menjeling tajam pada Sirat. Menghantar amaran secara halus pada Sirat supaya tidak melukakan hati Arfah.

“Sampai hati Abang Sirat tak tunggu Arfah. Kita punyalah tahan lapar sebab nak tunggu makan sama-sama dengan dia tapi…” Sengaja Arfah tayang wajah sedih biarpun itulah perasaan sebenar yang sedang disembunyikannya saat ini.

Sirat pandang wajah kelat ibunya sebelum dia mengalih pandang pada Arfah. “Aku turun sini tak nampak kau jadi aku makanlah dulu. Perut aku ni bukan boleh tahan lapar. Tak dapat makanan kau pun aku boleh makan.”

Arfah tunjuk penumbuknya pada Sirat. Dia kemudiannya melabuhkan duduknya di sebelah Puan Nara.

“Boleh ibu sendukkan nasi lemak untuk Arfah.” Arfah lentokkan kepalanya di bahu Puan Nara. Bukannya dia tak nampak wajah kelat Puan Nara. Dia nampak dan dia dengar patah kata yang diucapkan oleh Puan Nara pada Sirat tadi. Cuma dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. Biar dia cari tahu dulu tentang wanita bernama Wea itu.

“Manjanya… Kau ada tangan kan. Ambillah sendiri. Aku pun tak manja macam tu dengan ibu aku.”

Arfah jelirkan lidahnya pada Sirat. Sirat balas dengan menjegilkan biji matanya pada Arfah.

Puan Nara bangun dan isikan nasi lemak di dalam pinggan untuk Arfah. Sebenarnya dia pelik juga tapi tetap dilayankan juga permintaan si Arfah. Mungkin datang mood Arfah mahu bermanja dengannya.

“Terima kasih ibu. Entah sampai bilalah Arfah boleh bermanja dengan ibu macam ni. Nak harapkan Abang Sirat manjakan Arfah, macam tak ada harapan aje.” Arfah terus menyuap nasi lemak ke dalam mulutnya.

Puan Nara dan Sirat saling berpandangan. Hanya mata mereka saja bagaikan bersuara di antara satu sama lain.

Sirat pandang pada Arfah. Bila gadis itu memandang ke arahnya, cepat-cepat dilarikan anak matanya ke arah lain. Dia kehilangan kata saat mendengar bicara Arfah tadi.

Suasana di meja makan itu kembali sunyi. Masing-masing bagaikan melayan perasaan sendiri. Tiada sesiapa pun bersuara sehinggalah mereka menghabiskan makanan di dalam pinggan sendiri.

Sayu hati Arfah saat melihat Sirat melangkah keluar dari rumah tanpa sebarang kata-kata pesanan padanya. Arfah ketawakan dirinya sendiri. Terlalu mudah jatuh cinta beginilah jadinya. Tangan dibawa menyentuh dada. Ada rasa sakit di situ. Rasa sakit apabila terasa cinta yang disemai bagaikan tidak mampu membuahkan benihnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience