“Umar! Kenapa ni? Apa yang jadi?” soal Dahlia cemas.
Mahu tak terkejut tengok keadaan Umar macam tu. Pagi tadi sebelum pergi kerja, elok je sihat. Ali, pekerja Umar yang menghantarnya pulang ke rumah.
“Ada kereta langgar motor Abang Umar tadi kak. Nampak macam se…” Tak sempat Ali nak bercerita lagi Umar sudah memintas.
“Kau baliklah dulu Ali. Terima kasih hantar aku. Nanti kalau ada apa-apa beritahu aku.”
Ali mengangguk akur. “Baik bang. Semoga cepat sihat.” Usai itu dia meminta diri untuk pulang ke kandang semula.
Mata Dahlia masih tak lepas daripada memandang Umar. Riak kerisauan terpancar di wajahnya.
“Lia, Umar okey. Sikit je ni.” Lepas kejadian tadi, dia bukan tidak mahu menghubungi Dahlia. Cuma dia tidak mahu Dahlia risau. Lagipun kecederaannya taklah teruk sangat.
Tangannya cuma terseliuh sikit je. Dan terdapat beberapa luka di bahagian wajah dan kakinya. Syukurlah kecederaannya tidak teruk mana.
Dahlia kesat air matanya yang mengalir. Bila tengok keadaan suami macam ni, siapa je yang tak sebak?
“Lia, Umar okey. Doktor pun cakap tak ada apa-apa.” Umar melabuhkan duduknya di atas sofa. Sebelah lagi tangan menarik tangan Dahlia duduk di sebelahnya.
“Kenapa tak beritahu Lia tadi? Kenapa dah balik daripada hospital baru nak beritahu?” soal Dahlia tak puas hati. Rasa macam disisihkan suami sendiri pula.
“Bukan Umar tak nak beritahu tapi tadi keadaan tengah kelam-kabut. Umar minta maaf eh?”
“Lia risau. Dada ni sesak bila tengok Umar balik dalam keadaan macam ni. Lia rasa macam…”
Tubuh Dahlia ditarik ke dalam pelukannya. “Maafkan Umar. Maafkan Umar buat Lia risau.” Belakang tubuh Dahlia diusap-usap perlahan seakan memujuk.
“Macam mana Umar boleh accident?” tanya Dahlia. Keadaannya nampak lebih tenang sedikit berbanding tadi.
“Ada kereta terlanggar Umar.”
“Terlanggar atau memang sengaja nak langgar?” soal Dahlia lagi. Mustahil lah kereta tu tak nampak Umar. Entah-entah semuanya dah dirancang.
Umar terdiam seketika. Sebenarnya dia pun rasa begitu cuma dia tidak mahu buat Dahlia semakin risau.
“Dia tak sengaja langgar sayang.”
***
Orked share teaser dulu je kat sini ya. Nak baca sambungan boleh follow/add orked dekat ig dan fb.
ig - orkedungu_14
fb - Orked Ungu
***
Tekak Dahlia terasa kering. Dia bangun mahu mengambil air di meja bersebelahan katilnya. Dahlia hampir terlupa yang kakinya sudah tidak berfungsi seperti dahulu. Dia perlu mengengsot untuk bergerak.
Tak semena-mena air mata Dahlia mengalir lagi. “Ya ALLAH…”
Sedikit demi sedikit Dahlia mengengsot untuk mencapai cawan yang terletak agak jauh daripada capaiannya. Entah di mana silapnya, Dahlia terjatuh daripada katil.
“Ah!” Terpejam mata Dahlia menahan sakit apabila tubuhnya terhempas di atas lantai. Tapi hati ini lebih sakit saat ini.
Waktu itu juga pintu bilik dibuka daripada luar. Umar meluru masuk apabila melihat Dahlia sudah terduduk di lantai. Tadi dia keluar sebentar ke surau. Menunaikan solat asar.
“Lia!” Wajahnya penuh risau. Tanpa menunggu lama, tubuh isterinya itu terus dicempung lalu diletakkan di atas katil dengan berhati-hati.
“Lia lupa yang Lia dah cacat. Lia dah tak boleh nak bergerak macam dulu. Kaki ni… Dah tak berfungsi.” Bergetar suara Dahlia menahan sebak.
Umar terdiam. Bibir diketap kuat. Bagai ada halilintar yang memanah jantungnya mendengar ujaran Dahlia.
“Nak minum air ke?” soal Umar. Dia tak boleh biarkan Dahlia terus larut dalam kesedihan. Cukuplah sekali Dahlia hilang kawalan diri sampai perlu diberi suntikan ubat penenang.
Dahlia mengangguk perlahan. Wajah tenang Umar dipandang tidak lepas. Boleh ke Umar terima kekurangannya? Dia sendiri berat hati untuk menerima hakikat yang satu ini. Apatah lagi Umar…
Umar tuangkan secawan air kosong lalu dihulur pada Dahlia. Dahlia menyambut huluran Umar. Air kosong diteguk sehingga habis. Tekaknya betul-betul kering.
“Umar,” panggil Dahlia.
Umar tidak menyahut. Dia hanya memandang wajah Dahlia. Menunggu wanita itu meneruskan bicaranya.
“Lia dah tak boleh jalan lagi. Kaki Lia dah tak sempurna macam dulu,” adunya sebak.
Umar masih membisu.
“Umar tak ada apa-apa nak tanya Lia? Umar tak nak tahu macam mana Lia boleh ikut Edri?” soal Dahlia. Kebisuan Umar tika ini buatkan jiwanya dirobek.
Perlahan Umar menggeleng. “Aku tak nak tahu. Aku takut jawapan kau buat aku makin hancur.”
Dahlia terkesima mendengar jawapan Umar. Nampaknya Umar dah salah faham dengannya.
“Umar, bukan macam tu. Lia…”
“Tak perlu jelaskan apa-apa Lia. Semua salah aku. Aku sendiri yang salah melangitkan seseorang yang tak mampu aku gapai,” pintas Umar tanpa sempat Dahlia menghabiskan bicaranya.
Dahlia pandang Umar dengan pandangan tidak percaya. Dia langsung kematian bicara.
“Umar.”
Helaan berat terlepas daripada bibir Umar. “Kau rehatlah. Aku nak keluar dulu. Nanti kalau ada apa-apa, panggil nurse. Jangan turun sendiri daripada katil.” Usai itu Umar terus berlalu meninggalkan bilik wad Dahlia ditempatkan.
Dahlia tertunduk. Dada mula terasa sesak. Umar langsung tidak mahu mendengar penjelasannya.
Share this novel