BAB 12

Other Completed 1211

” Bila keputusan tu akan keluar Han.” Tanya Zakiah kepadaku apabila kami selesai jogging petang itu. Kali ini kami hanya sekadar berjalan kaki sahaja mengelilingi tasik yang tak sebesar mana ini.

” Keputusan apa?”

“Alaa, cerpenlah. Saya tak sabar nak tengok awak menang ke atau tidak.”

” Entahlah, saya pun tak tahu. Tengoklah nanti. Menang atau tak itu bukan impian saya. Saya hanya berharap isi cerpen itu sampai kepada pembaca di luar sana.” Kataku terus terang.

“Ya, betul tu. Karya yang bermutu adalah karya yang mampu memberikan mesej kepada masyarakat. Bukankah begitu sahabatku?” Ujar Zakiah. Saja mengusikku. Aku hanya tersenyum. Suasana sepi seketika. Kami berdua lebih suka menghayati keindahan alam daripada berbual-bual.

“Eh, apa tu?” Tiba-tiba sahabatku ini bersuara.

“Apa dia?” Tanyaku, hairan dengan gelagat sahabatku itu.

“Tu. ehhh, Han. Rama-ramalah Han.” Ujar Zakiah girang sambil menunjukkan sekumpulan makhluk Allah yang semakin dekat menuju ke arah kami. Rama-rama pengembara itu terbang berkumpulan melalui tengah-tengah tasik dan kami juga tidak terkecuali menjadi sasarannya. Aku terkedu seketika. Aku semacam tidak percaya dengan apa yang aku lihat apabila melihat berpuluh-puluh rama-rama pelbagai warna terbang dekat denganku. Seekor rama-rama yang cantik dan kecil bertenggek di bahuku. Sayapnya kelihatan berkibar-kibar tidak berhenti. Serta merta air mataku tumpah ke tanah. Hatiku menjadi sayu.

” Ya Allah, engkau telah kabulkan permintaanku. Terima kasih ya Allah.” Bisik hatiku. Bersyukur. Aku menyentuh rama-rama yang bertenggek di bahuku itu. Dia mengeliat manja. Aku tersenyum. Gembira. Aku berasa hidupku yang selama ini diselubungi kekosongan, kesepian dan kerinduan telah diisi dengan keseronokan dan kebahagiaan. Akhirnya aku telah menemui temanku kembali. Saat ini aku berasa bagai dilahirkan semula. Hampir lima belas minit, barulah pengembara rama-rama itu hilang dari pandangan kami. Begitu juga dengan rama-rama yang bertenggek di bahuku. Zakiah yang juga sebentar tadi asyik merenungku memegang bahuku.

“Kenapa Han. Tadi saya tengok awak sedih. Tiba-tiba gembira balik. Kenapa?”Tanyanya hairan.

“Saya dah dapat hidup saya balik Zah. Saya dah dapat hidup saya balik.” Ujarku girang. Sahabatku itu hanya tersenggih.

” Hairan saya dengan sikap kau ni.”

“Zah, rama-rama tu Zah…rama-rama tu…suatu hari nanti saya pasti akan menceritakannya padamu.” Kataku kemudian meninggalkannya dalam keadaan tertanya-tanya.

Esoknya, sekembalinya aku dari kelas, Zakiah datang padaku sambil menunjukkan sebuah akhbar padaku.

” Kenapa?” Aku menjadi hairan.

“Tengoklah.” Aku melihat apa yang dimaksudkannya. Hampir aku tidak percaya rupanya cerpenku telah memenangi hadiah sastera peringkat negeri yang kuhantar sebulan yang lalu. Di bawahnya terpampang besar tajuk cerpenku berserta ceritanya sekali.

-AKU DAN SI RAMA-RAMA ( Sebuah Kisah Tentang Manusia dan Binatang)-

” Sekarang awak tak payah bercerita tentangnya sebab saya dah tahu maksud kesedihan dan kegembiraan awak semalam.” Jelas Zakiah padaku sebelum dia meninggalkan aku sendirian. Aku tersenyum.

‘Syukur Ya Allah, engkau telah memberikan aku dua kegembiraan. Satu adalah permintaanku dan satu lagi adalah harapanku. Alhamdulillah.’ Bisikku dalam hati. Kegembiraan, kepuasan dan kelegaan telah menemani hidupku kembali. Tidak sangka kehadiran si rama-rama semalam telah memberikan sinar kebahagiaan dalam hidupku.

-TAMAT-

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience