BAB 8

Romance Completed 11327

“Yelah, dekat sekolah layan perangai anak murid dia. Balik rumah layan perangai kamu pula. Silap haribulan, darah tinggi dibuatnya.” Daniel mencebik, Mak Esah sentiasa menangkan Shadha.

“Dan dah kata, dia bukan pilihan Dan.” Mak Esah menggeleng.

“Tuan Daniel Hakim, dah setahun dia jadi isteri kamu. Masih nafikan dia sebagai isteri?” Mak Esah bersuara tegas.

“Dan tak nafi dia isteri Dan. Cuma Dan tak boleh terima dia dalam hidup Dan…” Daniel membela diri.

“Tak nafi dia isteri, tapi nafi hak dia sebagai isteri. Apa semua tu Dan?” Daniel mengeluh berat.

“Ibu suka bela dia.”

“Sebab Shadha di pihak yang betul. Opah Imah sendiri dah surrender dengan sikap kamu, jangan sampai Opah tu masuk campur lagi, nahas kamu. Apa yang kamu cari sebenarnya Dan? Shadha tu kira baik orangnya, sabar dengan kamu.” Mak Esah terus menasihati Daniel yang sudah dianggap sebagai anak.

“Dan dah cakap dekat Opah Imah, Dan cari orang yang sayang Dan.” Daniel membela diri.

“Shadha sayangkan kamu.”

“Dia tak sayang dengan rela hatinya. Dia sayang sebab terpaksa, sebab dia isteri Dan. Nak tak nak dia kena sayang Dan.” Mak Esah mati kata. Payah bila bercakap dengan Daniel. Kalau satu katanya, satulah jawapannya.

“Buka mata. Buka hati. Baru kamu nampak.” Mak Esah kemudian mematikan talian. Daniel meraup wajahnya. Hatinya ragu-ragu untuk memberi peluang, takut tersalah orang untuk memberikan hatinya.

“Kenapa awak duduk dekat luar? Dah dekat maghrib ni…” Suara Shadha mematikan lamunannya.

“Bila awak balik? Kereta mana?” Soalan Shadha dibiar sepi. Daniel memandang ke arah ruang garaj.

“Kereta saya rosak dekat depan sana. Tak boleh start, pak cik jaga tu kata minyak enjin kering.” Shadha meletakkan kasutnya ke rak kasut.

“Kenapa tak call saya?”

“Dah call, tapi busy. Call rumah, Darin kata awak keluar.” Shadha mengangkat beg-beg plastik barangan dapur yang dibelinya sebelum pulang ke rumah tadi.

“Awak balik dengan apa?” Soal Daniel lagi.

“Jalanlah, dengan apa lagi…” Shadha melangkah masuk ke rumah dan terus ke dapur. Sudahlah penat berjalan lebih kurang dua kilometer dari pondok pengawal di pintu masuk perumahannya ke rumah. Bertambah rasa penat melihat keadaan dapur yang kotor tidak berkemas.

Beg plastik barangan dapur yang baru dibeli, diletakkan di atas kabinet dapur buat sementara. Tangan baju kurungnya disenteng hingga ke siku. Pinggan mangkuk di dalam sinki di basuh dan dilap kering. Sisa makanan di atas meja di kemaskan.

“You masak apa malam ni?” Darin yang menjengah ke dapur mula menyoal. Shadha menghela nafas.

“Tak masak lagi.” Shadha menjawab ringkas.

“What? Hey, kau tau tak aku lapar? Pemalas betul!” Darin bertempik. Shadha tidak mengendah sedikitpun.

“Kejap lagi saya masak la.” Shadha menjawab. Darin bercekak pinggang.

“Senang lenang you jadi isteri Daniel eh. Pagi tak masak, tengah hari pun tak masak. Malam kalau Dan balik lambat tentu-tentu you dah tak payah masakkan.” Darin sengaja memanaskan hati Shadha.

“Patutlah tak nak lepas Dan. Nak hidup senang, mewah! Betul-betul cara kampung!” Shadha menggeleng laju.

“Saya tak faham apa pun yang awak merepek Darin.” Ujar Shadha.

“Kau sebenarnya nak kan harta Opah Imah aje, sebab tu apa pun Dan buat dekat kau, kau buat tak tahu je. Pulangannya lagi besar daripada apa yang kau rasa.”

“Awak ni dah merepek sangat dah. Apa yang awak nak sebenarnya?” Darin merengus marah. Marah dengan Shadha yang tidak gelabah sedikitpun.

“Ahhh! Masak aje la, I dah lapar.” Shadha mengerut dahi.

“Okay, saya masak.” Darin terus berlalu daripada dapur. Shadha menggeleng laju.

“Harta? Aku boleh cari sendiri…” Shadha berbisik sendiri. Tudung yang masih terletak dikepala ditanggal, kemudian disangkut ke kerusi meja dapur. Barangan daripada beg plastik dikeluarkan satu persatu.

“Masak cepat, boleh rehat cepat.” Detik hati Shadha.

Setelah semua siap dihidangkan di atas meja makan. Shadha kemudian mengambil beg tangan dan beg kerja serta tudungnya, melangkah keluar daripada ruang dapur.

“Cik Darin, semua saya dah siapkan. Silalah makan dengan berselera ye.” Ujar Shadha kepada Darin yang asyik mengunyah kacang sambil menonton televisyen di ruang rehat rumah. Setelah itu, Shadha segera melangkah ke bilik, dia belum mandi dan belum solat Maghrib.

Di tangga dia bertembung dengan Daniel yang baru menuruni tangga, segak berbaju melayu. Mata Shadha terpaku sebentar sebelum dia melarikan wajah dan meneruskan langkahnya.

“Awak ke mana?” Daniel menegur, mematikan langkah Shadha. Shadha menoleh kebelakang.

“Nak masuk bilik, nak mandi dan solat.”

“Tadi ke mana?”

“Kekasih hati awak tu kebulur sangat kut, paksa saya masak. Jadi saya masaklah dulu. Semua dah siap, bolehlah awak makan dengan dia.” Jawab Shadha. Dek kerana penat, dia menjadi ‘berani’ menjawab begitu.

“Watch your words. Darin, sepupu saya bukan kekasih.” Daniel membetulkan dalam tegas.

“Sorry.” Tutur Shadha perlahan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience