BAB 2

Romance Completed 6611

Suatu ketika dulu, kegelisahan orang-orang kampung di Air Mati ialah gangguan terhadap ibu-ibu yang baru melahirkan anak. Selalunya ibu-ibu bersalin akan menghadapi keadaan turun darah kalau dibawa ke hospital. Bagaimanapun kebanyakkan mereka ini masih dapat diselamatkan apabila dibawa ke hospital.

Ibu-ibu yang hendak melahirkan anak semakin bimbang akan mengalami tumpah darah ini, di samping mereka takut pula untuk beranak di hospital. Anehnya, kenapa tumpah darah ini sentiasa berlaku kepada ibu-ibu yang melahirkan anak-anak di kampung ini.

Disebabkan kebimbangan ini Pandak Hassan menemui Tok Aki di Gunung Semanggol bertanyakan masalah yang dihadapi oleh orang-orang di kampungnya. Bagaimanapun Tok Aki tidak dapat menjelaskan kedudukan sebenarnya. Cuma dia mengagakkan mungkin ada gangguan dari 'penanggal' atau polong.

Sama ada hantu penanggal mahupun polong memang gemar menghisap darah perempuan baru lepas bersalin.

“Habis, mengapa kalau bawa ke hospital boleh baik?”

Tanya Pandak Hassan pada Tok Aki.

“Bau ubat-ubat di hospital itu pun dia tak tahan.”

Ujar Tok Aki perlahan.

“Apabila dibawa ke hospital tak payah lagi ubat pun tak apa lagi dah.”

Katanya menjelaskan.

Bagaimanapun dia tidaklah bermaksud supaya jangan diberi ubat kepada ibu-ibu yang mengalami tumpah darah itu. Sebenarnya gangguan dari hantu penanggal atau polong itu tidak berani lagi mengikut mangsanya apabila mangsanya itu dipindahkan ke hospital.

“Jadi, macam mana kita nak buat Tok Aki?”

Pandak Hassan merasa bimbang kerana isterinya sarat mengandung dan hampir akan bersalin.

“Dekat kampung kau pun ada orang yang handal, buat apa jumpa aku?”

Tok Aki macam menyindir Pandak Hassan yang terburu-buru mencari dia, padahal isterinya lambat lagi akan bersalin.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience