BAB 14

Romance Completed 11327

Shadha masih membungkam di dalam biliknya. Usai solat isyak dia mengambil keputusan untuk terus berkurung di dalam bilik. Dia masih tidak tahu apa hasil perbincangan petang tadi. Doa Shadha, moga bahagia miliknya. Shadha menarik lutut rapat ke dada, dagunya diletakkan ke atas lututnya. Gambar Daniel di atas meja kecil, dipandang penuh kasih. Air matanya masih setia mengalir. Ketukan di pintu membuatkan Shadha cepat-cepat menyapu air matanya yang mengalir di pipi dengan jari-jemarinya.

“Shadha… Saya masuk ye.”Ujar Daniel setelah pintu bilik Shadha dikuak sedikit. Tanpa menunggu jawapan daripada Shadha, Daniel terus sahaja melangkah masuk dan menghampiri Shadha yang duduk di katil.

“Shadha…” Daniel memanggil lagi. Shadha masih membatu, wajahnya dipaling bertentangan dengan kedudukan Daniel.

“Shadha, saya tahu awak yang menjadi mangsa dengan semua ni. Untuk itu saya minta maaf.” Daniel bersuara lagi. Dia melabuh duduk di sisi Shadha.

“Awak minta maaf, sebab awak setuju dengan keputusan Opah Imah?” Shadha mula bersuara namun wajahnya masih dipalingkan ke arah lain. Daniel menarik nafas dalam-dalam.

“Tak. Saya tak sekejam yang awak fikirkan Shadha. Mungkin saya memang berlaku kejam dengan awak setahun ni, tapi saya tak pernah terlintas untuk duakan awak.” Daniel berterus terang. Shadha mengesat air matanya yang masih mengalir.

“Jadi awak sudah pilih antara saya dan Darin?” Shadha masih tidak memahami apa yang berlaku petang tadi. Daniel hanya tersenyum.

“Awak selalu salah sangka saya dengan Darin. Pernah saya ingatkan awak, Darin hanyalah sepupu saya. Bukan kekasih. Tiada isu pilih antara dua. Kalaupun saya perlu memilih, saya akan pilih yang telah menjadi hak saya.” Ujar Daniel panjang lebar. Shadha hanya diam, sesekali tangannya mengesat air matanya yang sedari tadi setia mengalir.

“Jadi apa keputusannya?” Shadha menyoal, wajahnya masih lagi tidak memandang Daniel.

Daniel terus naik ke atas katil dan duduk bersila berdepan dengan Shadha. Shadha yang masih erat memeluk lutut ditarik supaya bertentang dengannya. Shadha hanya menurut, kepala masih menyembam dilutut.

“Pandang saya.” Daniel bersuara perlahan.

Shadha diam dengan kedudukan yang sama. Kebisuan Shadha dan perlakuannya yang kaku membuatkan Daniel terus sahaja mengangkat wajah Shadha dengan tangannya supaya memandang ke arahnya.

“Kita bincang, boleh?” Daniel masih lagi memegang wajah Shadha yang sedikit terkejut dek tindakan Daniel yang diluar dugaan itu. Shadha mengangguk dan melarikan wajah daripada terus dipegang oleh Daniel. Shadha mengesat sisa air mata dengan belakang tangan.

“Awak nak tahu keputusannya?” Daniel menyoal bagi memulakan perbincangan pertama mereka sebagai suami isteri setelah setahun lamanya. Shadha mengangguk perlahan.

“Kita berdua yang akan tentukan keputusannya.”Shadha berkerut dahi.

“Maksud awak?” Shadha menyoal lagi.

“Ini rumah tangga kita Shadha, jadi kitalah yang patut buat keputusannya.” Daniel bersuara, serius. Shadha memandang Daniel tak berkelip.

“Ish, janganlah buat muka tak percaya.” Daniel membentak kecil melihat wajah Shadha yang penuh kehairanan.

“Yelah, selama ni awak….”

“Okay-okay, saya mengaku semua tu. Tak payah sebut ye.” Daniel memintas. Semua orang sukar percaya dengan sikap Daniel yang berubah tiba-tiba.

“Okay, sekarang macam mana?” Shadha hanya menurut, lantas terus menyoal lagi keputusan masa depan mereka berdua.

“Macam saya cakap sebelum, kalau ikut saya, just go with the flow. Ke mana dia bawa kita, ke situlah kita.” Daniel menjawab, ringkas.

“Tapi sampai bila?” Shadha tidak berpuas hati dengan apa yang dikatakan Daniel.

“Biar masa menentukannya.” Shadha mengeluh lemah. Dalam serius Daniel ada juga yang terasa seolah-olah dia sedang bermain-main.

“Sabar saya mungkin tak selama tu…” Ujar Shadha. Daniel terdiam. Namun dia akui, Shadha sudah terlalu banyak bersabar.

“Okay, sekarang awak cakap dekat saya, apa yang awak mahu, pengakhiran bagi masalah kita sekarang.” Daniel membuka ruang untuk Shadha meluahkan apa yang dipendamnya selama ini. Shadha memandang terus ke anak mata Daniel untuk seketika. Kemudian nafasnya ditarik sedalamnya.

“Apa yang saya mahu adalah kebahagiaan hidup bersama awak. Awak menerima saya sebagai isteri awak, yang mempunyai hak kepada awak selayaknya sebagaimana seorang isteri. Itu sudah cukup bagi saya.” Ujar Shadha penuh pengharapan. Daniel hanya mengangguk perlahan.

“Menerima awak sebagai isteri saya, dengan itu awak sudah bahagia? Macam tu?”Daniel menyoal lagi.

“Apalah yang dimahukan oleh isteri selain haknya sebagai isteri kepada suaminya?”

“Tanpa cinta?”Soal Daniel, ragu.

“Cinta akan datang kemudian.”Ujar Shadha ringkas.

“Kalau tak datang?” Daniel menyoal lagi, seolah sukar baginya untuk mempercayai cinta itu akan terlahir akhirnya.

“Daniel….” Shadha menggenggam kedua belah tangan Daniel.

“Saya tahu saya bukan pilihan awak, jadi perkara pertama yang awak perlu lakukan adalah dengan menerima saya sebagai isteri awak yang sah. Izinkan saya untuk zahirkan rasa hati saya dengan segala apa yang awak lakukan. Izinkan saya untuk jadi isteri awak dunia dan akhirat.” Perlakuan Shadha dan kata-kata Shadha membuatkan Daniel terpaku. Bagai ada yang merenjat tubuhnya tatkala Shadha menyentuh tangannya ketika itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience