BAB 6

Romance Completed 6611

“Macam mana tahu Tok Aki ni?” tanya Kamarul.

“Semuanya kehendak Allah.”

Sahut saya tersenyum.

“Memang orang merasa hairan kenapa saya suka berkenalan dengan orang-orang seperti Tok Aki ini. Bagi saya zahirnya saja tidak boleh diberi penilaian dengan mata hati kita. Saya mencari Tok Aki pun kerana mahu bertanyakan sedikit sebanyak yang kita tidak tahu darinya.”

“Saya tanyakan padanya sama ada kenal encik atau tidak.”

Jelas Kamarul macam mengingatkan sesuatu.

“Tetapi, dia kata tak kenal,” katanya terangguk-angguk.

Saya tersenyum mendengar penerangan Kamarul. Memang itulah sikap Tok Aki, kalau ditanyakan padanya sama ada kenal atau tidak orang-orang yang pernah menemuinya, dia akan menjawab,

“Ramai yang datang ke sini, mana saya nak ingat.”

Setelah orang ramai tahu tentang keluar-biasaan Tok Aki ini, ada juga orang menjemputnya ke rumah untuk membaca doa selamat. Tok Aki memenuhi jemputan orang berkenaan. Tetapi selepas dia membaca doa selamat, dia pun balik dengan tidak mahu menjamah makanan yang dihidangkan.

“Mengapa tuan tak makan dulu?” tanya tuan rumah kebingungan.

“Tadi awak jemput saya untuk baca doa selamat, bukan untuk makan.”

Jelasnya dan terus beredar dari situ.

Disebabkan orang sudah tahu bagaimana cara mengajaknya, maka apabila diajak dia kenduri akan disebutkan permintaan untuk membaca doa selamat dan terus makan sekali. Barulah Tok Aki mahu makan selepas dia membaca doa selamat.

Tetapi ada juga tatkala sedang makan tuan rumah akan mempersilakan seperti kelaziman yang dibuat oleh orang-orang Melayu di kampung iaitu, “Jemputlah makan tuan, lauknya tak ada, cuma itu saja”.

Tujuan tuan rumah hanya sebagai merendah diri saja, bukanlah apa-apa tujuan di sebaliknya. Setelah mendengar kata-kata tuan rumah itu, Tok Aki akan makan nasi saja dengan tidak mengambil sedikit pun lauk.

“Bubuhlah lauk tuan...” tuan rumah akan memperlawanya.

“Eh, tadi kata tak ada lauk.”

Sahutnya dan terus menyuap nasi dengan tidak sedikit pun menyentuh lauk.

Selepas selesai kenduri, tuan rumah akan memberikannya wang sepuluh ringgit sebagai budi bahasa kelaziman orang-orang di kampung memanggil orang membaca doa di rumahnya.

“Tuan, ambillah sedekah ni.”

Ujar tuan rumah menghulurkan wang sepuluh ringgit.

Dengan pantas dia menepis tangan orang itu sambil katanya,

“His, saya tak patut menerima sedekah, badan saya masih kuat lagi bekerja. Yang menerima sedekah ni fakir miskin”.

Jadi, kalau memberi dia wang memadai dengan serahkan saja sewaktu bersalam dan jangan berkata apa-apa. Dia akan mengambil sambil menadah tangan bersyukur kepada Allah.

Tetapi ada juga tuan rumah yang memberi wang sambil berkata,

“Tuan, ini saya beri tambang-tambang kereta aje”.

Tuan rumah sengaja berkata begitu kerana tidak ada tujuan, walaupun dia tahu Tok Aki datang ke rumahnya dengan menunggang basikal.

Tok Aki tidak menolak. Dia akan menerima wang pemberian itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience