Bab 4

Romance Series 16121

“LIA,” sapa Umar. Belakang leher diusap perlahan. Janggal betul rasa apabila sudah lama tidak bertemu dengan Dahlia.

“Umar.” Dahlia tersenyum kelat. Entah kenapa rasa macam pertama kali bertemu dengan Umar pula. Padahal sudah bertahun-tahun mereka berkawan.
“Kau sihat?” soal Umar. Wajah Dahlia ditatap. Tak ada apa yang berubah. Dahlia masih sama seperti kali terakhir mereka bertemu lima bulan lepas. Malah Dahlia makin cantik di pandangan matanya.

Dahlia mengangguk perlahan. “Sihat. Kau sihat? Umi macam mana? Sihat?” Nampak Umar, terus Dahlia teringat pada Mak Minah. Rindu menggebu pada wanita yang sudah dianggap seperti ibu kandung sendiri itu.

“Aku sihat. Alhamdulillah umi pun sihat. Ni dia ada masakkan lauk kegemaran kau, asam pedas ikan pa...” Tak sempat Umar nak habiskan ayatnya, ada suara yang terlebih dahulu memintas.

“Susah-susah je lah Umar bawa lauk tu. Lia ni dah terbiasa makan makanan orang puteh. Lalu lagi ke tekak dia nak makan lauk kampung tu?”

Riak wajah Dahlia terus berubah. Bahunya mengendur. Terasa membahang wajahnya apabila Mak Esah memerlinya di hadapan Umar. Memanglah dia dah biasa dengan Umar. Tapi lepas berbulan tidak berjumpa, dia dan Umar bagaikan orang asing.

Mata Umar mencari wajah Dahlia. Mahu melihat reaksi wanita itu. Dia nampak riak wajah Dahlia serta merta berubah. “Pak cik mana?” soal Umar. Saja mengubah topik. Terbit pula rasa simpati melihat wajah suram Dahlia.

“Pak cik keluar sekejap. Pergi melawat Tok Ketua. Umar tahu kan Tok Ketua baru keluar hospital?”

Umar mengangguk. Mengiakannya.

“Eh, jomlah kita berbual dekat dalam. Panas dekat luar ni,” ajak Mak Esah. Baru perasan mereka hanya berbual di luar rumah.

“Jom Umar. Mak cik ada buat bingka ubi tadi. Umar suka kan?”

Umar tersenyum mendengarnya. Langkah kananlah nampaknya dia hari ini. Bingka ubi memang kuih kegemarannya. Lagi-lagi kalau air tangan Mak Esah.

Mak Esah terus berlalu masuk ke dalam. Sedikitpun dia tidak menoleh ke arah Dahlia. Umar pula menyusul di belakang. Namun saat kaki memijak anak tangga, dia berhenti dan memandang ke arah Dahlia yang masih berdiri di luar rumah.

“Lia, kau tak nak masuk ke?” soal Umar.

“Kau masuklah dulu. Sekejap lagi aku masuk,” balas Dahlia yang sedang memeluk tubuh itu.

Umar mengangguk kecil. “Jangan duduk luar lama-lama. Panas ni,” pesannya sebelum berlalu masuk ke dalam.

Dahlia sekadar mengangguk. Nafas dihela berat. Perlahan kaki dihayun malas masuk ke dalam rumah.
MAK Esah dan Umar rancak berbual di dapur. Kehadiran Dahlia bagaikan tidak wujud di situ. Dia hanya memasang telinga menjadi pendengar. Terbit rasa cemburu melihat Mak Esah melayani Umar dengan begitu baik. Begitu berbeza dengan layanan Mak Esah padanya.

“Kau tak makan ke Lia?” Suara Umar menyentakkan lamunan Dahlia.

“Sekejap lagi aku makan,” balasnya.

Mak Esah mencebik. “Tekak dia dah tak boleh nak terima makanan kampung macam ni Umar. Umar makan je lah. Mak cik memang buat bingka ubi ni untuk Umar.”

Mendengar itu, Dahlia ketap bibir menahan rasa yang kian memberat. Dia tersenyum hambar pada Umar. “Lia minta diri dulu.” Dahlia bangun. Lebih baik dia tidak duduk di satu ruang yang sama dengan Mak Esah. Selepas ini entah apa lagi yang ingin wanita itu katakan padanya.

Umar hanya memandang kosong belakang tubuh Dahlia yang bergerak meninggalkan dapur.

“Makan lagi Umar. Banyak ni,” suruh Mak Esah.

Umar mengangguk kecil. “Terima kasih Mak cik,” ucapnya. Entah kenapa dia dapat rasakan hubungan Mak Esah dan Dahlia sedang tegang ketika ini. Tak berani nak bertanya. Walaupun dia dan keluarga Dahlia rapat, masih ada batas yang perlu diletakkan. Tak mahu dicop penyibuk hal rumahtangga orang.

DAHLIA tak dapat melelapkan matanya. Fikirannya melayang jauh teringatkan cadangan tak masuk akal Edri. Kata bekas suaminya itu, hanya satu cara saja yang mereka boleh lakukan untuk bersama kembali iaitu dengan mencari cina buta.

Memang Dahlia masih cintakan Edri. Kalau boleh dia tidak mahu berpisah dengan lelaki itu. Tapi apakan daya, akhir hubungan mereka jadi begini pula. Tapi tak terfikir dek akalnya untuk mengikut cadangan Edri. Mana dia nak cari cina buta?

Kalaulah Mak Esah tahu, makin mengamuk orang tua tu. Sungguh kepala Dahlia serabut ketika ini!

“Tak ada cara lain ke?”
“Mana ada cara lain dah. Awak carilah mana-mana lelaki yang sanggup jadi cina buta. Kalau perlu saya bayar, saya akan bayar berapa banyak yang dia nak.”

Dahlia terdiam. Nak menangis rasanya sekarang ni. Inilah akibatnya bila buat keputusan dalam keadaan marah. Sekarang ni nak menyesal pun dah tak berguna lagi.

“Lia? Awak dengar tak?” panggil Edri di hujung talian.

“Ya. Saya dengar.” Dahlia menarik nafas dalam-dalam sebelum dihembus perlahan.

“Saya takut Ed. Macam mana kalau mak dan abah saya tahu? Makin marah dia orang pada saya.” Suara Dahlia kedengaran resah. Tak mampu dia sembunyikan perasaannya ketika ini.

“Kalau awak tak beritahu rancangan kita ni, dia orang tak akan tahu Lia. Awak sayangkan saya ke tak ni? Atau awak memang dah mengalah dengan hubungan kita? Awak dah tak nak hidup dengan saya lagi?” Edri cuba memancing Dahlia.

“Ed... Bukan macam tu. Saya sayangkan awak. Tapi saya tak sanggup nak ikut cadangan awak tu. Mana saya nak cari cina buta? Perkahwinan ni bukan perkara main-main Ed.” Memang Dahlia tak berapa pandai sangat bab agama. Tapi dia masih tahu dosa pahala. Waktu sekolah dulu pun dia pernah belajar tentang hukum hakam perkahwinan.

“Lia, listen here. Saya tahu mungkin apa yang kita buat ni salah.” Bukan mungkin lagi Edri. Dah memang terang-terangan ianya salah.

“Tapi apa lagi jalan yang kita ada selain dari gunakan cina buta? Tak ada Lia. Kita dah tak ada jalan lain.”

“Ed, dekat mana saya nak cari cina buta? Ada ke lelaki yang sanggup jadi cina buta?” soal Dahlia.

“Zaman sekarang ni, orang sanggup buat apa saja untuk duit. Saya boleh bayar berapa banyak yang dia nak. Lia, kalau awak masih nak kita bersama tolonglah ikut rancangan saya ni.” Edri masih tak mengalah memujuk Dahlia.

Dahlia dalam dilema sekarang ni. Dia juga mahukan Edri semula. Namun hatinya berat untuk mengikut rancangan Edri. Kalau dah gunakan khidmat cina buta, ini bermakna dia perlu berkahwin dengan lelaki itu. Gila! Macam mana dia nak kahwin dengan lelaki yang langsung dia tak kenal. Biarpun pernikahan mereka hanya sementara.

Apa pula alasan dia nak bagi pada Pak Rahim dan Mak Esah nanti? Kalau tahu dek orang tua itu rancangan gila ini, mahu dikejarnya Dahlia dengan parang.

Cuma satu nama yang terlintas di dalam fikirannya ketika ini. Umar! Ya, hanya Umar yang boleh membantunya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience