BAB 9

Romance Completed 7816

“TAK payahlah masak. Abang beli aje,” buat pertama kalinya, Akmal membahasakan dirinya Abang. Azeliza terkedu lagi.

“Tapi, makanan mentah banyak lagi, tak membazir ke?” soal Azeliza, perlahan, melabuhkan punggung di atas sofa sambil memicit lembut betisnya yang kelenguhan.

“Tak apa. Nanti, kalau umi datang, umi masaklah guna yang tu,” Akmal berujar. Azeliza angguk sahaja. Malas mahu bertekak.

“Iza naik atas dululah, nak solat. Abang pergi beli sendiri tak apa ‘kan?” soal Azeliza seraya bangun perlahan-lahan dari sofa untuk ke tingkat atas. Akmal angguk. Senyuman melebar sedari tadi. Azeliza melangkah naik ke tingkat atas untuk menunaikan solat Maghrib. Akmal pula berlalu keluar.

Azeliza menutup pintu kamar dan menangis perlahan. Dia sayu. Teramat sayu. Seketika, hanya tangisan yang menemaninya. Kemudian, wudhu’ diambil dan solat Maghrib disusuli dengan solat hajat. Kemudian, dia melangkah ke kamar tetamu. Di situlah tempatnya selalu meluah rasa hati sendiri.

Perlahan, punggungnya dilabuhkan di atas katil itu.

“Umi..” air matanya mengalir lagi. Perutnya diusap.

“Apa salah Iza umi? Iza tak faham semua ni,” dia teresak-esak menangis.

“Iza tahu, Iza tak ada di hati abang. Iza tak tahu kenapa abang berubah kasih dengan Iza. Sebelum kahwin, abang janji tak akan sia siakan hidup Iza, tapi apa semua ni, umi?” Azeliza merintih sendiri.

Tanpa sedar, Akmal sudah berada di luar bilik mendengar setiap patah bicaranya.

“Iza tahu, abang jaga Iza sebab anak-anak ni saja. Walaupun Izalah yang mengandungkan anak ni, Iza yang akan susukan anak-anak abang ni..tapi Iza tetap tak ada dalam hati abang, umi,” tangis Azeliza.

“Iza pun tak tahu apa akan jadi bila anak-anak ni lahir nanti, umi,” Azeliza mengelus perutnya.

“Doktor cakap, Iza ada komplikasi. Baby pun ada komplikasi. Iza takut tak dapat hidup lama. Iza takut tak dapat curahkan kasih Iza pada anak-anak Iza macam umi curahkan kasih umi pada Iza dulu,” Azeliza bersuara dan pernyataan ini menyentak hati Akmal kerana dia tidak mengetahui apa-apa pun.

“Iza tak bagitahu abang sebab Iza tak nak abang tiba-tiba sayangkan Iza sebab simpati atau sekali lagi sebab anak-anak dalam kandungan Iza ni. Iza sedar diri Iza. Iza lebih selesa mengikut jejak umi,” kata-katanya begitu perlahan dan sayu sekali.

“Biarlah abang cari isteri yang lain selepas ketiadaan Iza. Biarlah wanita yang menjadi pilihan abang yang menjaga anak-anak abang. Sebab awal-awal lagi, abang dah bagitahu, ini cuma anak-anak abang. Iza seolah tak punya hak, umi..” Azeliza menahan air matanya kali ini. Hatinya terlalu bengkak, sakit.

Akmal pula terkedu. Dia tertanya-tanya mengapa tidak diluahkan perkara ini kepadanya.

“Umi..doakan Iza selamat lahirkan anak-anak ini. Dan, kalau lepas tu takdir Iza syahid, Iza redha,” Azeliza menangis lagi. Air matanya mencurah-curah. Akmal yang mendengar terasa sangat bersalah.

Dia bersalah kerana membiarkan dirinya dikuasai ego sehingga tidak langsung mengambil berat tentang kebajikan isterinya. Sehinggakan isterinya mengalami komplikasi pun tidak diketahuinya!

Dan, dia juga rasa bersalah kerana mengenepikan hak wanita itu sebagai ibu kepada anak-anaknya. Padahal, Azelizalah yang menanggung sakit pening, muntah loya, sengal-sengal pinggang sendirian membawa tampungan itu.

Selepas ini, bakal melahirkan pula anak-anak itu dalam keadaan masing-masing menghadapi komplikasi. Berdosakah wanita itu?

Kejamnya dia membiarkan wanita itu sakit sendirian. Akmal berlalu ke tingkat bawah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience