BAB 7

Romance Completed 6611

Biasanya tuan rumah akan memberi sepuluh ringgit selepas selesai kenduri. Dengan kata-kata tuan rumah tadi Tok Aki meninggalkan basikalnya di situ, lantas menaiki bas atau teksi sapu ke rumah di Gunung Semanggol.

Kalau tambang bas antara 50 hingga 70 sen, dia akan memberikan kesemua sepuluh ringgit itu dengan tidak mahu mengambil baki yang dipulangkan oleh kondakter bas.

Begitu juga kalau dia menaiki teksi sapu. Pemandu kereta akan mengenakan RM5 saja, tetapi dia tetap memberikan kesemua sepuluh ringgit yang diberi oleh tuan rumah tadi. Apabila dia sampai di rumahnya, dia akan naik sebentar ke rumahnya, kemudian berbalik semula ke rumah orang yang membuat kenduri tadi untuk mengambil basikalnya semula.

Sekali pandang memanglah nampak kelakuannya seperti orang tidak siuman, tetapi rahsia dirinya hanya Allah yang tahu. Itulah yang diceritakan oleh Kamarul kepada saya mengenai Tok Aki.

Dan itulah kesan yang diajarkannya kepada Pandak Hassan apabila lelaki itu datang meminta tangkal azimat darinya supaya menghalau hantu penanggal.

Pandak Hassan mematuhi arahan Tok Aki supaya melakukan sembahyang tahjud selama 44 malam sebelum isterinya melahirkan anak. Memanglah terasa sukar pada mulanya untuk bangun tidur waktu malam hari tetapi kerana yakin dengan apa yang diajarkan oleh Tok Aki dia tetap tabahkan hati.

Lagipun bersembahyang tahjud memang dikehendaki oleh agama, kerana Allah sendiri menyuruh dibanyakkan berjaga malam untuk beramal ibadat.

Setelah selesai 44 malam dia menunaikan tahjud itu, isterinya belum juga sampai waktu untuk melahirkan anak. Oleh itu setiap lepas maghrib Pandak Hassan membaca Yassin.

Begitulah sehinggalah sampai waktu isterinya mahu melahirkan anak. Dengan izin Allah isterinya melahirkan anak dengan mudah, dan tidak merasa sakit yang kuat.

Semasa isteri Pandak Hassan melahirkan anak, Kamarul anak saudaranya ada bersama di rumah Pandak Hassan. Masa ini Kamarul baru berumur 8 tahun saja.

“Masa tu umur saya 8 tahun je, tapi saya masih ingat juga.”

Jelas Kamarul memberitahu saya.

Isteri Pandak Hassan selamat melahirkan anak pada jam 5 petang. Terlalu gembira hatinya, kerana anak dan isterinya selamat. Dia terus mengazankan anaknya sebaik saja diserahkan oleh Mak Bidan.

“Tak ada kau cari tangkal apa-apa Pandak?”

Emak mertuanya cemas setelah isterinya selamat melahirkan anak itu. Pandak Hassan mendiamkan diri. Dia yakin isterinya tidak akan dapat diganggu lagi hantu penanggal yang menakutkan penduduk-penduduk kampungnya.

“Bukanlah aku dah suruh kau siap-siapkan tangkal tu!”

Orang tua itu memarahi Pandak Hassan.

“Saya dah jumpa dengan Tok Aki.”

Sahut Pandak Hassan menjelaskan.

“Tok Aki pula?” soalnya heran.
“Tok Aki di Gunung Semanggol...” kata Pandak Hassan perlahan.

“Orang tua tak siuman tu.”

Emak mertuanya menyindir sambil mencebikkan bibir.

“Apa yang orang tua tu boleh buat, dirinya pun tak terjaga kau nak suruh dia buat tangkal.”

Ujarnya kesal disebabkan Pandak Hassan pergi menemui Tok Aki.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience