BAB 7

Romance Completed 31679

PEJAM CELIK PEJAM CELIK, kini sudah sebulan peristiwa di pusat membeli-belah itu berlalu. Namun perhubungan di antara Nia Qalisya dan suaminya, Fazrul Uqasha masih belum pulih.

Suaminya itu terlalu ego. Masih ingin mengungkit segala yang berlaku dan menyalahkan dirinya. Sudah puas dia memujuk, namun suaminya masih berkeras hati.

Malah sering memarahi dirinya tanpa sebab yang munasabah.

Bunyi pintu dikuak dari luar mengejutkan Nia Qalisya yang sedang duduk termenung di ruang tamu itu. Apabila menoleh, kelihatan suaminya sedang membuka kasut yang dipakai.

” Awak nak air? Nia ambilkan.” Fazrul Uqasha tidak mengendahkan pertanyaan yang diaju oleh isterinya.

Malah lelaki itu terus mendaki tangga menuju ke bilik mereka. Ya, mereka masih tidur sebilik. Cuma bezanya Nia Qalisya tidak tidur di atas katil bersama suaminya. Gadis itu rela tidur di atas permaidani yang terhampar bagi memberi keselesaan kepada suaminya.

Nia Qalisya mengunci pintu utama rumah. Lantas kakinya turut mendaki anak tangga ke tingkat atas. Apabila dia masuk ke dalam bilik, kelibat suaminya tiada.

Bunyi pancuran air menandakan keberadaan suaminya ketika itu. Nia Qalisya mengambil keputusan duduk di atas sofa kecil yang tersedia di dalam bilik itu sambil membaca majalah.

Beberapa minit kemudian suaminya keluar dari bilik air. Sudah memakai pakaian lengkap.

” Awak, Nia nak cakap sikit boleh.” Sekali lagi soalannya tidak dihiraukan. Nia Qalisya menghela nafas kecil. Dikuatkan hatinya agar mampu bertahan dengan tingkah yang ditunjukkan oleh suaminya saban hari.

” Awak, tadi mama call. Dia suruh kita datang rumah malam ni. Ada majlis kesyukuran.” jelas Nia Qalisya.

” Kita pergi ya.”

“ Aku ada hal malam ni. Aku nak keluar.”

“ Tapi mama suruh..”

“ Kau tak faham bahasa ke? Aku cakap aku nak keluar. Kau nak pergi kau pergi jelah ! Tak payah nak ajak aku.” bidas Fazrul Uqasha tanpa sempat isterinya menamatkan ayatnya.

Fazrul Uqasha terus mencapai kembali kunci keretanya yang diletak di atas meja solek. Tanpa menghiraukan wajah mendung si isteri, lelaki itu terus melangkah keluar dari bilik.

Nia Qalisya yang terkejut dengan jerkahan tersebut menahan sebak di dada. Disabarkan hatinya melayan kerenah si suami. Dikerling jam yang tergantung pada dinding. Sudah hampir maghrib.

Tidak mahu memikirkan masalah rumah tangga yang dialaminya itu, Nia Qalisya mula bersiap untuk mengerjakan solat maghrib sekaligus bersiap untuk ke rumah keluarganya.

Perjalanan dari rumahnya ke rumah orang tuanya mengambil masa hampir setengah jam. Setibanya di rumah keluarganya, kelihatan para tamu mula ramai. Dan orang masjid sudahpun sampai serta sedang mengalunkan bacaan ayat suci al-Quran.

Nia Qalisya melangkah ke pintu dapur. Kelihatan mamanya sedang sibuk menyiapkan hidangan.

” Assalamualaikum mama.” gadis itu menyapa lembut lantas menghampiri Puan Hajah Junidah yang tidak menyedari akan kehadirannya.

” Waalaikumussalam. Eh anak mama dah sampai. Suami Nia mana?” sahut Puan Hajah Junidah. Matanya meliar mencari kelibat menantunya.

Nia Qalisya mengukirkan senyuman kecil.” Suami Nia tak dapat datang, dia ada hal mama. Dia kirim salam.” dengan wajah tenang gadis itu menjawab. Tangannya pantas sahaja bergerak membantu mamanya melakukan kerja tanpa disuruh.

Puan Hajah Junidah yang tidak mengesyaki apa-apa mengangguk faham.

Apabila jarum jam menghampiri ke angka sepuluh malam barulah majlis tersebut selesai. Nia Qalisya masih sibuk mengemas ruang dapur yang sedikit bersepah.

Bunyi deringan telefon mengejutkannya. Tangan yang basah dilap pada kain pengelap sebelum telefon bimbitnya dicapai.

Tertera nombor milik suaminya.

” Assalamualaikum awak. Awak kat mana ni?”

“ Waalaikumussalam. Ni keluarga Encik Fazrul Uqasha?”“ Ya saya isteri dia. Siapa ni?” Nia Qalisya mengerutkan dahi apabila yang menyahut bukan suaminya tetapi suara orang lain yang dia sendiri tidak pasti siapa si empunya suara. Hatinya mula berasa sesuatu.

” Saya daripada pihak Hospital Cheras ingin memaklumkan bahawa suami puan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi. Suami puan terlibat dalam satu kemalangan langgar lari. Sila hadirkan diri ke hospital bagi keterangan lanjut serta kami memerlukan tandatangan untuk melakukan pembedahan ke atasnya bagi menghentikan pendarahan dalaman yang dialami mangsa.” Dunia seakan berhenti.

Nia Qalisya terkaku sendiri. Gadis itu terduduk di atas lantai. Talian pantas dimatikan. Air mata yang ingin mengalir ditahan. Dia tidak mahu lemah. Dia harus kuat dengan apa yang berlaku.

Matanya dipejam rapat. Mulutnya melafazkan zikir sebagai pemberi semangat. Saudaranya yang berada di situ mula mengajukan pelbagai soalan kepadanya. Dan ianya hanya dibiar tanpa jawapan.

Setelah beberapa minit berkeadaan seperti itu, gadis itu bangkit semula. Dikuatkan semangatnya mengharungi dugaan yang menimpa.

” Kalau mama Nia tanya, cakap Nia ke hospital. Suami Nia kat sana.

Nia pergi dulu.” sempat dia berpesan kepada sepupunya sebelum melangkah keluar.

Sepanjang perjalanan ke hospital mulutnya tidak berhenti beristighfar.

” Cik, saya isteri kepada mangsa kemalangan tadi. Mana suami saya?” soalnya sebaik tiba di hadapan kaunter pertanyaan.

Jururawat yang bertugas di situ membawa Nia Qalisya bertemu seorang doktor.

” Puan isteri dia?” soal doktor yang memakai tag nama Firdaus.

” Ya saya isteri dia. Macam mana dengan suami saya doktor?”

“ Puan sila tandatangan borang ni. Pembedahan harus dilakukan segera. Keadaan suami puan kritikal. Kami hanya mampu memberi harapan 50-50. Kami harap puan sabar. Banyakkan berdoa.” Tanpa menunggu Nia Qalisya pantas menandatangani borang persetujuan.

Otaknya tidak mampu berfikir apa-apa selain mahu melihat suaminya kembali sihat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience