BAB 2

Romance Completed 3264

“Jangan tanya siapa perempuan yang aku tengah pikat tu,” balas Bahari.

Aku mengeluh spontan.

“Eh, macam mana kau boleh tau apa yang aku nak tanya?” Laju aku menyoalnya.

“Jawapan aku sama macam jawapan kau tadi. Sebab, aku pun dah lama kenal dengan kau. Dan ini bukan kali pertama kau nak tanya soalan tu, kan?” Jawapan Bahari membuatkan aku tergelak.

Bahari... Bahari... suatu hari nanti aku akan tahu juga. Apalah agaknya yang istimewa sangat tentang perempuan itu sampai Bahari bersungguh-sungguh mahu merahsiakan identitinya?

“Kau ada cadangan lain tak? Macam mana aku nak pikat si dia ni?” Permintaan Bahari membuatkan otak aku ligat berfikir.

“Haa... kau pernah bagi dia hadiah tak?” tanyaku.

“Tak pernah!” jawabnya pantas.

“Hisy, apalah kau ni. Cakap saja nak memikat, tapi tak pernah bagi apa-apa penghargaan. Bukan semua perempuan boleh cair dengan kata-kata, tahu?” kata aku kemudian.

Wah, gaya aku bercakap ini sudah seperti ada pengalaman sahaja, kan? Sebenarnya tiada.

Macam mana aku hendak ada pengalaman kalau aku sendiri pun tidak pernah jatuh cinta? Ramai kawan yang beranggapan bahawa aku ini terlalu memilih pasangan. Ya, ke? Rasanya tiadalah macam itu. Masakan aku hendak mengharapkan lelaki sekacak Fahrin Ahmad jika aku tidak secantik Siti Nurhaliza? Tidak sama sekali!

Zaman sekarang ini, pelajar sekolah pun sudah pandai hendak bermain cinta. Namun aku? Ah, tidak beranilah hendak bermain dengan cinta monyet ini. Percuma sahaja kena pelangkung dengan ayah. Namun itu dululah, waktu aku masih bersekolah. Sekarang, memang aku sudah tidak layak hendak bercinta monyet. Maklumlah, umur aku sudah melepasi had alam persekolahan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience