BAB 10

Romance Completed 6611

“Hah setan tak akan dapat melawan ilmu Allah,“ ujarnya menggertap bibir.

“Macam ni laa, Tok Aki.”

Tok Imam Husin menghampiri dia.

“Janganlah kita bunuh dia tu, kita lepaskan dia.”

Dia meminta dengan penuh tanggungjawab.

“Terpulanglah pada Pandak sendiri,” beritahu Tok Aki tersengih-sengih.

“Dia yang kurung, biarlah dia sendiri yang lepaskan,” katanya mengerling Pandak Hassan.

“Saya tak tahu Tok Aki.”

Keluh Pandak Hassan serba salah.

Kemudian Tok Aki menarik tangan Pandak Hassan dan Tok Imam Husin mendekati rumpun mengkuang. Orang-orang kampung juga ikut sama mendekati rumpun mengkuang itu.

Ada yang membawa lampu gaslin untuk menyuluh kepala yang tersangkut pada duri mengkuang.

Kepala itu tidak bergerak. Matanya terkebil-kebil memerhati orang ramai yang menontonnya.

Perutnya berjurai-jurai dengan api berwarna hingga kawasan rumpun itu juga boleh diterangi oleh api yang ada di tali perutnya.

“Sekarang orang kampung sudah kenal kau.”

Kata Tok Aki mengejeknya.

“Kalau kau berani ganggu orang lagi, kau takkan dapat melepaskan diri kau!”

Dia memberi ingatan.

Kepala yang tersangkut itu tidak berkata apa-apa. Matanya saja terkebil-kebil. Memang ada juga setengah dari orang tua-tua kenal kepala tersebut. Tetapi mereka tidak menyangka pula orang yang baik sepertinya sanggup mengamalkan ilmu-ilmu sesat.

“Memang kau nak buat sial!”

Jerkah Tok Imam Husin.

“Mak bapak kau tak mengajar ilmu-ilmu setan, tapi kau sengaja nak memalukan emak bapak sendiri.”

Kata Tok Imam Husin menunjukkan kemarahannya.

Kepala itu tetap tidak berkata apa-apa selain dari matanya saja terkebil-kebil. Mungkin dia terasa malu kerana orang-orang kampung di situ sudah mengenali dirinya.

Sekalipun dia datang dari kampung lain yang berdekatan tetapi kepalanya tidak dapat digerakkan.

Sebaik saja isteri Pandak Hassan bersalin bau hanyir darah itu sudah dapat diciumnya. Sebab itulah dia cepat-cepat keluar dari tubuhnya menghisap darah mangsanya. Semasa dia menghisap darah itu memang jelmaan tubuhnya tidak kelihatan, akibatnya pada penglihatan mata zahir mangsanya itu seolah-olah terkena tumpah darah. Kalau mangsanya tidak sedar akan berlakunya perbuatan dia menghisap darah, sudah tentulah mangsanya menemui ajal.

Selepas menghisap darah dia akan balik ke rumahnya dan terus masuk ke dalam tempayan yang berisi cuka bagi mengecutkan perutnya sebelum masuk semula ke dalam tubuh. Apabila dia masuk di dalam tubuhnya adalah terbalik iaitu mukanya ke belakang.

Kemudian perlahan-lahan dia akan memusingkan semula mukanya supaya balik ke hadapan. Ketika dia menanggalkan kepalanya untuk keluar dari badan, kedudukannya ialah menelungkup.

Sebab itulah kalau ada orang yang tahu sesiapa menjadi penanggal ini bolehlah menyerbu ke rumahnya dan balikkan tubuhnya supaya terlentang. Jadi apabila dia masuk semula kepalanya akan berpusing dari atas ke bawah.

Esoknya akan dapatlah dilihat orang kepalanya berpusing dengan muka ke belakang.

Ketika kepalanya tanggal dari badan, memang dia tidak sedar apa-apa kerana dirinya telah dikuasai oleh polong tadi.

“Pandak tak mahu berdendam dengan kau.”

Tok Aki mengingatkan.

“Baliklah kau, kerana kau tak akan dapat melawan ilmu-ilmu Allah,” katanya mencabar penanggal tersebut.

Tok Aki meminta Pandak Hassan memberikan air kepadanya segelas.

Setelah Pandak Hassan memberikan air tersebut, Tok Aki membacakan Al-Fatihah tiga kali, kemudian diikuti dengan Surah Ad-Dhuha.

“Dengan izin Allah saja kau boleh balik semula mendapatkan badan kau.”

Tok Aki mendoakan. Dia menyimbahkan air di dalam gelas itu sehingga menyinggahi kepala yang tersangkut pada duri mengkuang itu.

Selepas itu barulah kelihatan kepala itu menegakkan kedudukannya. Perlahan-lahan tali perutnya dapat dilepaskan dari cangkukan duri mengkuang. Kemudian dia terbang dan hilang dalam sekelip mata.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience