Bab 12

Romance Series 16121

SUASANA ruang makan pagi itu sunyi saja. Hanya kedengaran bunyi sudu dan pinggan berlaga. Masing-masing menikmati sarapan pagi itu sambil melayan perasaan sendiri.

“Morning semua,” sapa Edri yang baru datang menyertai mereka. Kerusi di sebelah Edrina ditarik lalu dilabuhkan duduknya di situ.
Baru Edri nak cedok nasi goreng ke masuk ke dalam pinggan, Datin Jaunah tiba-tiba menyoal. Sekaligus memecahkan kesunyian antara mereka.

“Betul ke perempuan tu dah kahwin?”

Tiga pasang mata yang berada di situ memandang Edri meminta jawapan.

“Perempuan? Perempuan mana?” Edri saja pura-pura tidak faham. Padahal dia tahu perempuan yang dimaksudkan oleh ibunya itu ialah Dahlia. Entah daripada mana keluarganya tahu Dahlia sudah bernikah lagi.

“Ex wife abang tu lah. Siapa lagi.” Edrina menyampuk.

“Rina,” tegur Dato’ Zulkifli.

Edrina terus kunci mulut. Kecut perutnya melihat tatapan garang Dato’ Zulkifli.

“Mama dah cakap daripada awal, perempuan tu memang perempuan murahan. Eloklah Ed dah bercerai dengan dia. Perempuan kampung macam dia tu tak layak untuk anak mama.” Datin Jaunah melampiaskan amarahnya.

Masih terbayang-bayang senyuman polos bekas menantunya itu di minda. Tak sangka lepas saja habis tempoh idah, wanita itu sudah berkahwin lain. Entah-entah selama ini dia curang di belakang Edri.

Sejak daripada awal dia memang tidak bersetuju Dahlia menjadi menantunya. Perempuan yang berasal daripada kampung itu tidak layak untuk menjadi isteri Edri. Tapi nak buat macam mana, Edri bertegas juga mahu berkahwin dengan Dahlia. Dia tak mampu nak menghalang lagi.

Edri menghela nafas berat. Keluarganya masih tidak tahu perancangan mereka. Ada baiknya dia kunci mulut dahulu. Tunggu keadaan reda dulu barulah dia beritahu rancangannya untuk rujuk semula dengan Dahlia.

“Ed, Ed jangan sedih ya. Mama boleh carikan perempuan yang seribu kali lebih baik daripada dia.” Datin Jaunah risau jika anaknya itu masih berharap pada Dahlia.

“Mama tak perlu risau. Ed okey.”

“Sudahlah. Kita tak perlu bercakap tentang hal-hal tak penting ni lagi.” Dato’ Zulkifli yang sedari tadi hanya menjadi pendengar akhirnya bersuara. Tegas.

Edri mengangguk perlahan. Datin Jaunah juga langsung menutup cerita tentang Dahlia. Walaupun hatinya sakit, yang penting dia puas apabila tahu Edri dan Dahlia sudah bercerai talak tiga. Mereka tidak akan kembali bersama.

SELEPAS solat subuh tadi, Dahlia sambung tidur. Dia masih mengantuk. Umar pula terus ke kandang lembunya. Katanya ada lembunya yang akan beranak tidak lama lagi. Jadi dia perlu memantaunya kerap.
“Lia, bangun!” Mak Esah gegarkan pintu bilik anaknya itu. Nasib baiklah Umar dah keluar. Kalau tak, mahu menantunya itu terkejut mendengar dia memetir.

Dahlia yang sedang lena dibuai mimpi itu langsung terjaga. Dia mengeluh berat. Tak boleh ke Mak Esah biarkan dia tidur dengan tenang?

“Dahlia!”

Bila dengar Mak Esah dah panggil nama penuh dia, Dahlia cepat-cepat tolak selimut lalu turun daripada katil. Sebelum Mak Esah berubah menjadi Hulk, lebih baik dia bangun.

“Mak nampak Umar?” tanya Dahlia sambil berjalan ke dapur. Kelibat lelaki itu langsung tak singgah di mata. Entah ke mana Umar pergi pun dia tak tahu.

“Suami kau tu pagi-pagi dah keluar mencari rezeki. Bukannya macam kau. Lepas subuh terus sambung tidur. Macam mana rezeki nak masuk?”

Dahlia garu kepalanya yang tidak gatal. Aduh, dah mula dah… Silap dia tanyakan soalan itu pada Mak Esah. Umar ni pun satu, bukannya nak beritahu dia dulu. Hilang macam tu je.

Cerah biji mata Dahlia bila nampak makanan sudah terhidang di atas meja. Ada nasi lemak, lepat pisang dan juga bihun goreng. Banyak betul Mak Esah masak pagi ni.

“Lia, bila kau ni nak berubah? Dah berbuih mulut mak ni pesan, jangan tidur lepas subuh. Dah kahwin pun masih buat perangai sama. Nasib baiklah Umar tu tak kisah. Mak pula yang malu dengan dia.” Mak Esah sambung bagi tazkirah lagi.

Dahlia ketap bibir. Ingatkan dah habis. Rupanya masih ada sambungan. Nampaknya pagi ni terpaksa dia tadah telinga mendengar bebelan Mak Esah. Nak buat macam mana, salah dia juga.

“Assalammualaikum.”,

Lebar senyuman Dahlia saat mendengar suara garau itu. Yes! Umar dah balik. Lelaki itu memang penyelamatnya.

“Waalaikumsalam,” jawab Dahlia dan Mak Esah serentak.

“Umar, marilah makan sekali. Tadi tak sempat nak sarapan. Macam mana dengan lembu tu? Dah beranak ke?” soal Mak Esah ramah.

“Belum lagi mak cik… Err maaf, mak.” Umar masih janggal nak ubah panggilan. Lainlah Dahlia. Dia memang panggil Mak Minah umi sejak daripada kecil lagi.

Mak Esah hanya senyum. Tengok Umar, tenang je hati dia tapi kalau tengok Dahlia entah kenapa hatinya jadi panas. Ada saja benda yang tak kena. Sebab tu Dahlia selalu cakap dia lebihkan Umar.

Mencerlung mata Mak Esah bila tengok Dahlia dah duduk makan. Bertuah punya budak. Bukannya nak hidang untuk suami dulu.

“Lia.”

Dahlia angkat kepala. Sedap sangat nasi lemak Mak Esah sampai dia tak tengok kiri kanan.

“Hidangkanlah untuk suami dulu.” Mak Esah terpaksa tahan suara. Kalau Umar tak ada dekat sini, dah memetir dia dekat situ.

“Eh tak apa mak. Biarlah Lia makan. Lapar kut. Kesian isteri Umar ni.” Umar mengusap perlahan rambut Dahlia. Saja nak mengusik.

Dahlia ketap bibir. Umar ni memang sengaja cari fasal! Dahlia langsung bangun menuju ke sinki untuk membasuh tangan.

“Kau nak makan nasi lemak atau bihun goreng?” soalnya pada Umar. Nak tak nak, dia hidangkan juga untuk Umar. Nanti kalau dia buat tak tahu, mahu kepalanya diluku Mak Esah.

“Hei, dah kahwin pun masih berkau-aku?” tegur Mak Esah.

Dahlia dan Umar langsung saling berpandangan. Kelu lidah masing-masing nak menjawab.

“Nanti kami ubah ya mak,” balas Umar. Cuma itu je yang dia boleh jawab. Kalau boleh dia juga mahu mengubah panggilan mereka tapi masih baru lagi. Tentu Dahlia tidak selesa. Lagipun mereka sudah terbiasa dengan panggilan kau-aku selama berbelas tahun. Kalau diubah pasti terasa janggal.


SELEPAS bersarapan, Dahlia tawarkan diri mahu mengikut Umar ke kandang lembunya. Macamlah Umar tak tahu dia sengaja nak ikut Umar sebab tak nak dengar tazkirah percuma Mak Esah.

“Kenapa kau keluar tak beritahu aku? Tak pasal-pasal aku kena marah dengan mak,” rungut Dahlia.

Umar ketawa. “Dah tu, siapa yang suruh kau tidur mati? Penat sangat macam baru balik berperang je.”

Dahlia melempar jelingan tajam. Ah, Umar pun sama je. Menyampah!

“Lembu aku nak beranak dah. Jadi mungkin lama sikit aku dekat sini. Kau jangan nak merungut nak balik pula. Kalau nak balik, pergi jalan kaki.”

“Ya lah!” balas Dahlia sebal. Sambil itu kakinya bergerak mengikut Umar.

Di sebelah kandang lembu Umar, ada sebuah lagi kandang kecil. Di situ Umar asingkan lembu yang mahu beranak.

“Dia tengah sakit ke tu?” soal Dahlia. Kasihan pula dia melihat lembu itu. Nampak macam tengah menahan kesakitan.

“Ya. Macam manusia nak bersalin juga. Sakit.”

Berkerut-kerut dahi Dahlia memerhati Umar dan dua orang pekerjanya membantu lembu itu beranak.

“Kau tak takut ke?” soal Dahlia. Tenang semacam dia tengok muka Umar.

“Aku dah biasa. Dah bertahun-tahun aku buat kerja ni. Bukan lembu beranak je aku boleh jadi bidan, kalau kau nak bersalin nanti pun aku boleh jadi bidan.”

“Eii, siapa nak beranak? Kau beranaklah sendiri!”

Terhambur tawa Umar. Kepala digeleng perlahan. Suka benar dia mengusik isterinya itu.

Tiba-tiba telefon bimbit Dahlia berdering menandakan ada panggilan masuk. Tengok riak wajah Dahlia, Umar sudah dapat meneka siapa yang menghubunginya. Tentulah Edri. Kalau tak, takkanlah Dahlia senyum sampai ke telinga.

Umar tak akan mengalah. Dia akan pastikan suatu hari nanti dia akan menggantikan tempat Edri di hati Dahlia. Walaupun kedengaran mustahil, tapi soal hati tiada yang mustahil.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience