BAB 2

Romance Completed 11326

Bunyi loceng menandakan waktu pengajarannya sudah tamat. Segala latihan sebagai kerja rumah telahpun dicatatkan di papan hitam. Buku-buku yang dikumpul, diberikan kepada ketua kelas untuk dibawa ke bilik guru.

“Munirah, kamu tolong kumpulkan kerja sekolah yang cikgu bagi tadi Isnin pagi ye, terus hantar ke bilik guru. Sebelum rehat cikgu nak semua dah ada di meja cikgu ye.” Arah Shadha kepada penolong ketua kelas tingkatan 5 Delima itu.

“Okay kelas, jumpa lagi Isnin nanti. Assalamualaikum.” Ujar Shadha sebelum melangkah keluar daripada tingkatan 5 Delima. Suara anak didiknya jelas kedengaran menjawab salam yang diberikan.

Tamatnya pengajaran hari ini, menandakan tamat waktu persekolahan untuk hari ini. Esok hujung minggu, bermula lagi hari untuk bersemuka dengan Daniel. Kalau hari-hari biasa, susah hendak bertemu muka dengan Daniel. Shadha keluar seawal pagi, disebabkan jarak sekolah yang agak jauh daripada rumah mereka. Daniel pula pulang lewat malam, al maklumlah kerja sendiri, banyak hal perlu diuruskan setiap hari. Waktu hujung minggu adalah waktu rehat mereka berdua, tapi kadang kala bukan waktu rehat buat Shadha. Mungkin kerana terbiasa memberi arahan di pejabat, Daniel terbawa-bawa sehingga di rumah dan Shadha menjadi mangsanya.

“Woi, menungkan apa?” tepukan dibahu yang agak kuat mengejutkan Shadha. Pandangan dialihkan ke sisi. Mustika.

“Sakit la Tika. Takde menung pun, fikir nak masak apa je balik nih.” Ujar Shadha. Mustika mencebik.

“Untung suami kau eh, rajin betul kau memasak.” Giliran Shadha mencebik. Untung? Seksa adalah, bentak hati Shadha. Tangannya ligat mengemas meja. Beg tangan diambil dan terus bangun dari duduk, kerusi ditolak masuk ke bawah meja.

“Untung la jugak. Aku balik dulu, jumpa minggu depan.”

Shadha melangkah keluar daripada bilik guru. Langkahnya tidak semangat seperti selalu. Esok Daniel mahu ke rumah Mak Longnya, ibu kepada Darin, Datin Munah. Hati Shadha resah dan menyampah. Datin Munah tidak suka kepadanya, memang tidak suka. Asyik menjeling dan memerli sahaja. Darin pula, gadis yang terlebih manja. Mampukah dia bertahan untuk duduk satu hari di sana?

Belum sempat mahu membuka pintu pagar, ada orang lain yang lebih awal membukanya untuk Shadha. Siapa? Shadha tidak pernah melihat perempuan tua itu sebelum ini. Kereta dipandu perlahan-lahan memasuki garaj. Beg tangan dan beg kerjanya diambil, lalu melangkah keluar. Perempuan tua itu setia menunggunya dengan senyuman.

“Assalamualaikum.” Perempuan tua itu menyapa, sebaik Shadha keluar daripada kereta. Shadha dengan hormat terus menyalami perempuan tua itu, biarpun tidak mengenalinya. Dalam hati Shadha mengagak, mungkin kenalan atau saudara Daniel.

“Waalaikummussalam… erm… maaflah kalau saya bertanya, Puan ni siapa ye?” Soal Shadha teragak-agak, takut menyakiti hati perempuan tua itu, mana tau perempuan itu mengenalinya dan dia sebaliknya.

“Daniel tak cakap apa-apa ke?” Perempuan tua itu menyoal.

“Takde pulak, kenapa ye?” Jawab Shadha, sambil menjemput perempuan itu masuk ke rumah walaupun perempuan tua itu memang dari dalam rumah.

“Mak cik ni pengasuh Daniel, panggil aje Mak Esah. Daniel telefon mak cik minggu lepas suruh datang sini, katanya isteri dia malas masak.” Shadha terkedu. Mak Esah pula hanya ketawa.

“Daniel merungut pasal saya ye Mak Esah? Saya bukan malas… Saya..”

“Ish… Mak Esah kenal sangat dah Daniel, jangan risau ye.” Pintas Mak Esah sebelum Shadha sempat membela diri.

“Saya masak, cuma pagi-pagi kadang sempat kadang tidak, sekolah saya jauh, jadi kena keluar awal. Lagi pun, Daniel jarang makan masakan saya, dia kata…. Erm…” Shadha tidak dapat meneruskan kata.

“Dia kata tak sedap?” Mak Esah ketawa lagi. Shadha hanya mengangguk perlahan.

“Daniel tu macam budak-budak sikit walaupun dah 30 tahun, erm… sabar aje ye Shadha…” Mak Esah memberi semangat.

“Panggil aje saya Sha Mak Esah… Daniel mesti suka makan masakan Mak Esah kan?” Shadha mula selesa untuk berbual dengan Mak Esah.

“Dari kecil Mak Esah jaga dia, dia dah biasa sangat dengan masakan Mak Esah. Tapi sekarang ni tak tahulah, mana tau dah angau dengan air tangan Sha ke?” Mak Esah cuba mengusik. Shadha mencebik.

“Takde nye, Daniel jarang makan dekat rumah. Kalau makan pun sikit aje. Haa... Mak Esah mesti pandai buat pan-cake kan?” Mak Esah mengerut dahi.

“Ha? Pan-cake?”

“Daniel, setiap kali sarapan, dia nak saya buatkan pan-cake. Jenuh saya belajar tapi tetap tak jadi macam yang dia nak.” Shadha merungut manja.

“Merapu betul budak tu. Tak pernahlah Mak Esah masak pan-cake, kek-kek semua tu. Lempeng ada la.” Shadha menggaru kepala yang ditutupi tudung.

“Tapi…” Belum sempat menghabiskan kata, suara yang baru muncul dari balik pintu mematikannya.

“Ibu!” Daniel menjerit. Mak Esah yang duduk di sofa dihampiri dan dipeluknya erat. Gaya anak manja!

“Ya Allah, bertuah betul budak ni…” Mak Esah menariknya supaya duduk di sisinya.

“Rindu. Lepas Dan kahwin, Ibu lari balik kampung ye? Frust eh?” Daniel mengusik. Shadha memandang dengan riak tidak percaya. Manja gila!

“Ibu tak nak kacau privacy orang dah kahwin, takdak makna nak frustlah!” Ujar Mak Esah, Daniel mencebik.

“Yang tercegat dekat situ kenapa?” Daniel menegur Shadha yang berdiri di hujung sofa.

“Dan…” Mak Esah menegur. Shadha mengambil beg tangan dan beg kerjanya.

“Saya naik atas dulu Mak Esah.” Shadha meminta diri. Langkahnya diperhati empat mata.

“Kenapa layan dia macam tu?” Mak Esah mula menyoal. Daniel mengambil tempat di sofa berdepan dengan Mak Esah. Tali lehernya dilonggarkan.

“Bukan pilihan Dan, Opah paksa Dan kahwin dengan dia. Kalau cun tak apa la jugak.” Daniel merungut.

“Manis aje Ibu tengok.” Mak Esah mencelah. Daniel mencebik.

“Tawar aje. She is not my cup of tea.”Tokok Daniel. Mak Esah ketawa kecil.

“Kalau bukan teh, kopi pun jadilah…” Mak Esah cuba bergurau.

“Ibu… main-main.” Daniel merengek persis anak manja.

“Buka hati tu. Dah sah jadi isteri pun. Jadi, dia tanggungjawab kamu Dan. Amanah Allah.” Daniel mengeluh.

“Dan tahu, tapi Dan tak boleh, dia bukan pilihan Dan.”

“Bukan pilihan Dan tapi pilihan Opah dan insyaAllah pilihan Allah.” Ujar Mak Esah penuh dengan nasihat. Penuh makna tersirat. Daniel menyandar tubuh ke sofa, direnung wajah tua itu sedalam-dalamnya sebelum memejam mata rapat.

“Jangan tidur sini, dah pukul tiga. Kalau belum solat Zuhur, bangun solat dulu.” Mak Esah menegur sebelum melangkah ke bilik yang berada di tengah-tengah antara ruang tamu dan dapur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience