BAB 4

Romance Completed 6611

Sedapat-dapatnya Tok Aki tidak mahu memberi apa-apa tangkal azimat bagi menghadapi gangguan hantu penanggal itu. Dia hanya menyuruh Pandak Hassan melakukan sembahyang tahjud di tengah malam hari di samping memohon kepada Allah supaya dijauhkan sebarang bencana dari menimpa isterinya.

Bagaimanapun dia memberikan doa kepada Pandak Hassan supaya diamalkan selepas sembahyang tahjud itu. Hampalah Pandak Hassan hendak mendapatkan tangkal dan azimat dari Tok Aki, kerana orang tua itu enggan memberikannya.

Dari anak buahnya Kamarul yang menceritakan kisah ini semula kepada saya, memang Pandak Hassan melakukan seperti yang disuruh oleh Tok Aki. Tetapi Pandak Hassan memang tahu mengenai diri Tok Aki yang warak orangnya itu.

Kebanyakan orang hanya menganggap Tok Aki sebagai orang tidak siuman saja, kerana pakaiannya yang robak-rabek dan bertampal-tampal, di samping suka merungut-rungut sendirian.

Sebab itulah Pandak Hassan sanggup mengayuh basikal sampai tujuh lapan batu dari Air Mati ke Gunung Semanggol, semata-mata mencari Tok Aki.

“Memang Tok Aki nampaknya macam orang tidak siuman saja.”

Ujar Kamarul bila mengingatkan semula sikap Tok Aki.

Kadangkala dia datang minum kopi di Celah Lumut, hanya beberapa minit saja dia duduk, lantas bangun mahu ke Benut pula. Padahal Celah Lumut dengan Benut bukanlah dekat. Lebih 100 batu jauhnya.

Tetapi memang orang nampak dia mengayuh basikal menuju ke arah ke Jelebu untuk pergi ke Benut. Sebaliknya lima minit kemudian dia balik semula, untuk menghabiskan sisa kopi yang diminumnya tadi.

Perangainya inilah yang dikatakan orang tidak siuman. Satu waktu pernah terjadi dia sedang minum kopi di Batu Kikir, tiba-tiba saja dia bangun kerana hendak membeli kuih kuaci di Bahau.

Katanya dia teringin hendak memakan kuih dari kedai yang selalu dibelinya kuih kuaci apabila dia ke Benut.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience