Bab 1

Romance Series 16121

“APA? Dah bercerai?” Bergegar rasanya rumah kayu ini dek suara petir Mak Esah. Panas relung dadanya mendengar berita yang disampaikan oleh anaknya itu.

Tak ada angin, tak ada ribut. Tiba-tiba Dahlia pulang ke kampung dan memberitahu dia sudah berpisah dengan Edri. Tak sampai tiga bulan mereka berkahwin sudah bercerai? Memang gila!

“Kenapa sampai bercerai ni Lia? Dah tak boleh nak berbincang elok-elok ke?” soal Pak Rahim pula. Wajahnya nampak tenang tapi siapa yang tahu hatinya sedang bergelora ketika ini. Ayah mana yang boleh duduk diam apabila tahu anak perempuannya diceraikan. Lagi-lagi perkahwinan Dahlia masih muda. Setengah tahun pun tak sampai.

Dahlia ketap bibirnya kuat. Dipandang wajah ibu dan ayahnya silih berganti. Ketakutan mula bergayut di sudut hatinya. Debar jantung memukul dada.

“Kau tak ada mulut ke nak jawab Lia?!” sergah Mak Esah geram. Makin membara-bara api kemarahannya apabila Dahlia hanya membisu.

“Ed marah sangat waktu tu. Tu yang dia terlafaz talak. Dia tak sengaja.” Akhirnya Dahlia buka mulut.

“Tak sengaja? Hei! Kau ingat kahwin cerai ni macam main pondok-pondok ke ha? Itulah... Orang nak kahwin, kau sibuk nak kahwin. Tahu nak seronok jer. Sekarang ni, tengok apa dah jadi. Tak sampai setahun kahwin dah jadi janda!” Bagaikan peluru berpandu Mak Esah menyerang Dahlia. Tajam dia merenung anak perempuannya itu. Kalau ikutkan rasa geramnya, mahu saja dia ganyang Dahlia cukup-cukup. Memalukan betul.

“Esah,” tegur Pak Rahim. Isyarat mata diberikan pada isterinya itu. Bukan main riuh suara Mak Esah. Silap-silap satu kampung boleh dengar nanti. Elok-elok orang tak tahu, terus jadi tahu.

“Kalau tak sengaja, kenapa tak rujuk semula?” soal Pak Rahim lagi. Suaranya kali ini sedikit keras berbanding tadi.

Dahlia yang tunduk merenung lantai itu perlahan-lahan angkat wajah memandang Pak Rahim. Teragak-agak dia ingin menjawab.

“Sebab... sebab tak boleh...” Dahlia menggeleng perlahan.

“Kenapa pula tak boleh?” soal Pak Rahim hairan. Dahinya berkerus halus.

“Ed dah ceraikan Lia talak tiga,” jawab Dahlia dengan satu nafas.

“Apa? Talak tiga?” Menyinga Mak Esah dibuatnya. Daripada duduk, terus dia berdiri.

Pak Rahim juga terkejut. Lidahnya bagai terpasung pada lelangit. Dia hilang kata-kata.

DAHLIA mengeluh perlahan. Seharian dia berkurung di dalam bilik. Mahu mengelak daripada bertentang mata dengan ibu dan ayahnya. Dia tahu mereka masih marah padanya. Jadi lebih baik dia jauhkan diri buat seketika. Bagi amarah ibu dan ayahnya itu reda dahulu.

Telefon bimbitnya dicapai. Dia berdecit perlahan. Edri langsung tidak menghubunginya. Ah! Edri memang sengaja nak dia hadap semua ni seorang-seorang. Yang nak kena menjawab dengan ibu ayahnya bukannya Edri. Dia juga.

Edri senanglah. Lepas tangan begitu saja. Yang kena hadap semua ini, dia. Padahal semuanya berpunca daripada Edri sendiri. Kut ya pun tengah marah, takkanlah sampai boleh terlafaz talak. Bukan satu tapi tiga terus Edri bagi.

Dahlia sendiri tak sangka yang Edri sanggup menceraikannya. Baru tiga bulan berkahwin kini dia sudah menyandang gelaran janda. Huh! Apalah nasib kau Lia.

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Sekarang ni dia dan Edri sama-sama buntu. Tak tahu nak buat apa. Nak rujuk kembali dah tak boleh. Tapi dia masih sayangkan Edri. Begitu juga dengan Edri.

Edri meminta dia pulang ke rumah keluarganya dahulu sementara lelaki itu mencari penyelesaian hubungan mereka. Tak tahulah apa yang Edri tengah rancangkan sekarang. Dia hanya mampu menunggu keputusan lelaki itu kerana di saat ini Dahlia sendiri tak mampu nak buat apa-apa lagi.

Semua ini berpunca daripada pergaduhan mereka malam tadi. Dahlia terjumpa kasut perempuan di dalam kereta Edri dan kasut itu bukan miliknya. Kalau bukan miliknya, kasut itu milik siapa? Sudah tentulah Edri ada membawa perempuan lain naik kereta dengannya.

Mengamuklah Dahlia apabila tahu Edri membawa perempuan lain menaiki kereta dengannya tanpa pengetahuan Dahlia. Ini bukan kali pertama Dahlia terjumpa barang perempuan lain di dalam kereta Edri. Sebelum ini dia terjumpa anting-anting. Tapi Edri kata anting-anting itu milik ibunya. Dahlia masih boleh terima lagi.

Tapi sekarang ni kasut yang Dahlia jumpa dalam kereta Edri ialah kasut tinggi. Edri nak cakap kasut itu milik ibunya? Dahlia tak akan terima lagi alasan itu. Setahunya ibu mertuanya tak pakai kasut tinggi begitu. Wanita itu sudah berusia. Mana mungkin dia pakai kasut tinggi seperti itu. Dahlia sendiri tak pakai kasut begitu.

“Baik awak cakap betul-betul dengan saya Ed. Ini kasut siapa?!” tempelak Dahlia kuat. Dia benar-benar hilang sabar dengan sikap Edri.

Patutlah sejak dua menjak ini lelaki itu selalu saja sibuk. Dahlia ditinggalkan di rumah sendirian. Kata Edri ada banyak projek besar yang perlu dia uruskan. Oh, ini projek besar yang dimaksudkan oleh Edri rupanya. Hidup-hidup Dahlia ditipu oleh suaminya sendiri.

“Itu kasut klien saya. Saya tumpangkan kereta saya sebab kereta dia rosak.”

Dahlia ketawa mengejek. Kepala digeleng perlahan. “Jangan nak tipu sayalah Ed! Saya tak sebodoh tu. Dah kenapa pula klien awak nak tinggalkan kasut dia dalam kereta awak? Habis tu dia turun kereta berkaki ayam?”

Edri meraup kasar wajahnya. Buntu nak jawab soalan Dahlia. Ah! Ini semua salah Syera. Dia dah pesan awal-awal pada gadis itu supaya tidak tinggalkan apa-apa barang miliknya di dalam kereta. Cukuplah sekali terkantoi dulu. Nasib baik Dahlia percaya apabila Edri kata anting-anting itu milik ibunya.

“Macam ni lah Ed, kalau awak rasa awak dah jumpa perempuan lain... awak... awak lepaskan saya...” Suara Dahlia kedengaran bergetar hiba. Dia benar-benar kecewa.

Tergamam Edri mendengar permintaan Dahlia. “Awak cakap apa ni Lia? Takkanlah sebab hal kecil macam ni awak nak saya lepaskan awak.”

“Habis tu? Awak nak saya duduk diam bila tahu suami saya curang dengan saya?” bidas Dahlia kembali. Air mata yang menuruni lekuk pipi segera dikesat. Tak guna dia nak menangis sekarang ni.

“Apa ni Dahlia? Bila masa pula saya curang dengan awak? Awak tak percayakan saya ke?”

“Ya! Memang saya dah tak percayakan awak. Jadi lebih baik awak lepaskan jer saya! Saya dah tak nak hidup dengan lelaki tak guna macam awak!” Amarah Dahlia makin memuncak.

Edri ketap bibir. Dia rasa tercabar. Kesabarannya makin menipis. Geram mendengar tuduhan isterinya itu. Dahlia ingat dia hadap sangat ke dengan perempuan kampung macam Dahlia?

“Awak nak saya lepaskan awak? Betul ni? Awak jangan menyesal pula nanti. Awak yang minta semua ni.”

Dahlia terdiam. Edri betul-betul nak lepaskan dia ke? Dia tak maksudkan betul-betul pun. Dia cuma mahu Edri membuktikan yang dia betul-betul tak bersalah.

“Dahlia Binti Rahim aku ceraikan kau dengan talak tiga!”

“Ed...” Dunia Dahlia bagaikan terhenti seketika apabila mendengar ayat itu meluncur laju keluar daripada mulut Edri.

Edri juga nampak terkejut. Entah apa yang merasuknya sebentar tadi. Kini semuanya sudah terlambat...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience