BAB 8

Romance Completed 6611

Pandak Hassan tidak menyahut. Dia tahu semua orang-orang di situ hanya mendengar saja mengenai diri Tok Aki yang dikatakan kurang siuman itu. Tetapi mereka tidak pernah mahu mendekati orang tua berkenaan.

Bagaimanapun Pandak Hassan hanya mengetahui akan keluarbiasaan Tok Aki ini dari seorang polis pencen di Benut. Sebab itulah dia sanggup ke Gunung Semanggol sejauh lebih 7 batu semata-mata untuk menemui Tok Aki.

Kira-kira pukul 9 malam, kakak ipar Pandak Hassan terjerit dari tengah halaman menyebabkan seisi rumah kelam kabut. Semua orang yang berada di dalam rumah meluru keluar hinggakan isteri Pandak Hassan yang baru bersalin pun ditinggalkan seorang diri.

“Ada apa Esah?”

Tanya emak mertua Pandak Hassan pada anaknya yang termengah-mengah ketakutan.

“Itu apa tu, apa tu dekat rumpun mengkuang?”

Dia menuding-nuding jari ke arah rumpun mengkuang berhampiran dengan telaga, dengan tidak memalingkan mukanya ke situ.

Semua orang memandang ke rumpun mengkuang berhampiran telaga di tepi sawah. Mereka nampak kepala manusia tersangkut dengan tali perutnya berjurai-jurai melekat pada duri mengkuang.

Pada bahagian tali perutnya nampak seperti api berkelip-kelip. Cepat-cepat Pandak Hassan menyuluh dengan lampu suluh ke arah kepala manusia yang tersangkut itu.

“Oh, kau rupanya nak ganggu isteri aku!”

Jerkah Pandak Hassan meludahkan ke tanah.

Selepas ini barulah emak mertuanya berkejar mendapatkan isteri Pandak Hassan di dalam. Didapatinya anaknya tidak apa-apa.

“Ada apa mak?” tanya isteri Pandak Hassan.

“Dah datang setan tu. Nasib baik tersangkut pada rumpun mengkuang.”

Rungut orang tua itu.

“Syukurlah...” sahut isteri Pandak Hassan.

“Tak sia-sialah Abang Ali jumpa dengan Tok Aki tu.”

Katanya setelah diberitahu oleh Pandak Hassan mengenai ajaran yang diajarkan oleh Tok Aki.

Sementara di tengah halaman orang-orang kampung sudah berkumpul. Mereka semua menyaksikan sendiri bagaimana hantu penanggal itu tersangkut pada rumpun mengkuang.

Mereka tidak berapa kenal muka kepala siapa manusia itu, kerana ianya bukanlah orang dari kampung tersebut.

“Tak pernah orang dapat memerangkap benda macam ni.”

Ujar Tok Imam Husin sambil menyuruh orang kampung mengambil antan lesung.

Kamarul cepat-cepat mengambil antan lesung di bawah gelegar rumah.

Pada mulanya emaknya menyuruh dia masuk saja ke rumah, tetapi Kamarul berkeras juga mahu melihatnya. Dia tidak merasa takut untuk menyaksikan hantu penanggal yang tersangkut di rumpun mengkuang itu. Tetapi Pandak Hassan mempertahankan dia.

“Anak jantan apa salahnya nak tengok, buat apa takut dengan setan!”

Kata Pandak Hassan bersemangat.

Tok Imam Husin mengambil antan lesung dari Kamarul. Dia mengetuk kepala orang yang tersangkut pada rumpun mengkuang itu dengan antan lesung, tetapi kepala itu tidak mengelak. Matanya saja terkelip-kelip melihat lampu suluh yang meyilau ke matanya.

“Macam mana kau kurung setan ni, Pandak?”

Tanya Tok Imam Husin berpatah balik semula ke tengah halaman.

“Tak ada saya kurung, cuma saya buat apa yang disuruh oleh Tok Aki.”

Jelas Pandak Hassan.

“Tak usahlah kita bunuh, kita lepaskanlah dia.”

Tok Imam Husin mencadangkan.

“Saya tak tau macam mana nak lepaskan.”

Sahut Pandak Hassan, kerana dia memang tidak tahu apa harus dilakukan selepas itu.

“Macam tu, kena panggil Tok Aki.”

Kata Tok Imam Husin menasihatkan, “tak usahlah kita bunuh, dia pun manusia biasa juga. Cuma mengamalkan ilmu sesat.”

Ujarnya kesal.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience